Kecelakaan berganti pesta dalam demokrasi
Negara bakal menyaksikan dua pilihan raya kecil (PRK) parlimen dalam masa terdekat iaitu di Permatang Pauh dan Rompin. PRK Permatang Pauh dijalankan kerana penyandangnya yang juga Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan setelah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan awal Februari lalu. Manakala PRK Rompin diadakan berikutan kematian Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada 4 April lepas setelah helikopter yang dinaikinya terhempas di Semenyih.
Fasal 54 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan satu pilihan raya diadakan apabila berlaku kekosongan luar jangka bagi sesebuah kerusi Parlimen. Inilah proses demokrasi di Malaysia yang diamalkan sejak turun-temurun.
Umum mengetahui bahawa pilihan raya dalam demokrasi merupakan medan untuk berebut kerusi bagi mendapat kuasa. Semasa pilihan raya, pelbagai janji manis atau manifesto ditabur kononnya untuk kebaikan rakyat, bagi tujuan memikat undi. Selain proses mengundi, menjadi amalan biasa dalam setiap pilihan raya adanya proses kutuk-mengutuk, fitnah-memfitnah, caci-maki, pergaduhan dan lain-lain. Kempen siang dan malam, ceramah di sana-sini, pasang bendera dan poster, makan-makan, rokok percuma, baju percuma, hiruk-pikuk, gelak ketawa dan sebagainya dapat disaksikan setiap kali pilihan raya. Pendek kata, pilihan raya di Malaysia tidak ubah seperti pesta, malah lebih meriah kerana ia berjalan dalam masa yang lama dan memakan perbelanjaan yang amat besar. Inilah pesta demokrasi namanya.
Sebagai contoh, untuk sesi parlimen yang lepas (2008-2013), dalam tempoh 3 tahun pertama sahaja, negara telah menyaksikan 16 pilihan raya kecil, dengan kerajaan membelanjakan lebih RM11 juta untuk persiapan pilihan raya, menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya. Kos itu bagaimanapun hanya membabitkan pihak SPR tanpa mengambil kira perbelanjaan oleh agensi-agensi lain seperti polis dan tanpa mengambil kira perbelanjaan parti-parti politik yang bertanding. Dan kita semua tahu yang parti-parti yang bertanding turut mengeluarkan belanja jutaan ringgit demi memastikan calon mereka menang. Meriah kan?
Justeru, tidak hairanlah kalau kematian atau kekosongan mana-mana kerusi parlimen atau dewan undangan negeri disambut dengan gembira oleh parti-parti yang akan bertanding. Calon dan para penyokongnya dari parti penyandang akan gembira kerana berpeluang untuk menjadi wakil rakyat dengan limpahan kekayaan yang bakal menanti. Manakala parti lawan juga gembira kerana berpeluang untuk merebut kerusi di kawasan yang dipertandingkan. Pendek kata, kekosongan sesebuah kerusi akan menjadi medan yang baik untuk setiap parti ‘test power’ dan mendapat ‘power’ jika menang, suatu yang sangat diimpi-impikan oleh para pejuang demokrasi.
Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa “malapetaka” yang menimpa seseorang ahli parlimen yang menyebabkan kekosongan kerusi yang disandangnya, bertukar menjadi “kebahagiaan” kepada pihak-pihak yang akan bertanding dan akan menukar suasana kesedihan kepada pesta. Malah pesta akan bertambah meriah lagi bagi pihak yang menang.
Hakikatnya, parti mana pun yang menang, rakyat tetap tidak mendapat apa-apa kecuali terus tertipu…yang menjadi senang, tetap parti dan wakil rakyat yang menang, yang menjadi kaya, tetap parti dan wakil rakyat yang menang, yang naik gaji dan hidup mewah, tetap wakil rakyat yang menang…manakala rakyat terus terhimpit. Umat Islam lebih malang lagi, kerana siapa pun yang menang, ternyata Islam tidak diterapkan. Umat mahukan Islam, tetapi wakil-wakil rakyat hanya sibuk membuncitkan perut masing-masing dan menaiki kereta mewah ke sana ke mari. Wakil-wakil rakyat disibukkan dengan usaha menjaga parti dan menjaga pemimpin parti, bukannya menjaga rakyat, disibukkan dengan tugas-tugas untuk kepentingan parti, bukannya tugas-tugas untuk kepentingan rakyat.
Dengan kuasa yang ada, yang diberi oleh rakyat juga, ahli-ahli parlimen ini menggubal undang-undang yang menyengsarakan rakyat. Lihatlah GST, POTA, SOSMA, Akta Hasutan dan lain-lain, semuanya digubal untuk menjerut rakyat dan menjaga hegemoni serta mengayakan pemerintah!!!
Semoga Allah menyedarkan umat ini yang demokrasi tidak membawa apa-apa kecuali malapetaka.