Kecelaruan Barat: Poligami Diharamkan, Perzinaan Dibenarkan

Perancis siasat lelaki poligami

PARIS 26 April – Minggu lalu, seorang wanita Islam didenda kerana memandu dengan mengenakan pakaian yang menutup keseluruhan muka kecuali mata. Kini suaminya disyaki mengamalkan poligami.

Situasi berkenaan kelihatannya memihak kepada Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang mahu menguatkuasakan dengan segera undang-undang melarang pemakaian purdah atas alasan ia bertentangan dengan nilai negara itu.

Pendedahan minggu lepas bahawa seorang anggota polis menyaman seorang wanita berusia 31 tahun di Nantes kerana memandu dengan mengenakan pakaian yang menghalang pandangan merupakan isyarat awal tentang apa yang menanti Perancis sekiranya larangan memakai purdah dikuatkuasakan.

Wanita itu yang tidak didedahkan identitinya memutuskan untuk mencabar saman 22 euro (RM95) yang dikeluarkan awal bulan ini.

Isu berkenaan bertambah kompleks Jumaat lalu, apabila Menteri Dalam Negeri, Brice Hortefeux meminta satu siasatan dijalankan terhadap suami wanita tersebut kerana disyaki berkahwin empat.

Lelaki terbabit dikatakan memanfaatkan subsidi kerajaan bagi ibu tunggal yang diberikan kepada isteri-isterinya itu.

Jika benar, Hortefeux mahu kerakyatan Perancis lelaki kelahiran Algeria itu ditarik balik.

”Jika dia dikahwinkan mengikut acara keagamaan oleh imam-imam di Algeria atau Perancis, ia tidak diterima di bawah undang-undang Perancis,” kata Rabah Hached, seorang peguam di sini yang mengkhusus kepada isu pendatang.

Di sebalik semua itu terdapat juga pihak yang berpendapat tindakan ke atas wanita berkenaan adalah sesuatu yang sudah diatur kerana populariti parti pemerintah semakin pudar.

”Kerajaan melihat orang Perancis sebagai bodoh dan menjadikan rakan Muslim kita sebagai kambing hitam,” kata Ahli Parlimen Parti Sosialis, Jean-Marie Le Guen. – AP

Sumber: Utusan Malaysia 27/04/10

Poligami diharamkan, perzinaan dibenarkan

Liberté, égalité, fraternité yang membawa makna “kebebasan, hak sama rata dan persaudaraan”, merupakan slogan yang digunakan di Peranchis sejak revolusi yang meruntuhkan kekuasaan beraja dan menjadikan negara itu sebuah republik. Meskipun kononnya berpegang kepada aspirasi ini, Peranchis dengan kejam telah menjajah banyak negara pada kurun 18 sehingga 20, dan pernah melibatkan diri dalam penculikan penduduk Afrika untuk dijual sebagai hamba abdi ke kawasan Amerika Utara dan Caribbean di zaman penjajahannya. Hakikatnya, slogan Liberté, égalité, fraternité hanyalah omong-omong kosong belaka!!

Kini, Peranchis mengharamkan pemakaian penutup muka pula, tetapi membiarkan kawasan pantai Mediterranean menjadi pantai tempat orang berbogel berkumpul. Poligami juga nampaknya kini diharamkan di Peranchis berdasarkan berita di atas. Lelaki yang didapati mempunyai lebih daripada seorang isteri boleh dikenakan tindakan mahkamah, tetapi lelaki yang mempunyai hubungan luar nikah dengan perempuan simpanan tidak dikenakan apa-apa tindakan mahkamah! Bahkan, Presiden Republik Peranchis ke-21, Francois Mitterrand sendiri mempunyai hubungan luar nikah dengan beberapa wanita. Beliau dikatakan mempunyai seorang anak perempuan luar nikah bernama Mazarine, hasil perhubungan beliau dengan seorang wanita simpanan (mistress) bernama Anne Pingeot. Namun, bagi mereka, ini lebih wajar dari berpoligami secara sah!

Ideologi Kapitalis yang dikembangkan oleh negara Barat adalah ideologi yang penuh dengan hipokrasi yang sememangnya tidak layak mengatur kehidupan manusia mengikut fitrah yang dikurniakan Allah. Hanya kehancuran dan kerosakan sahaja yang pasti akan terhasil, selayaknya bagi ideologi kapitalis kufur yang rosak!!