Kembara Dakwah Borneo (Sabah) 2016 – Siri 7

12Suasana pagi di bandar Tawau pada hari itu lain daripada biasa. Buat pertama kali bumi Tawau tersenyum menyambut ketibaan hampir 50 orang peserta Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) yang sebahagiannya terbang beribu batu tanpa tujuan lain selain bertemu warga Tawau demi mengajak kepada Allah dan RasulNya. Matahari yang mula meninggi pada hari itu menjadi saksi akan usaha-usaha syabab (pemuda) Hizbut Tahrir yang datang semata-mata untuk meninggikan agama Allah di negeri di bawah bayu itu.

Ustaz Abdul Hakim tiba di pejabat Cawangan Khas, IPD Tawau dengan ditemani oleh seorang lagi peserta kembara dan dua orang rakan yang baru dikenali semasa berada di asrama Kompleks Sukan Tawau, yang dengan berbesar hati sudi untuk menumpangkan Jurucakap HTM itu ke IPD. Sebaik melangkah kaki ke pejabat tersebut, anggota Cawangan Khas yang bertugas terus mengambil kad pengenalan kesemua yang hadir. “Tuan, Abdul Hakim sudah sampai”, kedengaran dengan jelas suara salah seorang anggota Cawangan Khas tersebut memaklumkan kepada ketuanya, walaupun dalam keadaan cuba merendahkan suaranya agar tidak didengar oleh orang lain.

Tiga orang peserta KABO16 yang ditahan sedang menjalani “temuduga” di bilik-bilik yang berasingan di pejabat Cawangan Khas tersebut. Tidak lama, Jurucakap HTM pula terus dipanggil masuk ke bilik dan ditemu duga. Dalam proses tersebut, kesemua peserta yang diambil keterangan mengambil kesempatan untuk mendakwahi anggota Cawangan Khas tersebut, menjelaskan objektif kembara dan mengingatkan mereka akan tanggungjawab dakwah yang wajib dipikul oleh setiap Muslim dan PDRM tidak sepatutnya menjadi pihak yang menghalang dakwah.

Selesai proses soalsiasat, kesemua peserta yang ditahan berkumpul di ruang tetamu dan sedia untuk dilepaskan. Namun tidak semena-mena nama Abdul Hakim dipanggil masuk semula dan kali ini terpaksa berhadapan dengan tiga orang pegawai, yang salah seorangnya adalah ketua mereka. “Kamu ditahan dan kami akan membawa kamu kepada Imigresen untuk dihantar pulang”, jelas ketua mereka. “Kamu tidak dibenarkan memasuki Sabah kerana ada arahan NTL (Not To Land) ke atas kamu”, tegasnya lagi.

“Apa salah saya dan kenapa saya tidak dibenarkan berada di negara saya sendiri?” tanya Ustaz Hakim tidak berpuas hati. “Kami hanya mengikut arahan”, sekali lagi mantera standard keluar dari mulut anggota Cawangan Khas. Jurucakap HTM itu terus bersyarah di samping menjelaskan bagaimana undang-undang yang ada sekarang yang dibuat oleh British, yang menzalimi rakyat, yang memisahkan kuasa Sabah dan Sarawak dari Semenanjung, tetap dipatuhi oleh kerajaan amnya, dan PDRM khususnya. Sekali-sekali mereka cuba juga untuk mempertahankan kesalahan kerajaan, tetapi ketiga-tiga anggota Cawangan Khas tersebut lebih banyak terdiam kerana tiada hujah untuk membalas.

“Saya akan pulang juga ke Semenanjung Sabtu ini setelah selesai kembara dakwah ini, saya bukannya menetap di sini. Apa bezanya tuan halau saya sekarang dengan tuan membenarkan saya tinggal untuk beberapa hari lagi?”, soal Ustaz Hakim sambil mengharapkan ada kebaikan dengan anggota Cawangan Khas tersebut. Namun ternyata, arahan orang atasan mereka dianggap lebih tinggi dari arahan Tuhan, yang langsung tidak boleh diingkari, walaupun ia bertentangan dengan arahan Tuhan sekalipun. Itulah mentaliti yang ada pada mereka. Abdul Hakim membangkitkan hal ini yang, walaupun berjaya memaku mereka, namun bagi mereka, arahan tetap arahan. “Itulah SB namanya”, bisik Ustaz Hakim di dalam hati.

