Kembara Dakwah Borneo – Siri 10

11Dari Kota Kinabalu sudah kedengaran sayup-sayup suara Kundasang yang memanggil-manggil para peserta Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16). Itulah tempat bermalam terakhir dalam ekspedisi dakwah kali ini, sebelum kesemua peserta kembali semula ke Sandakan. Masing-masing sudah tidak sabar ingin merasa kesejukan angin di kaki gunung Gunung Kinabalu.

Kenderaan KABO16 masih setia berkhidmat untuk membawa para peserta ke destinasi persinggahan terakhir ini. Perjalanan ke Kundasang memakan masa hampir 2 jam dengan kelajuan yang sederhana. Di sebalik kemiskinan dan taraf pembangunan yang rendah di sepanjang jalan, pemandangan dan suasana kampung dan hutan belukar semulajadi di sepanjang jalan, yang jauh dari hiruk pikuk kota, memang menyamankan.

Senja sudah hampir menjelma menyelimuti kecerahan siang. Malam berganti siang dan siang berganti malam, begitulah hukum alam ciptaan Allah SWT yang teramat indah ini. Konvoi enam kenderaan KABO16 sudah pun menjejakkan tayarnya di pekan Kundasang. Sebelum ke homestay, para peserta singgah sebentar di pasar malam untuk membasah tekak di gerai-gerai yang berhampiran. Hembusan bayu umpama salju menerpa setiap peserta sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari kenderaan masing-masing. Belaian angin dingin dan segar menyambut ketibaan para peserta di kawasan tarikan pelancongan utama di Sabah ini. Tidak hairanlah kenapa Sabah digelar negeri di bawah bayu.

Sebaik sahaja masuk ke kawasan gerai, suasana agak meriah dengan jeritan dan pelawaan daripada para penjual buah-buahan serta sayur-sayuran segar di situ. Para peserta mencari gerai yang sesuai untuk mengisi perut. Di tengah-tengah kesejukan yang terasa sampai ke tulang itu, sup sudah tentu menjadi menu utama setiap peserta bagi memanaskan badan. Setelah setengah jam menjamu selera dalam kecantikan dan kesejukan suasana itu, peserta KABO16 kemudian bergerak ke homestay untuk melepas lelah setelah seharian berjalan dan beraktiviti.

Bermalam di Kundasang dengan cuaca di kaki gunung Kinabalu, walaupun menggigil kesejukan, tetapi sungguh menyegarkan. Sebelum melelapkan mata, perkongsian pengalaman dakwah sebagai motivasi sesama para pengembang agama Allah berjalan dengan rancak sekali. Itulah antara matlamat kembara, selain ingin menyampaikan mesej kepada umat Islam bahawa kita adalah umat yang satu dan wajib bersatu di bawah Khilafah, ia juga adalah untuk mempererat ukhuwwah sesama peserta yang merupakan gabungan para pejuang Khilafah dari Semenanjung dan juga Sabah.

Keesokannya, hari yang indah dimulakan dengan aktiviti solat berjemaah di salah sebuah surau yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan. Laungan azan Subuh oleh mu’azzin memecah keheningan pagi, memanggil para hamba Allah untuk bersujud kepadaNya. Usai solat, ruhiyah para peserta diperkuatkan lagi dengan pengisian kuliah Subuh oleh Ustaz Syahril, salah seorang peserta KABO16 yang tidak pernah lekang dengan jubah dan kopiahnya. Beliau menyeru para jemaah untuk sama-sama menghayati dan mengamalkan Islam yang sempurna, serta hendaklah senantiasa berpegang teguh kepada Islam. Kehadiran peserta kembara diraikan oleh penduduk tempatan yang turut sama menunaikan solat Subuh dan mendengar tazkirah ringkas yang telah disampaikan.

Pemandangan dan suasana di kaki gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu sungguh indah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ia sentiasa menjadi santapan mata para peserta sambil pekena sarapan dan kopi panas di pagi hari yang cukup menggamit kenangan itu. Sejurus selepas sarapan, gerimis mulai membasahi bumi dan langit diserikan dengan pelangi berlatarbelakangkan gunung Kinabalu. Subhanallah! sungguh indah alam ciptaan Allah SWT, begitulah luahan setiap peserta, mengingatkan masing-masing kepada ayat Allah SWT,

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”[TMQ al-Rahman (55): 13]

Selesai sarapan, para peserta bergerak ke Desa Dairy Farm bagi meneruskan aktiviti di hari ke-enam kembara dakwah itu, di samping ingin bergambar kenangan di kawasan tarikan pelancong yang terkenal bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di Malaysia itu. Tatkala bergambar di samping menikmati keindahan alam, kelihatan beberapa orang pelancong dari luar Malaysia turut berada di situ. Apa lagi, peluang keemasan seumpama itu memang tidak pernah dilepaskan oleh para pejuang Khilafah. Beberapa orang peserta terus mendekati mereka untuk berinteraksi.

Apabila didekati dan ditanya, pelancong tersebut memperkenalkan diri sebagai warga Tunisia dan beliau mengaku mengenali Hizbut Tahrir di Tunisia. Hizbut Tahrir selaku sebuah parti politik Islam antarabangsa memang bergerak aktif di Tunisia, apatah lagi setelah kejatuhan diktator Zein al-Abidin Ben Ali, dalam rangka mengembalikan semula kehidupan Islam dan menegakkan Khilafah ala minhaj nubuwwah, meskipun dakwah di sana berdepan dengan tekanan yang cukup kuat daripada pemerintah.

Walaupun interaksi dengan saudara seakidah dari Tunisia itu tidak lama, namun sudah cukup memberikan kepuasan kepada peserta kembara kerana mesej bahawa kita adalah umat yang satu dan wajib bersatu di bawah Khilafah, telah pun disampaikan. Keindahan dakwah di jalan Allah, di samping keindahan pemandangan di Kundasang memang menjadikan hati-hati para pengembang dakwah, sukar untuk berpisah. Namun, perjalanan mesti diteruskan jua.

Bersambung..