Kembara Dakwah Borneo (Sabah) 2016 – Siri 6

8Di sepanjang perjalanan Kunak ke Tawau, para peserta Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16), melayan perasaan masing-masing manakala sebahagian yang lain terus berbual di samping mengutuk tindakan pihak polis yang menahan para pendakwah di jalan Allah. Dalam masa yang sama setiap peserta memohon doa kepada Allah SWT agar mempermudahkan urusan seterusnya membebaskan rakan-rakan yang ditahan.

Jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Ketiga-tiga buah kenderaan yang terlepas dari tahanan polis mula memasuki lokasi keempat kembara. Bandar Tawau seperti menunggu-nunggu peserta KABO16 untuk menerima mesej dakwah yang bakal disampaikan. Sebelum ke lokasi penginapan, stesen Petronas menjadi pilihan untuk mengisi minyak dan menunaikan hajat. Cubaan untuk menghubungi rakan-rakan di Kunak dilakukan dan alhamdulillah berjaya. “Kami masih ditahan”, keluh salah seorang peserta yang masih berada di IPD Kunak.

Selesai khidmat diri, ketiga-tiga kenderaan terus meluncur ke asrama Kompleks Sukan Tawau. Tidak sabar rasanya untuk membersih dan merebahkan badan setelah melalui liku-liku perjalanan pada siangnya. Sejurus sebelum tiba ke lokasi penginapan, angin malam membawa berita gembira yang kesemua peserta yang ditahan di Kunak telah dibebaskan. Alhamdulillah, pujian dan kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana sesungguhnya tidak ada daya dan upaya kecuali denganNya.

“Kami telah keluar dari IPD, tetapi kereta kami diekori”, begitulah mesej dari salah seorang peserta yang baru dilepaskan. “Sungguh mereka ini tidak takutkan Allah”, ujar salah seorang peserta yang baru tiba di perkarangan Kompleks Sukan. “Tidak mengapa, kita serahkan urusan kita kepada Allah, kerana apa yang kita lakukan ini untuk Allah dan Rasul, Dialah yang akan menjaga kita dan dakwah ini”, nasihat Ustaz Abdul Hakim Othman kepada rakan-rakan yang lain.

Sebelum meneruskan perjalanan, peserta yang baru dilepaskan di Kunak mencari tempat untuk mengalas perut, kerana dihalang untuk berbuat demikian sepanjang di IPD. Dalam masa yang sama, para peserta yang telah tiba di asrama terus mendaftar diri untuk masuk ke bilik masing-masing. Asrama Kompleks Sukan Tawau memang agak selesa sebagai tempat untuk bermalam. Selesai menjamak antara Maghrib dan Isyak, sebahagian peserta terus melabuhkan diri manakala sebahagian yang lain keluar mencari tempat mengisi perut.

Tatkala suasana asrama sudah sunyi dan sebahagian peserta sudah diulik mimpi, barulah kereta dan van yang ditahan di Kunak tiba ke lokasi penginapan di Tawau. Kepenatan jelas terbayang di wajah masing-masing, namun semangat dan ketakwaan sedikit pun tidak pudar, malah semakin membara. Di luar kawasan asrama, nun di jalan raya sana, kelihatan sebuah kereta yang sama berulang-alik di hadapan kawasan asrama, yang boleh diagak siapa gerangannya yang suka berbuat demikian di tengah-tengah kegelapan malam.

“Pedulikan mereka, kita mencari pahala, mereka mencari dosa”, tegas salah seorang peserta KABO16 setelah mendengar maklumat tersebut daripada rakan yang berada di lobi asrama. Kesemua peserta kemudiannya balik ke bilik masing-masing setelah panggilan tilam dan bantal semakin kuat yang tidak berdaya lagi untuk ditolak. Doa dipanjatkan sekali lagi kepada Allah SWT sebelum mata dilelapkan, mengharapkan kebaikan dan keredhaanNya, di samping bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal ditempuh pada esok harinya.

Pagi Rabu 14/09/2016, suasana asrama kembali kecoh apabila para peserta mula bangun dan memenuhi bilik air. Selesai solat Subuh, ramai peserta mengambil kesempatan berjalan-jalan menghirup udara pagi di perkarangan Kompleks Sukan tersebut. Di tempat parkir yang paling jauh, terdapat sebuah van hitam, yang apabila didekati oleh beberapa orang peserta, terlihat seorang lelaki dan seorang perempuan dewasa di dalamnya di tempat duduk hadapan. Masing-masing sudah boleh mengagak siapakah penghuni van tersebut.

Sekitar jam 7 pagi, sarapan nasi lemak dan roti canai bungkus, tiba. Alhamdulillah memang terasa lazat dan nikmat bila makan berjemaah. Selesai sarapan, sedikit taklimat disampaikan oleh Pengarah Projek untuk aktiviti di hari kelima kembara di bandar Tawau. Tepat jam 8, kesemua kenderaan meninggalkan asrama Kompleks Sukan untuk melakukan sebaran risalah “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud di Bawah Khilafah” dan juga untuk berinteraksi dengan penduduk Tawau.

Sebaran risalah di Tawau berjalan lancar dan seperti biasa, setiap orang yang dijumpai terus didakwahi oleh syabab Hizbut Tahrir yang menjadi peserta kembara. Tanpa mengira muda atau tua, lelaki atau wanita, yang duduk atau berjalan, malah sehingga ke setiap pintu kedai di masuki oleh para peserta KABO16 demi menyampaikan mesej bahawa umat Islam adalah umat yang satu yang wajib bersatu di bawah Khilafah. Alhamdulillah, sama seperti di beberapa pekan sebelum ini, sambutan yang amat baik diterima daripada warga Tawau terhadap usaha dakwah yang dilakukan oleh syabab Hizb.

Sebagaimana telah dijangka, pihak Cawangan Khas yang kepanasan sudah tentu tidak akan berdiam diri dengan aktiviti dakwah yang sedang berlangsung. Tatkala sedang melakukan sebaran, tiga orang peserta didatangi oleh anggota Cawangan Khas PDRM dan tanpa banyak soal, terus di bawa ke Pejabat Cawangan Khas, IPD Tawau.

Setelah mendapat maklumat tersebut, Ustaz Abdul Hakim terus bergegas ke Pejabat Cawangan Khas bagi membantu mereka yang ditahan. “Selagi mereka tidak mendapat orang yang bernama Abdul Hakim, selagi itu mereka tidak akan puas agaknya”, keluh Jurucakap HTM itu, yang tekad untuk mengambil risiko bagi membantu rakan-rakan seperjuangan.

Bersambung..