Nasib “hudud” kini diletak di Mahkamah

Gambar UL 210415 4Kota Bharu 20 Aril – Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah mendengar saman pemula yang difailkan oleh Gerakan bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Plaintif berpendapat yang Enakmen tersebut menyalahi undang-undang kerana menganggap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang tersebut. Kes saman ini didengar di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Kerajaan Negeri Kelantan bagaimanapun melakukan bantahan awal atas hujah bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman pemula ini kerana ia termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui akan kes ini setelah perbincangan berkenaan hudud agak reda ditutupi oleh isu GST dan serangan Tun Dr Mahathir ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setelah ditendang ke sana ke mari sebelum diluluskan di DUN Kelantan dan ditendang lagi oleh Parlimen, kini nasib undang-undang “hudud” Kelantan ini terus dirundung malang apabila diletak pula di tangan Mahkamah.

Inilah jadinya apabila hukum Allah cuba diluluskan dalam sebuah negara demokrasi! Selain meletakkan kelulusannya kepada manusia yang mana hukumnya adalah haram, “hudud” kini boleh dicabar pula oleh orang-orang kafir di Mahkamah. Ya di bawah demokrasi memang hal ini dibenarkan. Demokrasi membenarkan siapa sahaja, tidak kira Muslim mahupun kafir, untuk mencabar keabsahan apa jua undang-undang yang tidak disukainya, termasuklah undang-undang Islam.

Malangnya parti Islam masih tidak sedar kesalahan dan kesilapan mereka apabila menundukkan hukum Allah kepada demokrasi. Hukum Allah dijadikan bola dalam gelanggang demokrasi yang boleh ditendang ke sana dan ke mari sesuka hati. Walaupun kerajaan Kelantan “melawan” saman pemula yang difailkan oleh Gerakan di Mahkamah Tinggi itu, namun hujah kerajaan negeri tersebut bahawa hanya Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa mendengar bantahan ini, bukanlah satu hujah yang benar dari segi syarak.

Ini kerana, undang-undang Allah itu sesungguhnya tidak tertakluk kepada mana-mana manusia mahupun mahkamah untuk mendengar dan memutuskan sama ada ia sah atau tidak. Hudud sebagai sebahagian daripada undang-undang Allah, adalah wajib dilaksanakan tanpa kelulusan manusia atau mahkamah dan tidak ada manusia atau mahkamah yang boleh meluluskannya, mempertikaikannya, apatah lagi membatalkannya.

Namun, demokrasi membenarkan semua itu. Demokrasi membenarkan undang-undang Allah dilambung-lambung, diperdebatkan, malah dibatalkan. Inilah bukti betapa jeleknya demokrasi dan orang-orang yang berpegang teguh dengannya! Semoga Allah mengeluarkan umat ini dari sebarang kehinaan dan menjadikan undang-undangNya sebagai yang tertinggi.