Kelantan serah harta umat kepada asing

kerajaan-kelantan-serah-harta-umatBaru-baru ini kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan telah menerima bayaran kedua royalti daripada Syarikat CNMC Goldmine Holdings Limited, sebuah syarikat yang diberi kelulusan untuk menggali lombong emas di Hutan Simpan Sokor, Kelantan, sekali gus kelulusan mengaut keuntungan lumayan dari hasil bumi negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Kerajaan Negeri Kelantan juga dikatakan akan menerima sejumlah RM60 juta sepanjang tahun ini hasil royalti perlombongan emas tersebut.

Syarikat CNMC yang mula beroperasi sejak 2007 telah diberikan pajakan melombong untuk  21 tahun sehingga tahun 2034, sebuah perjanjian yang nampaknya tak ubah seperti menang sorak kampung tergadai. Apa tidaknya, melalui pajakan tersebut, kerajaan Kelantan memberikan kekayaan hasil emasnya sebanyak 81 peratus kepada CNMC, manakala royalti yang diterima Kelantan hanyalah sekecil 5 peratus dan 3 peratus lagi diterima oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Lebih menyedihkan, hasil emas tersebut telah diberikan kepada syarikat yang berpusat di Singapura itu, yang merupakan sebuah syarikat milik orang kafir.

Apa pun alasan yang diberi oleh kerajaan Kelantan, perjanjian yang dimasuki dengan syarikat asing itu yang telah memberikan kekayaan bumi umat Islam kepada orang kafir, merupakan suatu hal yang jelas bertentangan dengan syarak. Tidak hairanlah jika ramai rakyat Kelantan yang masih miskin dan negeri tersebut kurang membangun, apabila hasilnya yang melimpah ruah, mengalir ke luar.

Pandangan Islam Tentang Harta Galian

Dalam Islam, dunia dan seisinya adalah milik Allah SWT. Allahlah yang menguasai seluruh kepemilikan harta tersebut. Allah SWT berfirman,

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا يخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِير

“Dan kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Dia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” [Al-Ma’idah (5):17].

وَءَاتُوهُم مِّن مَّالِ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ ءَاتَٮٰكُمۡ

“Berikanlah kepada mereka harta milik Allah yang telah Dia berikan kepada kalian” [Al-Nur (24):33].

Berdasarkan ayat-ayat ini, kesemua harta yang ada di dunia ini sesungguhnya merupakan milik Allah semata-mata. Namun, Allah SWT telah menganugerahkan kekayaanNya kepada manusia untuk dimiliki dan dikelolakan oleh manusia sesuai dengan hukum-hakam yang telah ditentukanNya, sehingga hak milik itu berubah kepemilikannya kepada manusia. FirmanNya,

ءَامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُواْ مِمَّا جَعَلَكُم مُّسۡتَخۡلَفِينَ فِيهِ

“Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya” [TMQ al-Hadid (57):7].

Al-milkiyyah (kepemilikan) secara syarie bermaksud izin Allah sebagai Pemilik hakiki harta, untuk memanfaatkan sesuatu harta. Izin Allah itu merupakan hukum-hukum yang berlaku terhadap harta tersebut. Jika harta tersebut diberi izin untuk dimanfaatkan oleh masyarakat secara bersama-sama, maka harta itu menjadi al-milkiyyah al-‘ammah (kepemilikan umum / public ownership). Dengan kata lain, al-milkiyyah al-‘ammah merupakan izin daripada Allah kepada masyarakat keseluruhannya untuk menikmati harta tersebut secara bersama-sama, tidak ada perbezaan antara sebahagian anggota masyarakat dengan sebahagian yang lain dalam memanfaatkannya.

Salah satu jenis al-milkiyyah al-‘ammah ialah apa sahaja bahan galian atau mineral dalam tanah yang terdapat dalam jumlah yang besar. Abyadh bin Hammal RA menceritakan:

أَنَّهُ وَفْدَ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَاسْتَقْطَعَهُ الْمِلْحَ فَقَطَعَهُ لَه فَلَمَّا أَنْ وَلَّى قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْمَجْلِسِ : أَتَدْرِى مَا قَطَعْتَ لَهُ إِنَّمَا قَطَعْتَ لَهُ الْمَاءَ الْعِدَّ قَالَ فَانْتَزِعَ مِنْهُ

“Dia (Abyadh bin Hamal) datang kepada Rasulullah SAW meminta untuk mengelola (galian) garam. Rasul lalu memberikannya. Setelah ia pergi ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasul, “Wahai Rasulullah, tahukah apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikannya sesuatu yang bagaikan air mengalir.” Lalu ia berkata: Kemudian Rasulullah SAW pun menarik kembali galian itu daripadanya” [HR Tirmizi].

Riwayat ini adalah berkaitan dengan galian garam, bukan garam itu sendiri. Apatah lagi dalam riwayat al-Nasai dari Amru bin Yahya bin Qais jelas disebutkan ma’din al-milh (galian garam). Pada mulanya Rasul SAW memberikan galian garam itu kepada Abyadh. Namun, ketika baginda diberitahu yang bahan galian itu (bersifat) seperti al-ma‘a al’idd, (air yang mengalir) yang bermaksud tidak putus (banyak) maka Rasulullah menariknya kembali dari Abyadh.

