‘Umat Islam sokong keputusan Mahkamah Tinggi adalah kufur’

‘Umat Islam sokong keputusan Mahkamah Tinggi adalah kufur’

BANGI: Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menegaskan, mana-mana umat Islam yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Tokoh ulama itu berkata, melalui kaedah yang dipakai dalam ilmu akidah, tindakan bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh agama Kristian itu membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai tuhan sebagai Triniti iaitu terdiri daripada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus.

“Dalam Islam, Allah adalah Esa (satu). Kalau ada yang menyekutukan Allah dengan Triniti, maka berlakulah syirik yang membawa kepada kufur. Kalau kita reda dengan yang kufur, kita jatuh kufur sama,” katanya pada sidang media di rumahnya di sini, semalam.   Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa laman blog termasuk milik pemimpin politik yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad melalui blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan mahkamah itu atas alasan Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaannya.   Haron berkata, walaupun wujud perbezaan pandangan dalam hal siasah dan politik, namun dalam hal berkaitan agama, semua umat Islam mesti bersatu dan berbalik kepada kaedah agama.

Sumber :
Berita Harian, 05/01/10

Bagaimana Pula Dengan Status Mereka Yang Mempertahankan Perlembagaan Hadiah Lord Reid?

Isu penggunaaan nama Allah terus hangat diperbincangkan oleh seluruh peringkat masyarakat. Kini Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din pula memeriahkan suasana yang nampaknya menambahkan lagi warna-warni perbincangan berkenaan isu ini. Dengan munculnya isu ini arus pemikiran masyarakat terutamanya umat Islam, umat  terus dialihkan dari melihat kepada perkara yang menjadi punca kepada masalah yang sebenar.  Punca sebenar permasalahan dalam isu ini adalah dari perlembagaan negara itu sendiri. Sebagai Muslim, terutamanya para pemimpin negara yang ada pada hari ini, sudah sewajarnya kita menerima hakikat bahawa perlembagaan yang diguna pakai kini, yang mengandungi Perkara 11 dan Perkara 3, adalah merupakan akar munculnya permasalahan ini.  Inilah dia perlembagaan kufur hadiah dari Lord Reid kepada umat Islam di Malaysia sejak 52 tahun yang lalu.

Mungkin lebih wajar kiranya Datuk Dr Haron Din mengangkat isu penggunaan perlembagaan kufur yang selama ini menjadi punca kepada pelbagai masalah umat Islam di Malaysia. Para pemimpin umat Islam yang berkuasa hari ini wajib diingatkan tentang kewajiban mereka untuk menerapkan hukum Allah SWT bukannya  masih lagi berhukum kepada thaghut. Firman Allah SWT:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.
[TMQ: an-Nisa’ (4) : 65]

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintahkan mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”. [TMQ: an-Nisa’ (4) : 60].

“…Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah”.
[TMQ: Yusuf (12) : 40].

Siapa agaknya yang akan menangguk di air keruh dalam isu ini? Sama-sama kita lihat episod seterusnya.