Kalau sudah gila kuasa

Mahu jadi PM semula — Nawaz rancang bertanding pada pilihan raya kecil

ISLAMABAD 26 Feb. – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif merancang untuk bertanding pada pilihan raya kecil untuk melayakkan beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan baru.

Jurucakap Liga Muslim Pakistan-N (PML-N) pimpinan Nawaz, Siddiqul Farooq hari ini berkata, Nawaz dan adik lelakinya, Shahbaz Sharif akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Terdapat banyak kerusi kosong dan kedua-dua beradik itu boleh bertanding dalam pilihan raya kecil tanpa sebarang masalah,” katanya.

PML-N muncul sebagai parti kedua terbesar dalam pilihan raya Parlimen minggu lepas.

Parti itu berganding bahu dengan parti bekas Perdana Menteri yang mati dibunuh, Benazir Bhutto, Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya 8 Februari lalu.

Kedua-dua parti menumpaskan sekutu-sekutu Presiden Pervez Musharraf.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengharamkan Nawaz dan Shahbaz daripada bertanding kerana kedua-duanya mempunyai sabitan kesalahan jenayah berpunca daripada peristiwa berkaitan rampasan kuasa 1999 dan kes jenayah yang belum selesai.

Mereka kini perlu mengemukakan semula permohonan kepada pihak berkuasa.

Jika Nawaz memenangi kerusi, beliau kemudian boleh dicalonkan untuk jawatan Perdana Menteri.

Beliau pernah dua kali menjadi Perdana Menteri sebelum disingkirkan oleh Pervez pada 1999 dan diperintah hidup dalam buangan.

Bagaimanapun kedua-dua parti, sebelum ini bersetuju supaya PPP memilih Perdana Menteri.

Naib Pengerusi PPP, Makhdoom Amin Fahim yang dikatakan rapat dengan Benazir dijangka dipilih sebagai PM apabila Parlimen bersidang bulan depan.

Beberapa kawasan Parlimen akan mengadakan pilihan raya kecil pada minggu-minggu akan datang, kebanyakannya disebabkan kematian calon ataupun calon melepaskan kerusi selepas memenangi lebih daripada satu kawasan.

Sementara itu, seorang pakar bedah terkemuka tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Mushtaq Baig terbunuh dalam satu serangan berani mati di bandar Rawalpindi.

Menurut kenyataan tentera di sini Mushtaq merupakan antara sekurang-kurangnya lapan yang terbunuh termasuk penyerang dalam kejadian itu.

Jeneral Mushtaq merupakan pegawai tentera berpangkat paling tinggi terbunuh di Pakistan sejak kejadian 11 September di Amerika Syarikat.

Beliau terbunuh apabila sebutir bom meletup di luar agensi pendaftaran data kerajaan yang terletak di sebuah jalan utama yang sibuk.

Menurut Kementerian Dalam Negara, pemandu dan pengawal pegawai tentera itu turut terbunuh manakala sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera.

– AFP

Sumber: Utusan Malaysia 27/02/08

Ulasan:

Kalau dah gila kuasa, beginilah jadinya! Nawaz Sharif yang nampaknya lebih selesa setelah kematian Benazir untuk menjadi PM, terus merancang untuk bertanding dalam pilihan raya kecil untuk merebut jawatan Perdana Menteri. Orang yang dah gila kuasa akan sanggup melakukan apa sahaja.

Tidak kiralah siapa yang memerintah Pakistan, umat Islam di Pakistan nampaknya akan terus di baham oleh pemimpin-pemimpin rakus seperti ini. Semasa Benazir menjadi PM dahulu, rakyat terus ditindas dan di tipu dengan segala bentuk penyelewengan yang Benazir lakukan. Setelah jatuh, Nawaz Sharif pula mengambil tempat untuk mengaut segala kekayaan Pakistan, kemudian giliran Musharraf untuk membaham semua yang ada. Kini, Nawaz Sharif pula, sekali lagi berusaha untuk memegang tongkat kezaliman tertinggi di Pakistan.

Umat Islam di Pakistan sudah tidak memerlukan pemimpin sekular yang zalim ini. Selama mana umat Islam tidak melantik seorang Khalifah, maka selama itulah mereka akan terus berada dalam lingkaran penderitaan dan kesengsaraan. Hanya Khalifah sahajalah yang bakal mengeluarkan umat Islam dari segala belenggu kezaliman ini apabila masanya tiba nanti. Insya Allah.