Keberanian Mahasiswa Ditakuti

turun-bendera-najibTindakan berani seorang mahasiswa, Adam Adli yang dituduh menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini nampaknya telah membuat orang-orang UMNO dan para penyokong mereka kepanasan dan ada juga yang ‘berpura-pura’ panas. Semuanya menyatakan bahawa tindakan tegas mesti dikenakan ke atas mahasiswa tersebut. Bahkan ada yang meminta mahasiswa itu dipecat daripada universiti supaya memberi pengajaran kepada mahasiswa yang lain agar tidak melakukan tindakan yang sama.
Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan kepada polis untuk menyiasat hal tersebut. Sabtu lepas, Saifuddin menerima memorandum daripada Pengerusi Bebas, Muhd Safwan Anang@Talib yang antara lain menuntut pemansuhan Akta Universiti  dan Kolej Universiti (AUKU). Selepas perjumpaan dengan Saifuddin, penuntut IPT itu menurunkan bendera yang memaparkan wajah Datuk Seri Najib Tun Razak digantikan dengan bendera Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), bagaimanapun, mereka menaikkan semula bendera itu selepas ditegur pengawal keselamatan PWTC.
adam-adli
Mengapakah tindakan berani tersebut boleh mencetuskan huru-hara kalangan orang-orang UMNO? Apakah pengaruh mahasiswa begitu kuat sehingga menyebabkan orang-orang UMNO dan para pengikut mereka begitu galak dan agresif mengkritik, mengutuk , menempelak, mengancam dan mengugut tindakan segelintir mahasiswa tersebut? Padahal yang melakukannya hanyalah ‘seorang mahasiswa’. Apa yang mereka perlu khuatir? Ini sebenarnya menunjukkan bahawa orang-orang UMNO dan pemimpin mereka sebagai parti memerintah tahu akan ‘kekuatan’ mahasiswa dan apakah yang mampu dilakukan oleh para mahasiswa. Kebanyakkan gerakan perubahan di seluruh dunia dimulakan oleh mahasiswa. Bermula di Indonesia yang menyaksikan kejatuhan rejim Suharto, begitu juga di Tunisia dan Mesir. Jadi, tidak hairanlah UMNO dan para penyokongnya begitu agresif ‘menekan’ keberanian yang baru ditunjukkan sedikit oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu.

Tanda-tanda kebangkitan mahasiswa sudah pun nampak dan ia tidak akan berhenti di sini. Ini sudah tentu akan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencetuskan suatu gerakan perubahan yang lebih besar. Namun, perubahan tersebut mesti berlandaskan kepada Islam. Perubahan yang sebenar adalah merubah Sistem Kapitalis yang ada pada hari ini kepada penerapan syariat Islam yang menyeluruh dan menegakkan Sistem Khilafah. Hanya dengan cara itu sahajalah kehidupan umat manusia dapat diatur dengan Islam dan seterusnya mendapat naungan dan keredhaanNya. 

Rujukan:

Utusan Malaysia 19/12/2011