Kembara Dakwah Borneo 2016 – Siri 1

kabo16_2_20Peserta Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) dari Semenanjung mula tiba di Sandakan pada hari Sabtu 10/09/2016. Sebahagiannya tiba pada keesokan harinya. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan yang memakan masa lebih kurang 2 jam 45 minit langsung tidak terasa jauhnya, apatah lagi dengan semangat yang berkobar-kobar dari semua peserta untuk memulakan misi dakwah di negeri di bawah bayu itu.

Pada malamnya, semua peserta menginap di tempat yang telah ditempah khas tidak jauh dari bandar Sandakan. Misi dakwah di Sabah ini secara rasminya bermula pada hari Ahad 11/09/2016, sehari sebelum Hari Raya Idul Adha. Suasana di tempat penginapan pada malamnya telah pun dibahangi dengan perbincangan mengenai usaha-usaha dakwah yang bakal ditempuh selama seminggu nanti. Setiap peserta sungguh teruja dan tidak sabar menyahut panggilan Allah dan Rasul.

Dalam rangka mencari keberkatan dan keredhaan Ilahi, kesemua peserta berpuasa sunat Arafah pada hari Ahad tersebut. Sekitar jam 10 pagi sebagaimana dirancang, para peserta memulakan langkah untuk ke bandar Sandakan demi menyampaikan agama Allah SWT kepada masyarakat. Kesemua peserta menaiki pengangkutan awam untuk ke bandar. Van yang menjadi pengangkutan awam utama di Sandakan agak efektif dan memuaskan untuk perjalanan jarak dekat sekitar 10 minit ke bandar.

KABO16 sememangnya dirancang untuk bermula di bandar Sandakan dengan para peserta melakukan Street Dakwah di tengah-tengah pusat bandar. Lokasi yang menjadi pilihan ialah laluan pejalan kaki Harbour Mall yang terkenal di bandar Sandakan. Dua van yang membawa peserta kembara menyusur laju menuju pusat bandar.

Turun sahaja dari van, para peserta terus bergerak ke Harbour Mall untuk memulakan aktiviti berinteraksi dengan orang ramai, di samping menyebarkan risalah “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah”. Bunting dakwah mula dibuka dan syabab Hizbut Tahrir mengajak orang ramai yang lalu lalang untuk singgah mendengar mesej yang ingin disampaikan. Respons dari orang ramai amat baik di mana mereka mendengar dengan penuh khusyuk akan penerangan yang diberikan oleh syabab Hizb yang merupakan peserta KABO16.

Tanpa mengira latar belakang, usia mahupun jantina, orang ramai yang berjalan kaki di laluan Harbour Mall disapa oleh syabab HTM dan diajak mendengar penerangan ringkas mengenai Islam dan penyatuan umat di bawah Khilafah. Peserta KABO16 dari Semenanjung kelihatan sungguh bersemangat dapat berinteraksi dengan umat Islam di Sandakan yang rata-ratanya menerima dengan baik dakwah yang disampaikan.

“Saya tidak pernah melihat sebuah gerakan Islam yang berusaha bersungguh-sungguh melakukan dakwah seperti Hizbut Tahrir”, ujar salah seorang peniaga di Harbour Mall yang berinteraksi dengan syabab Hizbut Tahrir.

“Teruskan usaha kamu, saya sokong. Kalau boleh datanglah ke kampung saya dan beri penerangan yang sama kepada penduduk kampung”, ujar salah seorang tokoh masyarakat yang kebetulan lalu di situ dan turut mendengar mesej dakwah yang disampaikan oleh syabab Hizb.

Sesungguhnya luahan dua orang warga Sandakan itu sudah cukup untuk menaikkan semangat para peserta KABO16 dan sudah cukup untuk membuktikan betapa masyarakat Sandakan sangat mengharapkan aktiviti-aktiviti dakwah yang boleh mempersatukan dan membawa kebaikan kepada mereka khasnya dan kepada umat Islam amnya.

Setelah lebih kurang sejam membasahi tekak tanpa henti menyeru orang ramai kepada penyatuan di bawah Khilafah, peserta KABO16 bergerak dari Harbour Mall menaiki bas ke Masjid Daerah untuk menunaikan solat berjemaah. Selesai solat, beberapa peserta bergerak pulang ke tempat penginapan dan ada yang mengambil peluang berjalan-jalan di bandar Sandakan, sebagai sebuah bandar yang penduduknya amat dahagakan Islam dan penyatuan umat.

Bersambung..