“Siapa yang akan bayar kos penerbangan saya, kerana terus terang cakap saya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk balik”, ujar Hakim. “Jabatan Imigresen akan tanggung”, jawab ketua Cawangan Khas ringkas. “Okay kalau begitu saya akan minta tiket penerbangan kelas pertama”, sempat lagi Jurucakap HTM itu melontarkan gurauannya walaupun dalam keadaan sangat kecewa dengan pihak Cawangan Khas dan juga kerajaan Sabah yang mengeluarkan arahan NTL terhadap beliau. Jurucakap HTM itu lalu terus dibawa ke lapangan terbang Tawau dengan kereta polis, manakala kesemua peserta lain yang ditahan, dilepaskan.

Di lapangan terbang, Ustaz Hakim terus diserahkan kepada seorang pegawai Imigresen, yang kelihatan kebingungan dengan apa yang sedang berlaku. Setelah mengah keluar masuk dari satu bilik ke bilik lain dan menelefon ketuanya di sana sini, barulah pegawai Imigresen tersebut mendapat tahu tentang arahan NTL atas nama Abdul Hakim Othman. Tiga orang pegawai Cawangan Khas yang mengiringi Jurucakap HTM itu lalu mengundur diri setelah urusan “penyerahan” selesai. Sebelum mereka meninggalkannya, Ustaz Hakim sempat berpesan sambil bersalaman dengan salah seorang daripada mereka, “Saya mendoakan agar tuan berani mengucapkan kebenaran dan akan lahir daripada keturunan tuan, orang-orang yang akan memperjuangkan kebenaran dan tidak takut kepada manusia, kecuali kepada Allah”. Anggota Cawangan Khas itu hanya mengangguk dan terdiam.

Walaupun keseorangan di lapangan terbang, ujian kecil dihalau keluar dari Sabah itu langsung tidak mematahkan semangat Jurucakap HTM itu. Namun apa yang menyakitkan hati ialah apabila beliau diminta mengeluarkan duit poket sendiri untuk balik ke Kuala Lumpur. “SB ni memang tak boleh dipercayai”, itulah suara spontan yang terluah daripada hati kecil Ustaz Hakim, apabila pegawai Imigresen memberitahunya yang kos penerbangan balik hendaklah ditanggung sendiri. RM679.20, itulah jumlah yang perlu dibayar untuk menaiki penerbangan paling awal ke Kuala Lumpur pada jam 8 malam.

“Saya memohon berbanyak maaf atas apa yang berlaku. Saya sokong usaha dakwah kamu dan teruskanlah perjuangan”. Itulah kata-kata yang keluar dari mulut pegawai Imigresen yang menjaga Jurucakap HTM sepanjang proses penghantaran pulang tersebut, seorang pegawai yang agak ceria dan baik akhlaknya. Sejuk hati apabila melihat beliau satu-satunya yang menjadi makmum kepada Ustaz Hakim semasa solat maghrib di surau lapangan terbang itu, yang solat tepat pada waktunya. “Semoga Allah memberi kebaikan yang banyak kepada tuan atas kebaikan tuan”, doa Jurucakap HTM itu kepadanya sebelum berpisah. Semasa beratur memasuki gate untuk ke pesawat, SB yang bertugas di lapangan terbang mengiringi Ustaz Hakim bagi memastikan yang Jurucakap HTM itu benar-benar menaiki pesawat.

Perjalanan peserta KABO16 terbantut sekali lagi kerana penahanan tersebut. Walaupun semua sedih dan kecewa dengan kejadian tersebut, berbekalkan semangat dan iltizam dalam menyebarluaskan dakwah Islam, khususnya mesej bahawa umat ini wajib bersatu di bawah Khilafah, para peserta sedikit pun tidak berputus asa dan bertekad meneruskan kembara dakwah ini biar apa pun ujiannya.

Kesemua kenderaan yang sudah agak lama menunggu di Merotai, meneruskan perjalanan setelah mendapat pengesahan yang Ustaz Abdul Hakim selamat berada di lapangan terbang untuk urusan penghantaran pulang. Perjalanan Tawau – Keningau adalah yang paling mencabar dalam kembara kali ini, yang merupakan jarak antara dua bandar yang paling jauh, dengan melalui kawasan hutan dan sawit, dengan jalan yang tidak memuaskan di beberapa tempat.

Sepanjang perjalanan, ramai peserta hanya melayan hati kecil masing-masing kerana agak sedih dan terkilan apabila perjalanan diteruskan tanpa peserta yang sejak awal bersama dalam kembara. Kenderaan KABO16 terus meredah kegelapan malam jalan Tawau – Keningau dengan para peserta yang kebanyakannya masih mengelamun kerana memikirkan apa yang berlaku dan apa yang akan berlaku seterusnya.

Bersambung..