Kejahilan Melahirkan Kemandirian Individu Yang Keliru Dan Celaru

Pada 25 Ogos 2021, Utusan Malaysia telah mengeluarkan pengakuan seorang mangsa sumbang mahram bertajuk ‘Abang kandungku adalah suamiku’. Mangsa bernama Shieda (bukan nama sebenar) telah menceritakan kepada wartawan bagaimana kisah perjalanan hidupnya terjerumus dalam masalah sumbang mahram bersama abang kandungnya sendiri sehingga melahirkan 3 orang anak hasil dari hubungan zina tersebut. Dalam kisah tersebut, diceritakan bahawa Shieda yang sebelumnya tinggal bersama ibunya di sebuah kampung di negeri Selatan tanah air terpaksa mengikut abang kandungnya, Salleh yang berusia 25 tahun waktu itu berpindah ke Kuala Lumpur selepas kematian ibunya pada 2014. Nuansa kehidupan tidak syarie yang mereka tempuhi sehari-hari akhirnya membuka kepada pintu zina yang berlarutan. Kehidupan penuh noda yang mereka jalani tersebut berakhir pada tahun 2020 apabila Salleh meninggal dunia akibat paru-paru berair. Menurut Shieda, bagi menjamin kehidupan ketiga-tiga anak tersebut, dua orang anaknya diletakkan di pusat perlindungan dan seorang lagi diserahkan kepada sebuah keluarga angkat. Manakala bagi Shieda sendiri, hidup dia diteruskan dengan menjadi pembantu rumah kepada sebuah keluarga di Damansara. (Utusan Digital, 25 Ogos 2021)


Komentar:

Kisah ini merupakan salah satu dari banyaknya kisah lain yang menyumbang kepada permasalahan sumbang mahram di Malaysia. Kehidupan yang jauh dari kefahaman Islam, serta penerapan sistem kapitalisme yang berasaskan manfaat semata telah membentuk pola fikir manusia yang hanya bersandarkan pada manfaat, bukan pada halal dan haram. Kenaifan dan kedaifan manusia membawa kepada kemungkaran dan kemaksiatan, namun kelompongan dalam aspek nafsiyah dan syakhsiyyah Islam-lah yang menjerat diri sebahagian masyarakat ke dalam kancah sumbang mahram yang tidak ternoktah. Inilah yang berlaku kepada kedua beradik ini. Si abang dengan masalah araknya dan adik pula seakan naif di’rosakkan’ abang walau dalam rela menunjukkan betapa jauhnya mereka dari cahaya Islam dan syakhsiyyah Islam. Bersekedudukan dalam sebuah bilik antara lelaki dan perempuan walaupun sesama adik beradik kandung merupakan satu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Sepertimana perintah Rasul, “Perintahkan lah kepada anak-anak kalian solat ketika usia mereka tujuh tahun; pukullah mereka kerana (meninggalkan) nya saat berusia sepuluh tahun dan pisahkan mereka di tempat tidur”. (HR Abu Dawud)

Hadis ini adalah perintah kepada ibu bapa agar memisahkan tempat tidur anak-anak setelah berusia 10 tahun. Jadi inikan pula bagi yang sudah dewasa yang berusia 20 tahun dan 25 tahun. Usia dimana gejolak nafsu (gharizah nau’) yang sedang menguji kekuatan dan keteguhan iman tatkala ianya tidak disikapi dan dikawal dengan benar. Namun begitu, begitu banyak kes sumbang mahram berlaku ekoran kemiskinan tegar menyebabkan ketua isi rumah tidak mampu menyediakan penempatan yang syarie apatah lagi selesa bagi setiap isi keluarga, sehingga terpaksa berkongsi ruang tanpa batas sesama mereka. Hakikatnya, kerosakan individu-individu dalam masyarakat adalah berpunca dari kegagalan sistem kehidupan manusia itu sendiri. Hal ini kerana, sistem kehidupan yang baik akan melahirkan individu serta masyarakat yang baik dan sebaliknya. Kehidupan yang disandarkan pada ideologi sekular kapitalis memberi kebebasan dan pilihan kepada manusia ke atas kehidupan yang mereka jalani. Hal ini menyebabkan ramai memilih menyandarkan perbuatan mereka pada hawa nafsu semata. Oleh itu, tidak hairan mengapa hari ini kita menyaksikan begitu banyak kerosakan di dalam institusi kekeluargaan Muslim termasuklah masalah sumbang mahram.

Pembentukan Syakhsiyyah Islam

Salah satu faktor yang boleh dikenalpasti menjadi punca keterjebakan Shieda dan Salleh dalam “sumbang mahram” yang berpanjangan adalah akibat oleh lemahnya syakhsiyyah Islam. Pembentukan syakhsiyyah Islam dalam diri individu memerlukan kepada pendidikan asas yakni tsaqafah Islam serta pembentukan rangka berfikir Islam. Keperluan ini adalah sangat penting bagi seorang individu Muslim untuk berpegang teguh dengan hukum syarak agar menjadikan kita sebagai individu Muslim yang mandiri dalam kehidupan, cerdas dalam pemikiran dan matang dalam membuat sebarang keputusan terkait hidupnya.

