Kembara Dakwah Borneo 2016 – Siri 9

14Tatkala mentari sudah setinggi galah, peserta Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) terus bergerak dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu. Itulah tempat pilihan klimaks untuk menyampaikan mesej dakwah dalam kembara ini, bandar yang menjadi ibu negeri, negeri di bawah bayu itu. “Kita akan habis-habisan di sini, kalau kita ditahan kali ini pun tak mengapa, sekurang-kurangnya bumi Kinabalu menjadi saksi bahawa para pejuang agama Allah telah ke mari untuk menyampaikan mesej bahawa umat Islam wajib bersatu di bawah Khilafah”, itulah keazaman dan kecekalan yang ada dalam hati kesemua peserta.

Perjalanan Keningau-KK ditempuh dengan penuh semangat kerana KK menjadi sasaran terakhir untuk menghabiskan nasyrah “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah”. Walaupun perjalanan kali ini tidak banyak celoteh seperti biasa, kerana masing-masing masih terngiang dengan peristiwa penahanan dan penghantaran pulang Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, namun semangat untuk menghabiskan misi dakwah sedikit pun tidak luntur dari kesemua peserta.

Setelah menempuh perjalanan sejauh hampir 100 km merentasi Banjaran Crocker, akhirnya peserta kembara berjaya menjejakkan kaki di Kota Kinabalu. Sebagaimana telah ditaklimatkan, sebaik sahaja memasuki bandar, kenderaan berpecah dan masing-masing menuju ke beberapa buah masjid yang berlainan untuk menunaikan solat, sebelum bergerak untuk menyebarkan risalah.

Di salah sebuah masjid, beberapa orang peserta disapa oleh salah seorang imam di situ yang baru sahaja menerima nasyrah yang disebarkan, “Ini Hizbut Tahrir yang difatwakan sesat tu ke?”, tanya beliau meminta kepastian. “Dari mana ustaz tahu?” spontan sahaja keluar soalan dari mulut salah seorang peserta. “Dari pembacaan” jawab imam tadi ringkas. Salah seorang peserta kemudian terus menerangkan bahawa apa yang dibaca itu adalah fitnah semata-mata. “Ustaz perlu tabayyun dan mendapatkan penjelasan dari anggota Hizbut Tahrir sendiri, bukan dari pihak ketiga”, jawab peserta berkenaan dengan lembut. Si Ustaz terus mengangguk tanda setuju dan memberikan nombor telefon beliau untuk melakukan perbincangan lanjut.

Alhamdulillah begitulah sikap seorang yang ikhlas dan ingin mencari kebenaran, sanggup untuk berjumpa, mendengar dan berbincang. “Alangkah besarnya dosa pihak yang mengeluarkan fatwa yang memfitnah Hizbut Tahrir, sehinggakan salah seorang imam masjid di Kota Kinabalu pun hampir-hampir mempercayainya” keluh para peserta. Apa pun, semoga siapa sahaja yang memfitnah Hizbut Tahrir itu akan sedar kesalahan yang telah mereka lakukan dan semoga Allah mengampuni mereka.

Semua kenderaan kemudian bergerak ke tengah-tengah pusat bandar setelah selesai menjamak solat zohor dan asar. Sebaik turun dari kenderaan, masa tidak diberi ruang untuk berlalu begitu sahaja, sebaran terus dilakukan. Aktiviti dakwah dan edaran risalah difokuskan di kawasan tumpuan orang ramai di sepanjang Waterfront Kota Kinabalu, Pasar Filipina dan di Terminal Bas. Kehadiran peserta KABO16 sekali lagi telah berjaya mencuri perhatian warga kota dan pelancong yang berada di kawasan sekitarnya.

Walaupun ada yang terpinga-pinga, namun setelah berlaku interaksi, ternyata ramai yang menyambut baik usaha dakwah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir. Alhamdulillah, aktiviti di hari kelima ini berlangsung dengan baik tanpa sebarang gangguan dari pihak keselamatan, walaupun kelihatan beberapa orang yang senantiasa memerhati pergerakan para peserta dari jauh.

Selesai edaran, para peserta merasa puas dan bersyukur kepada Allah SWT dan masing-masing dapat merasakan yang bumi Kinabalu mengukir senyuman buat julung kalinya kerana usaha-usaha untuk meninggikan kalimah Allah telah berjalan di tengah-tengah jantung kotanya. Tatkala mentari mula berlabuh, para peserta KABO16 meneruskan lagi perjalanan untuk ke destinasi seterusnya, iaitu Kundasang.

Bersambung..