Kembara Dakwah Borneo 2016 – Siri 8
Perjalanan Tawau-Keningau memakan masa lebih kurang 8 jam, dengan jalan yang agak mencabar di beberapa kawasan. Walaupun ramai peserta yang sudah mula melelapkan mata, enam buah kenderaan Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) masih setia dan steady memberi khidmat terbaik kepada para pengembang dakwah di jalan Allah.
Setelah hampir 3 jam berjalan, para peserta dikejutkan dengan satu sekatan jalan raya di tengah-tengah hutan. Waktu sudah senja. “Apa lagi kali ini yang dikehendaki oleh PDRM?”, masing-masing peserta meluahkan pertanyaan sesama sendiri. Apa pun yang bakal berlaku, semua urusan telah pun diserahkan kepada Allah, itulah tawakal dan semangat kental yang ada para pejuang Khilafah yang menjadi peserta KABO16.
Sebagaimana jangkaan, kereta road captain yang berada paling hadapan terus ditahan. Dari jarak dekat, sekali lagi kelihatan yang sekatan jalan raya itu diadakan dalam keadaan tergesa-gesa. Tidak ada papan tanda sekatan, tidak ada kon polis, malah cara berpakaian dan cara bertindak polis pun menampakkan yang mereka kelam kabut mengadakan sekatan tersebut. Kelihatan seramai lima orang polis beruniform yang terlibat dalam sekatan jalan raya tersebut.
“Kenderaan yang di belakang itu geng kamu ya?” tanya salah seorang pegawai polis yang menahan kereta pertama. “Ya”, jawab pemandu kereta ringkas. Lalu kereta pertama dilepaskan. Kemudian kereta kedua pula ditahan. “Kamu ni orang apa dan buat apa ramai-ramai?” keluar soalan yang tak sepatutnya dari pegawai polis, sedangkan mereka tahu bahawa semua peserta ialah syabab (pemuda) Hizbut Tahrir yang sedang melakukan kembara dakwah di negeri yang penduduknya termiskin di Malaysia itu. “Kami jalan-jalan”, jawab salah seorang peserta dengan nada tidak mahu melayan sangat karenah polis yang bertanya.
Alhamdulillah semua kenderaan kemudian dilepaskan. Sekatan jalan raya tadi telah menyegarkan semula kesemua peserta untuk meneruskan perjalanan. Meredah hutan dalam keadaan gelap pekat dengan jalan yang sempit serta rosak, memang satu pengalaman yang agak menakutkan, khususnya bagi mereka yang tidak biasa. Bukan apa, selain binatang buas yang boleh muncul di jalan secara tiba-tiba, penjenayah juga sering mengambil kesempatan di kawasan sedemikian. Benar sebagaimana dijangka, tiba-tiba dari kejauhan terlihat samar-samar kelibat seekor gajah melintasi jalan. Kereta di hadapan terus memperlahankan kelajuan sambil memberitahu yang lain melalui walkie talkie agar berbuat demikian. Perasaan risau menyelinap seketika kerana makhluk darat terbesar itu boleh sahaja mengamuk jika merasa terganggu atau terancam.
Alhamdulillah gajah tersebut melintas tanpa merasa terganggu dan perjalanan diteruskan. Semasa kenderaan meluncur laju membelah malam, tidak semena-mena terlihat satu kawasan bercahaya yang menarik perhatian para peserta KABO16. Setelah menghampiri, rupa-rupanya ada sebuah pasar malam yang walaupun tidaklah sebesar mana, tetapi berjaya menarik para pengunjung. Tanpa ragu dan tanpa berfikir panjang, keputusan terus dibuat untuk berhenti seketika, bukanlah untuk membeli-belah melainkan untuk menyampaikan risalah “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah”. Itulah dakwah yang telah sebati dengan diri syabab Hizb, tanpa mengira tempat, masa dan siapa sahaja yang ditemui, agama Allah wajib disampaikan.
“Entah dari mana datangnya para penjual dan pengunjung pasar malam di tengah-tengah hutan ni? Apa pun, semoga hidayah tercurah ke atas mereka yang menerima mesej kita” para peserta bertanya sesama sendiri sambil mengukir senyuman kehairanan. Persoalan terjawab apabila mendapat maklumat bahawa di sekitar kawasan tersebut ada penempatan setinggan pekerja kilang papan dan pembalakan. Begitulah nasib rakyat Sabah, negeri yang kaya dengan sumber hutan, tetapi hasil kekayaan cuma dikaut oleh pemerintah, para pemilik modal dan kroni-kroni mereka sahaja, manakala rakyat berhempas pulas untuk mendapat sesuap nasi dan sehelai baju.
Selesai edaran, perjalanan diteruskan lagi. Dalam keadaan terbuai dilambung kenderaan, ramai yang sudah nyenyak dengan macam-macam gaya. Pemandu-pemandu kenderaan bagaimanapun masih tetap bertahan dan apa yang terlintas di kepala pada waktu itu hanyalah ingin melihat homestay di depan mata. Dalam keadaan keletihan dan mengantuk menempuh malam yang gelap gelita, KABO16 telah memasuki hari kelima perjalanan apabila jam telah menunjukkan detik 12 malam. Tidak lama selepas itu, kenderaan kembara memasuki kawasan penginapan.
Alhamdulillah akhirnya sampai ke homestay di Keningau untuk membersihkan diri dan merebahkan badan. Sebaik sahaja enjin kenderaan dimatikan, tanpa melengahkan masa, masing-masing terus mengangkut barang ke dalam rumah. Sebahagian peserta terus “pengsan”, manakala sebahagian yang lain melakukan khidmat diri. Dalam masa yang tidak lama, suasana homestay terus sunyi daripada suara manusia, kecuali sekali-sekali terdengar dengkuran daripada para peserta yang keletihan.
“Alhamdulillah dapat caj 2-3 jam pun dah ok”, luah para peserta setelah bangun untuk solat Subuh. Pagi yang indah di Keningau cukup menyegarkan. Selesai solat, ada yang mengambil kesempatan untuk sambung rehat dan ada yang menyiapkan bahan untuk edaran, manakala yang lain mengambil peluang untuk bersembang, bertukar-tukar pengalaman dan berkongsi ilmu sambil menunggu sarapan. Setelah sarapan, pengarah kembara memberikan taklimat sebelum meneruskan aktiviti yang dijadualkan untuk hari tersebut.
Pekan Keningau merupakan penempatan yang kelima terbesar di Sabah dan majoriti penduduknya terdiri daripada etnik Dusun dan Murut. Di celah-celah sedikit pembangunan yang terzahir, masih ramai warganya yang hidup dalam kesempitan dan serba daif ekoran ketidakseimbangan pengagihan kekayaan di bawah sistem pemerintahan kapitalis di negeri di bawah bayu itu khususnya dan di Malaysia umumnya.
Bersambung…