Sistem pendidikan sekular yang memisahkan agama dari kehidupan dan menjadikan ianya pilihan bagi manusia untuk mempelajari tsaqafah Islam ini akhirnya berjaya mencabut nilai-nilai Islam yang sepatutnya diusung oleh setiap indvidu yang bergelar Muslim. Kegagalan sistem pendidikan dalam memberikan tsaqafah Islam yang benar melahirkan manusia yang berfikir dan bertindak mengikut hawa nafsu semata. Bahkan ia menjadikan seseorang itu tanpa hala tuju kehidupan yang jelas sepertimana yang dituntut syarak. Oleh sebab itu, pentingnya sistem pendidikan yang bersandarkan akidah Islam yang mampu melahirkan Muslim berkeperibadian terpuji (syakhsiyyah mutamayyizah) iaitu secara aqliyah (cara fikir) yakni cara yang digunakan untuk memikirkan sesuatu dan nafsiyah  (sikap atau tindakan) yang digunakan seseorang untuk memenuhi tuntutan gharizah (naluri) dan keperluan jasmani. (Hizbut Tahrir, Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah).

Maksudnya, seorang Muslim yang berkeperibadian Islam sebenar adalah yang mempunyai pola fikir dan pola sikap Islam dimana setiap perbuatan yang dilakukan disandarkan pada hukum syarak semata, bukan disandarkan pada pemikiran selain Islam, hawa nafsu mahupun manfaat duniawi.

Tidak kurang pentingnya peranan keluarga dalam memberi pengaruh dan persekitaran yang Islami bagi setiap ahli keluarga. Pendidikan dalam keluarga merupakan pendidikan sepanjang hayat. Ibu bapa perlu memastikan pembinaan dan pembentukan keperibadian serta syakhsiyyah anak tadi terbentuk daripada hasil acuan pendidikan Islam dimana hanya akidah Islam yang menjadi pasak dalam proses pembentukan itu tadi. Pembentukan syakhsiyyah Islam yang baik mampu menjadikan individu Muslim  yang sentiasa menjadikan hukum syarak sebagai satu-satunya pegangan dalam hidupnya sehingga mampu menghindari dirinya dari terjebak dari masalah-masalah sosial seperti yang dilalui Shieda.

Yang lebih utama, bagi menjayakan proses pembentukan syakhsiyyah individu tadi dengan syakhsiyyah Islam, sebuah sistem politik yang kondusif diperlukan iaitu melalui dasar pemerintahan negara berlandaskan ideologi Islam. Negara yang mempunyai dasar akidah Islam akan memastikan setiap roda kehidupan dalam masyarakatnya berputar dengan hukum syarak baik dalam sektor pendidikan, ekonomi, sistem sosial, perundangan dan sebagainya.

Kesimpulan

Setiap individu Muslim perlu bangkit dan sedar akan kepentingan tsaqafah dan syakhsiyyah Islam yang benar agar diri menjadi Muslim yang hanya menjadikan Islam sebagai satu-satunya rujukan dan panduan dalam mengemudi kehidupan di dunia yang penuh ujian dan cabaran agar kita tidak celaru dan keliru apabila berhadapan dengan masalah kehidupan. Rungkaikan persoalan terkait dengan (i) Dari mana kita datang, (ii) Tujuan penciptaan kita di dunia serta (iii) Ke mana kita akan pergi selepas mati. Jawapan kepada rungkaian tersebut akan membawa kita kepada Allah dan Islam, satu-satunya tujuan penciptaan kita di dunia dengan menjadikan Islam sebagai satu aturan yang wajib diterapkan (melalui sebuah kekuasaan) dalam kehidupan kita di bawah sebuah institusi negara Islam (Khilafah) yang akan memastikan kesejahteraan individu, masyarakat dan negara. Oleh itu, apabila membicarakan tentang Islam, pasti tidak akan terlepas dari menyentuh tentang kekuasaan. Hal ini pernah disentuh oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz Ketika dia mengirim surat kepada salah seorang amil-nya. Antara isi di dalam surat tersebut dia mengungkapkan:

وَ الدِّيْنُ وَ الْمُلْكُ تَوْأَمَانِ فَلاَ يَسْتَغْنِي أَحَدُهُمَا عَنِ اْلآخَرِ

“Agama dan kekuasaan itu ibarat dua saudara kembar. Tidak cukup salah satunya tanpa didukung oleh yang lain”. (Abdul Hayyi al-Kattani, Tarâtib al-Idâriyah [Nizhâm al-Hukûmah an-Nabawiyyah], 1/395).

 

Wallahu a’lam

 

Maizatul Akmar

(Lajnah I’lamiyyah MHTM)

 

Rujukan:

  1. ‘Abang kandung jadi suamiku’ – Utusan Digital https://www.utusan.com.my/premium/2021/08/abang-kandung-jadi-suamiku/?fbclid=IwAR0oJG8__MHIsinvZim-w3CMErlDZcj1r3hfShqrbODVRn07juc2lLEpjJQ
  2. https://mediaumat.news/buletin-kaffah-perisai-islam-dan-umat/