Kekalahan berterusan umat Islam di bawah sistem sekular
Berita:
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengenepikan penukaran agama sebelah pihak yang melibatkan 3 anak M Indira Gandhi, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapatkan persetujuan kedua-dua ibu bapa.
Dalam apa yang disifatkan sebagai keputusan penting, mahkamah juga memerintahkan hanya mahkamah sivil boleh memberi keputusan dalam hal seperti itu.
Keputusan hari ini mengakhiri pertarungan selama 9 tahun mengenai hak penjagaan antara agama, susulan tindakan bekas suami India yang masuk Islam, Muhammad Riduan Abdullah, menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka pada 2009.
Berita penuh: freemalaysiatoday.com
Komentar:
Islam ialah deen yang mengatur urusan hidup manusia baik dari aspek individu mahupun politik(mengurus rakyat). Dalam mengurus individu seperti permasalahan keluarga, telah dirincikan soal hak mengasuh(kafalah) dan kewalian(wilayah penguasaan) sehingga permasalahan tersebut diselesaikan dengan tuntas menurut Islam. Hak mengasuh, menyusu dan merawat anak-anak yang masih kecil tidak mumaiyiz sememangnya menjadi hak ibu tanpa mengambil kira si ibu Muslim atau kafir. Namun hak kewalian adalah kekal di tangan ibu atau bapa yang Muslim kerana Islam tetap yang tertinggi berbanding yang lain. Merujuk kepada kes ini, maka anak-anak tersebut wajib Islam dan wajib diserahkan penjagaan mereka kepada bapa mereka, Muhammad Riduan Abdullah kerana mereka sudah pun mumaiyiz.
وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman”[TMQ an-Nisa’ (4):141].
Rasulullah SAW bersabda,
الإِسْلامُ يَعْلُو وَلا يُعْلَى
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya”[HR ad-Daruquthni].
[Rujukan: Taqiuddin an-Nabhani, Sistem Pergaulan Dalam Islam, Hizbut Tahrir, 300-308]
Namun, apa yang berlaku ialah sebaliknya bagi umat Islam ketika ini. Keputusan para hakim Mahkamah Persekutuan ini sebenarnya menggambarkan hakikat bahawa pemerintahan Malaysia menerapkan sistem sekular. Al Quran dan as Sunnah bukanlah sumber rujukan para hakim melainkan Common Law dan perlembagaan Malaysia bikinan ‘tuhan’ Lord William Reid. Para hakim sendiri mengakui bahawa ketika mempertimbangkan kes ini mereka tidak mengambil kira langsung pandangan agama melainkan merujuk kepada perlembagaan Malaysia semata-mata. Inilah dasar sekular iaitu tidak melihat pertimbangan agama dalam mengurus atau menyelesaikan masalah.
Sudah masanya umat Islam memperhatikan dengan teliti permasalahan sistem negara ini. Umat Islam wajib berjuang dan berdakwah mengembalikan Khilafah kerana hanya dengan itu hukum Allah SWT dapat didaulatkan 100 peratus.
Mohammad Haswaneezal
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia