Kembara Dakwah Borneo 2016 – Siri 4

21Kelima-lima kenderaan Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) meneruskan perjalanan ke Lahad Datu, meninggalkan rakan-rakan peserta van yang terkunci, dengan doa dan harapan agar kunci pendua segera tiba untuk mereka menyusul kemudian.

Di pekan kecil Kinabatangan, para peserta masih diambil keterangan oleh anggota PDRM. Permit van dan kesemua nama peserta telah dirakam oleh polis, lalu dihantar kepada rakan-rakan polis mereka di daerah yang lain, dalam rangka menghalang usaha dakwah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir. Syabab Hizb yang diambil keterangan, dalam masa yang sama mengambil peluang mendakwahi anggota PDRM yang berkenaan dan menjelaskan misi dakwah KABO16. Walaupun jelas kelihatan yang anggota PDRM berkenaan sangat kurang senang dengan aktiviti dakwah Hizbut Tahrir, namun akhirnya kesemua peserta dilepaskan tanpa ada yang ditahan.

Kelima-lima kenderaan tiba di Lahad Datu sekitar jam 1.00 petang dan terus ke Masjid Ar-Raudhah di pusat bandar, untuk menunaikan solat. Pada waktu itu, kebetulan masjid dipenuhi orang ramai dan pihak polis, kerana ada majlis yang baru sahaja berakhir. Kehadiran peserta KABO16 terus menarik perhatian orang ramai yang ada di situ.

Selesai menjamak solat Zohor dan Asar, para peserta memulakan edaran risalah “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah” dan mula berinteraksi dengan orang ramai yang berada di masjid. Mesej dakwah bahawa kita adalah umat yang satu dan kewajipan bersatu di bawah satu negara (Khilafah) mula berkumandang di Lahad Datu. Pihak polis yang rata-ratanya berpakaian preman sudah memantau daripada awal dan terus mendekati ramai peserta kembara.

Oleh kerana pihak polis di Lahad Datu telah pun mendapat maklumat daripada rakan-rakan mereka di Kinabatangan, jadi, ternyata mereka telah “bersedia” menyambut kedatangan misi dakwah HTM ini. “Kepanasan” mula melanda anggota PDRM yang ada di Lahad Datu umumnya, dan yang berada di sekitar masjid khasnya. Aktiviti peserta KABO16 di situ terus mengundang ketua Cawangan Khas Lahad Datu untuk bersemuka sendiri dengan para peserta.

Ustaz Abdul Hakim Othman, yang juga Jurucakap HTM terus dipanggil untuk memberi keterangan di kawasan masjid itu juga. Selain meminta keterangan dan menyalahkan HTM dengan apa yang dilakukan, berlaku perdebatan di antara ketua Cawangan Khas tersebut dengan Ustaz Hakim yang berlanjut selama lebih kurang satu jam. AJK Masjid yang juga berada di situ turut masuk campur dalam perbincangan. Para peserta diminta untuk tidak melakukan edaran atas alasan tiada permit dan kelulusan daripada pihak berkuasa. Dalam masa yang sama, banyak isu-isu berkaitan Hizbut Tahrir yang telah dibangkitkan oleh Cawangan Khas.

Sekali lagi jelas kelihatan bahawa aktiviti dakwah Hizbut Tahrir tidak disenangi oleh pihak polis, walaupun Jurucakap HTM itu telah menjelaskannya dengan cara yang baik. Bagaimana pun, hal ini bukanlah suatu yang asing bagi Hizbut Tahrir dan bukanlah suatu yang mengejutkan. Cuma, apa yang menyedihkan ialah halangan-halangan dakwah seumpama ini datangnya dari mereka yang beragama Islam itu sendiri.

Walau apa pun halangannya, mesej bahawa umat Islam adalah umat yang satu dan kewajipan untuk bersatu di bawah Negara Khilafah terus menggegarkan bandar Lahad Datu. Tatkala Jurucakap dan sebahagian peserta KABO16 berhadapan dengan PDRM di kawasan masjid, peserta yang lain meneruskan perjuangan di tengah-tengah bandar Lahad Datu, mengetuk dari satu pintu kedai ke pintu kedai yang lain, mendatangi umat Islam di tepi-tepi jalan dan di mana sahaja, menyebarkan risalah dakwah serta berinteraksi dengan umat Islam di daerah yang “terpanas” di Malaysia itu. Ternyata mesej dakwah yang dibawa oleh HTM disambut baik oleh masyarakat Lahad Datu.

Bersambung…