Ini bermakna, ’illat penarikan balik galian itu adalah keberadaannya sebagai bahan galian yang bersifat “mengalir” iaitu jumlahnya banyak. Oleh kerana itu, semua jenis galian yang jumlahnya banyak, apatah lagi dengan jumlah yang sangat besar – baik bahan galian tersebut berada di permukaan ataupun jauh di dalam perut bumi; baik berupa galian padat seperti besi, emas, perak, dsb atau berupa cecair seperti petroleum mahupun berupa gas seperti gas asli – maka semua itu termasuk dalam cakupan hadis di atas, iaitu merupakan hak milik umum, yang tidak boleh dimiliki oleh individu atau negara. Tugas negara hanyalah mengelola untuk mengeluarkannya, lalu kesemua hasilnya wajib diberikan kepada umum (rakyat).

Jika dilihat kepada simpanan emas di Sokor, pada bulan Mei lepas, jumlah cadangan emas di Lombong Sokor itu dikatakan sehingga lebih 681,000 auns emas (http://mypaper.sg/business/cnmcs-kelantan-gold-mine-shines-20160531). Ini merupakan jumlah yang sangat besar dan sekiranya kesemua simpanan ini berjaya diekstrak dan diproses maka nilainya adalah berbilion bahkan mungkin trilion ringgit.

Berdasarkan sifatnya umpama al-ma’a al-idd itu, maka lombong emas tersebut jelas merupakan hak milik umum. Kerajaan Kelantan tidak boleh menyerahkannya kepada syarikat swasta, apatah lagi syarikat asing dan apatah lagi yang dimiliki oleh orang-orang kafir, untuk mengaut keuntungan daripadanya. Kewajipan pemerintah adalah menguruskan perlombongan emas tersebut, sebagai wakil umat, dan mengembalikan semula kekayaannya untuk kemaslahatan umat.

Bagaimana Negara Menguruskan Perlombongan

Berdasarkan hadis di atas di mana Rasulullah SAW selaku ketua negara telah menarik semula hak ke atas galian garam daripada Abyadh, maka wajib bagi pemerintah (sebagai wakil umat) menguruskan kesemua kawasan perlombongan yang mempunyai jumlah bahan galian yang banyak, dan memasukkan hasilnya ke dalam Bahagian Pendapatan Negara dan digunakan untuk kepentingan umat. Di dalam Negara Islam (Khilafah), kesemua hasil dari galian milik umum akan dimasukkan ke dalam Diwan al-Milkiyyah al-‘Ammah (Dewan Pemilikan Umum) di bawah Baitul Mal yang kemudiannya wajib diurus oleh Khalifah untuk kemaslahatan kaum Muslimin.

Ada dua cara pengelolaan lombong oleh Khilafah:-

Pertama: Khilafah boleh mengelola sendiri perlombongan yakni menggunakan segala kepakaran dan aset dalam negara. Dalam hal ini, segala keperluan dari awal hingga akhir, seperti R&D, pembinaan industri, pembelian mesin, saluran dan banyak lagi, kesemuanya boleh diguna wang dari Diwan al-Milkiyyah al-‘Ammah untuk membiayainya, dan hasil (keuntungan)nya kemudian akan digunakan sepenuhnya untuk kemaslahatan kaum Muslimin. Tidak boleh (haram) bagi Khilafah memanfaatkan hasil untuk selainnya.

Kedua: Khilafah boleh melantik syarikat asing mahupun swasta yang mempunyai kepakaran untuk mengekstrak dan memproses galian. Dalam hal ini, Khilafah akan memberi mereka upah sahaja atas pekerjaan tersebut tetapi seluruh hasil galian itu mesti dikembalikan kepada umat. Dengan kata lain, haram bagi Khilafah memberikan konsesi atau keuntungan hasil dari galian tersebut kepada syarikat tersebut. Pihak swasta, apatah lagi syarikat asing, tidak dibenarkan melombong galian tersebut untuk diri mereka sendiri dan mengaut keuntungan daripadanya.

Melalui harta kekayaan dalam kepemilikan umum inilah, Khilafah akan membelanjakannya dalam rangka memenuhi maslahat umat dengan cara membina infrastruktur awam seperti perkhidmatan utiliti, jalan raya, jalan keretapi, hospital, sekolah, sistem komunikasi dsb. Selain itu, harta milik umum ini juga akan digunakan untuk membantu Khilafah memajukan lagi teknologi perlombongan baik dari segi aspek latihan, R&D mahupun membeli mesin-mesin dan kelengkapan yang lebih canggih dalam proses perlombongan tersebut.

Khatimah

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan atau kerajaan mana-mana negeri, mahupun Kerajaan Pusat yang telah memberikan bukan sahaja lombong-lombong emas malah banyak lagi lombong minyak, mineral dan pelbagai galian lain kepada pihak swasta/asing merupakan satu tindakan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Kesemua galian di dalam negara adalah hak milik umum dan wajib dikelola oleh pemerintah untuk dimanfaatkan kekayaannya oleh umum. Namun malangnya, pemerintahan berdasarkan sistem Kapitalis pada hari ini telah menjadikannya sebagai milik negara dan menyerahkannya kepada swasta/asing, malah lebih buruk menyerahkannya kepada kaum kuffar. Dalam sistem demokrasi-kapitalisme ini, syarikat swasta/asing dengan mudah mengaut segala kekayaan negara kerana diberi oleh pemerintah yang telah mengkhianati amanah dan mengkhianati umat. Justeru, di sinilah letaknya peranan kita untuk memuhasabah pemerintah berusaha menukar sistem pemerintahan ini agar berjalan sesuai menurut wahyu, bukan menurut nafsu. Wallahu a’lam.