Rakyat Pakistan ‘ditipu’ hari ini

Rakyat mengundi hari ini — Pilihan raya Pakistan diteruskan walau ada pihak cuba sabotaj

ISLAMABAD 17 Feb. – Presiden Pervez Musharraf hari ini berkata, pilihan raya Parlimen akan tetap diadakan seperti dijadualkan esok walaupun 46 orang terbunuh dalam satu letupan bom kereta pada satu rapat umum semalam.

Kebanyakan mangsa dalam letupan di pekan Parachinar, barat laut negara ini merupakan penyokong kepada pemimpin pembangkang yang mati dibunuh, Benazir Bhutto.

Letupan itu mengesahkan kebimbangan bahawa puak pelampau akan cuba mensabotaj pilihan raya dengan menyerang calon sekular seperti dari Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang pernah dipimpin oleh Benazir.

Ramai juga khuatir kerajaan mungkin menangguhkan pilihan raya dengan menggunakan keganasan sebagai alasan.

Bagaimanapun, Pervez memberitahu Associated Press of Pakistan, pilihan raya akan diteruskan mengikut jadual dan “sebarang usaha untuk menggagalkan proses demokrasi atau menghalang pilihan raya akan dipatahkan.”

Ketua tentera bersara itu berhadapan kemarahan rakyat ekoran keputusannya akhir tahun lalu untuk mengisytiharkan darurat, menyingkirkan hakim yang menentang beliau dan mengenakan sekatan ke atas media yang sesetengahnya masih berkuat kuasa.

“Sekatan itu menghalang wartawan Pakistan daripada menjalankan tugas mereka dengan sepatutnya, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya,” kata Pengarah Human Rights Watch bagi Asia, Brad Adams.

Menurut beliau, larangan terus dikenakan ke atas penyiaran laporan yang didapati menfitnah ketua negara, anggota angkatan bersenjata atau institusi kerajaan.

“Sekatan Pervez ke atas media menjejaskan peluang Pakistan untuk mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil esok,” katanya.

Tinjauan pendapat umum menunjukkan parti-parti pembangkang dijangka memperoleh kemenangan besar.

Walaupun Pervez tidak bertanding, beliau mungkin menghadapi dakwaan di Parlimen jika pembangkang menang majoriti dua pertiga kerusi seperti yang diramalkan.

– AP

Sumber: Utusan Malaysia 18/02/08

Ulasan:

Rakyat Pakistan bakal ditipu dan tertipu sekali lagi. Siapakah pada hari ini yang percaya bahawa pilihan raya di Pakistan akan berjalan dengan adil?

Inilah nasib malang yang terus menimpa umat Islam di dalam sebuah pemerintahan kufur demokrasi. Pemerintah yang sedia ada sudah la terkenal zalim, kejam, pembunuh, pengkhianat dan sebagainya, sekarang umat Islam digula-gulakan pula dengan pilihan raya yang kononnya ini adalah cara terbaik untuk memilih pemimpin yang diamalkan oleh sistem demokrasi!

Lihatlah sendiri bagaimana pilihan raya dan demokrasi yang diagung-agungkan oleh sebahagian umat Islam sebagai cara terbaik, yang sebenarnya (demokrasi dan pilihan raya) tidak lebih dari ‘medan tipu’ oleh pemerintah sedia ada untuk terus kekal berkuasa atas nama mendapat ‘mandat’ dari rakyat. Lihatlah juga bagaimana pilihan raya yang dikatakan cara terbaik sebenarnya (selama ini) telah lama mengundang kerosakan yang besar kepada umat Islam. Sebagaimana dilaporkan, belum pun lagi bermula pilihan raya, sudah 46 nyawa terkorban gara-gara pilihan raya. Kita tidak tahu berapa banyak lagi nyawa umat Islam yang akan melayang setiap kali menjelang pilihan raya. Apa yang kita tahu adalah umat Islam akan terus tertipu dan tertipu selama mana mereka memasuki pilihan raya di bawah sistem demokrasi ciptaan kuffar Barat ini.