Kapitalis Ditatang, Komunis ditentang, Islam Terus dikekang

Polis siasat PSM kerana cuba hidupkan komunisme
KUALA LUMPUR 28 Jun – Polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) setelah dilihat cuba menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata polis menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk mengambil kira bahan bukti yang dirampas daripada 31 aktivis PSM yang ditahan polis baru-baru ini. “Banyak persediaan yang mereka (aktivis) sudah lakukan seperti mengedarkan risalah dan memakai baju T yang berunsurkan fahaman itu bagi tujuan untuk menghasut rakyat membenci kerajaan. “Polis akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan mereka menghentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat ketiga “Ops Lusuh” bersama Celcom Axiata Berhad, yang bertujuan mengenal pasti tindakan untuk membanteras vandalisme.

Mohd Bakri berkata siasatan itu juga dibuat demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terpelihara.
“Tindakan yang dilakukan aktivis ini boleh mengkucar-kacirkan negara…kita akan pastikan bahawa kes ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat,” katanya. Pada Sabtu lepas, polis menahan 31 orang aktivis PSM termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj di plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas, Pulau Pinang. Kumpulan berkenaan, yang menaiki sebuah bas persiaran, dipercayai dalam rangka kempen mengedarkan risalah berkaitan perhimpunan haram yang dijadualkan 9 Julai ini. Kempen mereka ditumpukan ke bandar-bandar kecil di Semenanjung Malaysia sejak 24 Jun lepas. – Bernama

Sumber : Utusan Online, 28/06/2011

Kapitalis Ditatang, Komunis ditentang, Islam Terus dikekang
 
Kerajaan BN-UMNO cuba mengalihkan perhatian terhadap isu-isu yang melibatkan kebajikan dan keselamatan rakyat dengan mengaitkan perhimpunan Bersih 2.0 dengan usaha untuk menghidupkan fahaman komunis di Malaysia. Namun begitu, dalam masa yang sama, kerajaan pimpinan UMNO ini bertambah rakus dalam mempertahankan ideologi kapitalisme yang mereka anuti. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka akan mempergunakan sedikit kuasa yang ada pada mereka dengan menyekat mana-mana aktiviti keIslaman yang cuba dianjurkan oleh mana-mana gerakan dakwah yang ikhlas untuk menerapkan hukum Allah di atas muka bumi ini. Hakikatnya, ideologi kapitalisme adalah sama dengan komunisme, di mana kedua-dua ideologi ini adalah hasil daripada akal manusia yang serba terbatas. Ideologi ciptaan manusia ini telah banyak membuat kerosakan di pelbagai belahan muka bumi ini, malahan kerosakannya semakin bertambah saban hari.

Minyak dan air pastinya tidak akan bercampur. Inilah hakikat yang perlu diterima dalam kita menghadapi perang ideologi yang berlaku pada saat ini. Mana-mana pemerintah yang berkuasa tidak kira sama ada mereka mengamalkan sistem kapitalis ataupun komunis, pastinya mereka tidak akan memberi peluang kepada mana-mana kumpulan atau gerakan lain yang menginginkan Islam supaya kembali berkuasa. Namun mereka lupa bahawa biar sehebat manapun perencanaan mereka dalam menghalang cahaya Islam, kebenaran pasti akan terserlah. Ini merupakan janji Allah sebagaimana dalam firmanNya:

“Mereka membuat makar (tipu daya) dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas tipu daya”
[TMQ al-Anfal (8):30].

Oleh itu, sikap pemerintah kapitalis yang sedang mabuk kuasa sekarang bukanlah satu perkara yang besar di sisi Allah. Kepada pemerintah sekarang, sama ada mereka menganut dan menerapkan kapitalisme-demokrasi ataupun komunisme, ia tetap sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah. Apa yang sepatutnya diambil oleh umat Islam adalah dengan mengembalikan Islam dalam semua aspek kehidupan dan bukannya dengan membuat pilihan yang lain. Sebagai umat yang mengucap dua kalimah syahadah, pemilihan dan penerapan sistem Islam adalah suatu kewajipan dan bukannya suatu pilihan. Dengan penerapan Islam secara kaffah oleh negara yang dipimpin oleh seorang Khalifah sahajalah kehidupan kita akan meraih keredhaan Allah SWT. Semoga kemenangan Islam semakin hampir kepada kita.