Kembara Dakwah Borneo 2016 – Siri 5

1Jadual perjalanan Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) terbantut sedikit kerana soaljawab yang agak panjang dari Cawangan Khas PDRM di Lahad Datu. Jam menunjukkan sekitar 3 petang, barulah kelima-lima kenderaan bergerak keluar dari bandar Lahad Datu, setelah Jurucakap Hizbut Tahrir “dilepaskan” oleh Cawangan Khas. Destinasi seterusnya ialah Kunak, yang berada di tengah perjalanan antara Lahad Datu ke Tawau.

Semasa perjalanan ke Kunak, semangat para peserta semakin membara setelah apa yang dialami di Lahad Datu. Halangan daripada anggota Cawangan Khas semakin menambah semangat para peserta bahawa itulah sifat dakwah di jalan kebenaran. Dakwah yang benar sebagaimana dibawa oleh Rasulullah SAW bukanlah dakwah yang disambut dengan hamparan permaidani merah. Rasa puas tergambar di setiap peserta, tatkala Lahad Datu dikatakan “daerah terpanas” di Malaysia, ternyata umat Islam yang berinteraksi dengan peserta kembara menyambut baik usaha dakwah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir. Seruan untuk kembali menjadi ummatan wahidah di bawah naungan Khilafah menyentuh minda setiap Muslim di Lahad Datu yang didakwahi oleh syabab Hizb.

Sebelum tiba di Kunak, sampai berita gembira mengenai van yang tertinggal di Kinabatangan telah pun mula bergerak. Alhamdulillah, bisik setiap hati dan luahan lisan para peserta kembara. Dalam suasana gembira dan bersyukur, kelima-lima kenderaan terus meredah jalan-jalan kampung di Sabah untuk sampai ke pekan kecil Kunak.

Sepanjang perjalanan, para peserta terus-menerus diingatkan bahawa ujian yang bakal dihadapi di setiap tempat mungkin lebih besar berbanding sebelumnya kerana pasukan Cawangan Khas sudah sedia menanti dan pasti tidak akan berdiam diri dengan kembara dakwah tersebut. Itulah sifat mereka yang hatinya dipenuhi penyakit, yang kerjanya adalah menghalang pengembang dakwah, sebagaimana dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Sejurus tiba di pekan Kunak, kelima-lima kenderaan berpecah untuk melakukan sebaran nasyrah “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah” dan juga untuk berinteraksi dengan penduduk setempat. Sebuah kereta dan sebuah van kembara menyusur terus ke hujung pekan, berdekatan dengan laut. Dari jarak yang dekat, kelihatan dengan jelas sepasukan anggota polis dari IPD Kunak, bergegas mengeluarkan kon dan papan tanda untuk mengadakan sekatan jalan raya di luar IPD, yang ditujukan khas untuk menahan kenderaan peserta KABO16.

Benar sebagaimana dijangka, kedua-dua kenderaan terus ditahan dan diarah masuk ke IPD. Sekatan jalan raya pun berakhir, kon dan papan tanda dibawa masuk semula ke IPD dalam keadaan kelam kabut. “Alangkah dahsyatnya mereka ini ingin menghalang dakwah, walhal mereka juga adalah Muslim”, keluh hati kecil setiap peserta yang ditahan.  Kesemua peserta menghadapi suasana tersebut dengan tenang, kerana sejak awal tawakkal telah pun diletakkan kepada Allah SWT semata-mata.

Manakala di tengah-tengah pekan Kunak, interaksi syabab Hizbut Tahrir dengan warga Kunak disambut dengan amat baik, walaupun ramai yang kelihatan terkejut dengan kehadiran tiba-tiba peserta KABO16. Ternyata, setelah diterangkan risalah yang diedarkan, mesej bahawa umat Islam adalah umat yang satu dan wajib bersatu di bawah Khilafah diterima dengan hati yang terbuka oleh penduduk Kunak. “Bagus baa apa yang kamu buat ni, benar sekali kita umat Islam mesti bersatu”, ujar salah seorang warga Kunak dengan dialek Sabahnya, dengan penuh semangat.

Di IPD, pihak polis sibuk mencari Ustaz Abdul Hakim Othman dan berkeras tidak mahu melepaskan kesemua yang ditahan. Beberapa orang peserta diambil keterangan dan yang lain tidak dibenarkan keluar dari IPD. Permintaan untuk keluar bagi mengisi perut, oleh beberapa peserta yang kelaparan, langsung tidak diendahkan oleh pihak polis.

Petang sudah hampir berlabuh, namun tiada tanda-tanda untuk peserta dilepaskan. Nama Abdul Hakim Othman terus “diburu” dan mereka yang ditahan diminta menyatakan kereta manakah yang dinaiki oleh Jurucakap HTM itu. Malam semakin menunjukkan wajahnya, namun para peserta kembara masih belum dilepaskan.

Kesemua peserta yang ditahan terus melayan hati kecil masing-masing, kecewa yang tidak terhingga dengan pasukan keselamatan yang beragama Islam tetapi menjadi penghalang kepada dakwah Islam. Alasan “standard” yang tidak habis-habis, “kami hanya ikut arahan orang atas” itu sahajalah yang keluar dari mulut anggota PDRM. Mereka lupa akan arahan Yang Paling Atas, yang akan meminta pertangungjawaban dari mereka di akhirat kelak, kerana halangan yang mereka lakukan terhadap usaha dakwah di jalanNya. Mereka juga lupa bahawa Yang Paling Atas itu boleh meragut nyawa mereka pada bila-bila masa.

Apa pun yang berlaku, misi dakwah tetap diteruskan, itulah kesepakatan yang telah diambil sejak awal kembara lagi. Tiga kenderaan yang “terselamat” meneruskan perjalanan ke Tawau, membelah kawasan hutan dan kelapa sawit, sebagai kekayaan alam utama negeri di bawah bayu itu, yang hasilnya tidak dapat dinikmati oleh warganya sendiri.

Bersambung…