Keamanan dan keharmonian bukan ditangan rakyat
Berita:
Rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini diingatkan supaya terus mempertahankan keamanan dan keharmonian sebagai jaminan untuk melihat Sabah dan Malaysia mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi. Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata suasana itu hanya dapat dipertahankan jika rakyat terus bersatu, dan tidak membenarkan kepercayaan serta perasaan saling hormat menghormati yang sudah lama wujud, terhakis.
“Kita akui ada usaha pihak tertentu yang cuba mencipta keretakan hidup bermasyarakat di negeri ini. Namun, kita tidak boleh membiarkan sentimen ini menghancurkan apa yang sudah dibina oleh nenek moyang kita”, katanya.
Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/367183/pertahan-keharmonian-agama
Ulasan:
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَٰذَا بَلَدًا ءَامِنٗا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡهُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلٗا ثُمَّ أَضۡطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ ١٢٦
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”
[TMQ al-Baqarah (2): 126]
Semua orang ingin hidup aman dan harmoni. Secara fitrahnya, dua konsep ini wujud dalam diri manusia secara alami atau natural tanpa boleh dipilih. Jika muncul tuduhan yang mengatakan ada usaha daripada segelintir manusia untuk merosakkan keamanan dan keharmonian sesebuah negara atau masyarakat, ia boleh dianggap sebagai tuduhan yang tidak berasas. Ini bertentangan dengan fitrah manusia dan pasti ada sesuatu yang tersirat daripada tuduhan tersebut.
Keamanan dan keharmonian sesebuah negara atau masyarakat terletak kepada pihak yang memegang kekuasaan. Sesebuah negara itu ‘aman’ hanya dengan kecekapan penguatkuasaan seperti polis dan tentera. Jika ini gagal, bermakna pemimpin itu telah gagal memberi keamanan kepada rakyatnya dan bukannya pemimpin pula yang menyalahkan rakyat kerana tidak mampu mewujudkan suasana aman di dalam negara.
Menjaga keharmonian sesebuah negara itu juga merupakan tugas pemerintah. Sesebuah negara itu dianggap harmoni jika segala keperluan asas rakyat seperti rumah, pakaian dan makanan dapat disediakan. Ini bermaksud, negara mesti mampu menyediakan peluang kerja untuk rakyat beroleh pendapatan untuk memenuhi keperluan mereka. Jika negara gagal mengagihkan peluang ini secara menyeluruh, maka mereka tidak boleh menyalahkan rakyat sekiranya keharmonian tidak dapat dicapai.
Daripada doa Nabi Ibrahim as yang Allah SWT rakamkan dalam surah al-Baqarah ayat 126 seperti yang disebutkan di atas, perkataan بَلَدًا menunjukkan bahawa keamanan dan keharmonian itu bukan bersifat individu, tetapi bersifat menyeluruh yakni bernegara. Dan siapakah yang mempunyai kekuasaan dan keupayaan untuk menentukan kedua perkara ini tercapai? Sudah pastilah pihak pemerintah. Jika tanggungjawab menyediakan keamanan dan keharmonian sesebuah negara diletakan atas bahu individu, ia pasti satu usaha yang sia-sia.
Razi Salleh
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia