Terapi solat boleh pulihkan umat Islam?

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Kajian saintifik menunjukkan masalah mati pucuk yang menghantui 40 peratus lelaki dunia berusia 40 tahun ke atas boleh diatasi dengan menunaikan solat. Berita gembira itu dibuktikan melalui kajian saintifik seorang pakar kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Fatimah Ibrahim. Beliau berjaya mengurangkan tahap mati pucuk dua lelaki selepas sebulan menjalani terapi solat yang diperkenalkan olehnya. Katanya, melalui terapi itu seseorang lelaki yang bermasalah perlu menunaikan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan dalam masa setengah jam sebanyak tiga kali seminggu.

“Setiap pergerakan dalam solat didapati merangsang otot lantai pelvik. Kami sedang kaji kedudukan mana di dalam solat paling banyak menyumbang ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Sains Solat Peringkat Kebangsaan 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sumber : Utusan Malaysia: 6/08/09

Masalah paling utama umat Islam adalah bahawa mereka hidup dalam sistem (kehidupan) yang bukan dari Islam. Kapitalisme mendominasi kehidupan umat hari ini. Peraturan hidup yang menyelimuti kehidupan kini adalah undang-undang kufur. Akibatnya, lahirlah 1001 macam kemungkaran yang amat memeritkan. Isu perpecahan, masalah sosial, krisis ekonomi, masalah pendidikan, pencabulan, penindasan, kebuluran dan segala macam kecelakaan menimpa umat Islam hari ini kerana syariah (hukum Allah) tidak ditegakkan. Masalah inilah yang sepatutnya perlu dikaji dan diatasi;  ini yang paling utama.

Adapaun mengenai solat, Allah SWT berfirman;

“..sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;” [TMQ Al-Ankabut (29): 45]

Jika solat yang sering diutamakan dalam kehidupan umat Islam tidak disandarkan kepada ayat di atas, ternyata solat yang dikerjakan mereka langsung tidak mendatangkan fadhilat yang dijanjikan oleh Allah SWT. Ini adalah kerana umat Islam lalai dari menjalani kehidupan berdasarkan syariah sepenuhnya; hanya sebahagian kecil sahaja yang diperhatikan sedangkan selainnya dilunaskan dengan peraturan kufur sekular-kapitalisme.

Solat, yang menjadi tunjak dan tiang kepada segenap peribadatan manusia, seharusnya diteliti sebagai asas untuk membangun kehidupan Islam yang syumul. Namun, apa yang berlaku, keutamaan solat dipesongkan sebagai modal penyelidikan saintifik yang tersasar jauh dari roh solat yang sebenarnya.