Kehebatan wanita bukan diukur dengan lelaki

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan mengulas mengenai pencapaian dan kehebatan wanita di Malaysia dan perjuangan mereka untuk membebaskan sistem partriaki. Nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berada di senarai paling atas, atas kejayaan menjadi wanita pertama Malaysia sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini diikuti dengan beberapa nama lain yang berjaya menjadi Ketua Setiausaha Kementerian, Menteri dan Timbalan Menteri serta kejayaan golongan Hawa tersebut memegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.

Seperti biasa, apabila membincangkan tentang kejayaan dan kehebatan wanita, “objek” yang dijadikan ukuran ialah kaum lelaki. Perbandingan tidak pernah habis dibuat dengan kaum Adam dan wanita dikatakan berjaya dan hebat apabila dapat bersaing atau berada di jawatan yang lebih tinggi berbanding kaum lelaki. Sungguh perbandingan seperti ini sangat naif dan rosak dan tidak ada nilainya di sisi Islam!

Wanita khususnya Muslimah, seharusnya menjadikan Islam, dan Islam semata-mata, dalam mengukur kejayaan dan kehebatan mereka. Islam telah sekian lama mengangkat kedudukan wanita menjadi mulia, di saat dunia, khususnya Barat, memandang rendah martabat dan meminggirkan hak-hak mereka. Martabat wanita telah meningkat dan akan terus meningkat apabila mereka tunduk patuh kepada Islam, bukannya apabila mereka berjaya bersaing dengan lelaki.

Setiap Muslim perlu memahami bahawa wanita dan lelaki, masing-masing mempunyai hak, peranan dan tanggungjawab mereka yang tersendiri menurut Islam. Pandangan hidup (the view of life) yang sepatutnya ada pada seseorang Muslimah ialah dengan melihat dan mematuhi perintah dan larangan Allah (swt) ke atas mereka, bukannya dengan melihat kehidupan yang didominasi oleh kaum lelaki sehingga mereka perlu bertarung untuk mencapai kedudukan yang sama tinggi atau lebih tinggi. Pandangan hidup mengenai konsep partriaki inilah yang sebenarnya telah menjatuhkan para Muslimah, setelah Islam mengangkat mereka ke darjat yang tinggi.

Dengan penjajahan Barat dan kemasukan tsaqafah asing ke dalam dunia Islam, fahaman seperti feminisme telah menular dan menjangkiti ramai Muslimah. Golongan feminis Barat menuntut dan memperjuangkan persamaan hak wanita seperti yang dinikmati oleh kaum lelaki. Perjuangan ini dilihat indah oleh wanita kerana wanita Barat tidak berpegang kepada agama, atau berpegang kepada agama yang salah, sehingga mereka tidak tahu apa tujuan hidup mereka. Lalu mereka menjadikan lelaki sebagai tolok ukur kemuliaan dan kejayaan. Mereka merasa mulia jika mereka berada sama taraf dengan lelaki dalam apa jua bidang. Inilah pandangan mereka.

Dengan perjuangan feminisme Barat yang telah masuk ke dalam dunia Islam, para Muslimah yang telah terpengaruh, gagal melihat bahawa lelaki dan wanita diciptakan Allah (swt) dengan kemampuan dan fungsi yang tersendiri, bukannya diciptakan untuk bersaing antara satu sama lain. Golongan yang terpengaruh dengan feminisme ini telah menjadikan persaingan gender sebagai agenda utama dan sebagai ukuran kemuliaan hidup mereka. Di sinilah bermulanya kesalahan berfikir sehingga meletakkan para Muslimah kembali merosot dan rosak cara berfikir mereka, walaupun mereka merasakan sebaliknya.

Setiap Muslimah harus sedar bahawa dalam Islam, sekiranya mereka berjaya memegang jawatan ketua negara sekalipun, ia bukanlah kemuliaan atau kejayaan, sebaliknya ia merupakan satu kemaksiatan, kegagalan dan kehancuran buat mereka dan buat umat Islam.

“Ketika sampai berita kepada Rasulullah (saw) bahawa penduduk Parsi telah mengangkat putri Kisra sebagai ratu (ketua negara) mereka, baginda lalu bersabda: ‘Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada wanita” [HR Bukhari].

Islam mengharamkan wanita daripada memegang jawatan yang melibatkan urusan pemerintahan seperti jawatan Khalifah, Mu’awwin Tafwidh, Wali dan seumpamanya. Islam juga mengharamkan wanita daripada memegang jawatan Qadhi Qudhat (Ketua Hakim) dan Qadhi Mazhalim serta Amirul Jihad. Namun selain jawatan-jawatan tersebut, Islam membenarkan mereka menjawatnya selama mana diizinkan oleh walinya . Dengan kata lain, mereka boleh memegang jawatan yang bersifat administrasi seperti menjadi kakitangan awam atau memasuki apa jua bidang profesional kerana pekerjaan tersebut tidak melibatkan urusan pemerintahan.

Islam tidak melarang wanita untuk terlibat secara aktif dan menyumbang kepada masyarakat dan kebaikan umat. Sejarah Islam telah menukil banyak riwayat yang menunjukkan kehebatan para Muslimah dalam bidang agama, perjuangan untuk menegakkan agama Allah (swt) serta sumbangan kaum Hawa tersebut kepada dunia Islam, selain melahirkan dan mendidik pahlawan-pahlawan Islam yang agung di sepanjang zaman.

Justeru, wanita yang hebat itu bukannya yang berjuang dan berjaya bersaing dengan lelaki, sebaliknya wanita yang mentaati perintah Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Para wanita harus sedar bahawa antara tugas utama dan mulia seseorang wanita di sisi Islam ialah sebagai “ummu wa rabbatul bait” (ibu dan pengurus rumahtangga) yang menyumbang kepada pembentukan generasi Islam yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Demikianlah ukuran yang benar mengenai kehebatan seseorang wanita di sisi Islam. Sabda Rasulullah (saw),

“Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengawal kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki” [ HR Ibnu Hibban ].

Wallahu a’lam

Affan