Kaji dulu hudud secara mendalam sebelum bercakap
Susulan usaha PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan, bantahan bukan sahaja datang dari rakan sekutunya, DAP, tapi turut disuarakan oleh G25 melalui Jurucakapnya, Datuk Noor Farida Ariffin
G25 yang terdiri daripada 25 orang tokoh profesional Melayu itu membantah pelaksanaan hudud PAS atas alasan kesukaran membuktikan kes zina dan rogol khususnya ke atas kanak-kanak yang memerlukan empat orang saksi dan penolakan kaedah saintifik dalam pembuktian, yang dianggap oleh Noor Farida sebagai ketinggalan zaman.
Ternyata beliau gagal membezakan antara pembuktian kes zina dan rogol yang hakikatnya tidak sama. Ya betul zina memerlukan empat orang saksi tetapi rogol tidak demikian. Kesaksian kes rogol adalah sama seperti kes-kes yang lain yakni dua orang saksi, bukannya empat. Beliau ternyata telah membuat kesimpulan tanpa ilmu.
Kaedah saintifik memang tidak boleh dijadikan pembuktian, tetapi ini tidak bermakna ia ditolak sepenuhnya oleh Islam. Sehebat dan secanggih mana sekalipun kaedah saintifik, ia tetap mengandungi kemungkinan salah, malah peratusan salah agak besar dalam banyak sudut. Sedangkan Islam amat berhati-hati dan teliti dalam hal pembuktian agar hakim dapat membuat keputusan dengan tepat dan yang lebih penting, selari dengan syarat-syarat pembuktian yang digariskan oleh nas.
Untuk menguatkan hujahnya, Farida turut memetik kajian-kajian yang dilakukan para Ilmuan Islam mengenai hudud dan mempersoalkan kesesuaian perlaksanaan hudud berdasarkan aspek-aspek tertentu seperti perbezaan jurang antara kaum serta keadaan yang tidak kondusif.
Hujah ini sebenarnya hanyalah hujah akal semata-mata, walaupun dikatakan dikeluarkan oleh Ilmuan Islam. Islam tidak pernah menetapkan keadaan kondusif tercipta terlebih dahulu sebelum hudud dilaksanakan. Sesungguhnya pelaksanaan hudud itu sendiri akan mencipta suasana yang kondusif untuk kehidupan masyarakat, sebagaimana telah terbukti pada zaman kegemilangan Islam apabila hudud dilaksanakan. Ketakutan manusia untuk melakukan jenayah (kerana adanya hudud) telah mewujudkan suasana yang harmoni dan kondusif untuk kehidupan.
Lebih buruk, Noor Farida membuat kesimpulan sendiri bahawa golongan pedofil (orang yang cenderung mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak) akan membanjiri Kelantan jika hudud dilaksanakan. Sungguh ego dan berani nampaknya Jurucakap G25 ini membangkitkan perkara yang belum tentu wujud (kebanjiran pedofil) yang sebenarnya menghina pelaksanaan hukum Allah! Hujah ini tidak ubah seperti serangan Barat yang menuduh Rasulullah SAW sebagai seorang pedofilia!
Beliau nampaknya cuba menggambarkan dan memberi imej negatif terhadap pelaksanaan hudud. Tidakkah tokoh Melayu ini sedar yang sistem sekarang (tanpa hudud) terbukti telah menyebabkan pelbagai kerosakan dari semua sudut? Kes/statistik zina sudah tidak terhitung, apatah lagi jenayah, termasuk jenayah ke atas kanak-kanak yang berlaku sampai di luar batas kemanusiaan.
Butakah beliau bahawa undang-undang sekarang tidak pernah berjaya untuk membendung perkara ini, malah kelemahan undang-undang buatan manusia inilah yang menjadi faktor penyebab kepada semua masalah. Justeru undang-undang sekarang yang penuh kepincangan selayaknya untuk dihentam berbanding hudud yang masih belum dilaksanakan.
G25 dan setiap Muslim sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan hukum Allah diterapkan, bukan sebaliknya mencari pelbagai hujah untuk membantah pelaksanaan hukum Allah. Sesungguhnya membantah, menolak, meremehkan, mempertikaikan dan mempermainkan hukum Allah, boleh menggelincirkan akidah seseorang Muslim.
Farida sepatutnya lebih berhati-hati dalam bercakap dan ada baiknya beliau mengkaji hudud sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan pendapat yang boleh menimbulkan kemarahan ini. Jika beliau cuba membezakan antara “hudud PAS” dan “hudud Allah” (seperti mana Dr. Mahathir), maka mungkin sahaja beliau boleh berselindung dengan hujahnya itu. Tetapi jika yang beliau maksudkan adalah hudud Allah, maka beliau memang berani untuk berhadapan dengan Allah. Nauzubillah min zalik.
Sumber berita: Malaysian Insider