Kemenangan An-Nahdha, Kebangkitan Politik Islam ?
Para pemimpin Barat juga sedang berusaha keras bagi membendung arus politik Islam yang merugikan mereka. Pelbagai usaha dilakukan oleh Barat untuk membendung daripada munculnya negara Islam yang ingin menerapkan syariah Islam secara total di Timur Tengah. Adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika Barat berupaya mengarahkan dan mengawal angin perubahan di Timur Tengah agar ia tetap dalam kerangka negara sekular yang demokratik. Beberapa istilah baru diwujudkan seperti Negara Madani, Islam Moderat dan lain-lain yang bertujuan untuk mengaburi niat Barat dalam memastikan agar sistem demokrasi-sekular terus diterapkan dalam negara.
Melalui pemerintahan sementara yang masih berada di bawah telunjuk dan kawalan Barat, pelbagai usaha pencegahan terhadap apa yang disebut sebagai ‘kebangkitan Islam radikal’ sedang giat dilakukan. Di Mesir sebagai contoh, pemerintahan tentera sementara telah melarang sebarang penggunaan simbol-simbol atau istilah-istilah Islam dalam pilihanraya Mesir akan datang. Perkara ini telah membuatkan gerakan Ikhwanul Muslimin mengambil jalan ‘aman’ dengan menghapuskan slogan “Islam adalah solusi” dan menggantikannya dengan slogan lain iaitu “Kami membawa kebaikan untuk Mesir”. Slogan yang sama telah digunakan oleh calon-calon Ikhwan dalam pilihanraya parlimen tahun lalu.
Sementara di Tunisia pula, parti-parti yang berdasarkan agama telah diharamkan sama sekali daripada terlibat dalam pilihanraya. Akibatnya, sikap pragmatik telah diambil oleh parti-parti yang berakarkan Islam ini. Parti An-Nahdha telah berulang-ulang kali mengisytiharkan bahawa mereka bukanlah parti agama, tidak akan menerapkan syariah Islam, mengiktiraf pluralisme dan bersahabat dengan Barat termasuk dalam bidang ekonomi. Setelah menang suara majoriti dalam pilihanraya Tunisia baru-baru ini, partai An-Nahdha telah berjanji untuk terus bekerja dalam membentuk masyarakat pluralistik, sekular dan menghormati hak asasi manusia. (http://www.maannews.net; 25/10)
Pemimpin An-Nahdha, Ghannouchi, juga pernah menyatakan sebelum ini bahawa jika an-Nahdha berjaya memerintah (berkuasa) di Tunisia, maka ia akan tetap terus mempertahankan Tunisia sebagai destinasi perlancongan, tidak akan mengharamkan arak atau mengharamkan wanita daripada memakai bikini di pantai. Parti An-Nahdha juga berjanji untuk tidak mengganggu kod undang-undang Tunisia yang menjadikan negara itu satu-satunya negara di dunia Arab yang melarang amalan poligami.
Rasyid Ghannouchi juga mengatakan bahawa gerakannya yang telah memenangi pilihanraya baru-baru ini tidak akan memaksa pemakaian menutup aurat terhadap wanita Tunisia, kerana semua usaha-usaha negara Arab untuk melaksanakannya terbukti gagal. Perkara yang sama seperti ini tidak mustahil akan berlaku di Mesir memandangkan satu-satunya gerakan politik yang terorganisasi di negara tersebut adalah gerakan Ikhwanul Muslimun.
Pengaruh Model Turki Sekuler
Sehingga ke hari ini, perkembangan seperti ini di Tunisia sudah tentu cukup menggembirakan Barat. Tawaran yang diberikan Barat melalui model negara Republik Sekular Turki di bawah rejim AKP nampaknya berjaya diwujudkan di Tunisia. Ia merupakan sebuah model negara yang dianggap sebagai mampu untuk memadukan antara Islam dan demokrasi, yang mana secara hakikatnya ia tetap sebagai sebuah pemerintahan sekular yang kuat.
Sejak awal-awal lagi, Amerika memang sentiasa berusaha untuk menguar-uarkan agar menjadikan model Republik Sekular Turki sebagai contoh dan arah ikutan kesemua negara-negara di Timur Tengah pasca pergolakan. Menteri Luar Amerika Syarikat, Hillary Clinton, melihat Turki sebagai negara ‘model’ dan ‘contoh’ bagi negara-negara di Timur Tengah dan Afrika Utara untuk mengikutinya. Presiden Obama juga pernah membuat kenyataan yang sama dalam sebuah akhbar Itali di mana ia mengatakan, “Kenyataannya adalah negara itu (Turki) adalah negara demokrasi dan negara yang mana sebahagian besar penganutnya adalah Islam, merupakan model yang sangat penting bagi negara-negara Muslim yang lain di wilayah itu (untuk mencontohinya).”
Akhbar The New York Times baru-baru ini mengatakan bahawa Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan adalah standard rujukan yang baru bagi pemimpin-pemimpin Islam. Erdogan menjanjikan Islam konservatif yang selari dengan kebebasan individu serta tetap terus berpegang kepada budaya konservatif, tetapi dengan polisi ekonomi yang liberal dan menjadi mercu tanda kebangaan bagi sebuah Timur Tengah Baru.
Adalah sesuatu yang cukup meragukan bagaimana model Republik Sekular Turki ini boleh menjadi model terbaik bagi negara-negara di Timur Tengah. Memang terdapat beberapa faktor yang dapat merealisasikan kejayaan model Republik Turki Sekular ini di Timur Tengah. Namun persoalannya, sejauh manakah model sekular ini mampu untuk menyelesaikan masalah sebenar di Tunisia dan kawasan-kawasan Timur Tengah yang lain? Tidak dapat dinafikan bahawa masalah kemiskinan, buruknya perkhidmatan kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan tahap pengangguran yang tinggi menjadi antara pendorong kepada bangkitnya anak-anak muda di Tunisia dan Mesir untuk melawan rejim yang berkuasa sebelum ini. Sehingga ke saat ini, parti An-Nahdha masih belum mempunyai konsep dan halatuju yang jelas dalam menyelesaikan masalah-masalah ini.
Jika kita merujuk kepada model ekonomi Republik Turki Sekular yang berasaskan ekonomi liberal itu, terdapat terlalu banyak persoalan yang timbul. Turki di bawah teraju rejim parti AK memang mengalami pertumbuhan ekonomi yang cukup signifikan di mana dilaporkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara tersebut mencapai 8.9 peratus pada tahun 2010. Statistik peningkatan atau pertumbuhan yang tinggi itu langsung tidak menjamin atau menunjukkan bahawa setiap individu dalam masyarakat negara itu hidup dengan sejahtera. Ini adalah kerana, kekayaan boleh menimbun pada segolongan manusia sahaja di dalam negara.
Sepertimana negara-negara sekular yang lain, Turki juga menghadapi masalah yang sama iaitu terdapat jurang yang terlampau jauh antara golongan yang kaya dan yang miskin. Meskipun terdapat pertumbuhan ekonomi yang tinggi, angka kemiskinan di Turki pada 2009 meningkat dengan mendadak jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Menurut laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Institut Statistik Turki (TurkStat), peratusan rakyat Turki yang hidup di bawah garis kemiskinan meningkat daripada 17.79 peratus pada tahun 2008 kepada 18.08 peratus atau sebanyak 12.75 juta orang pada tahun 2009.
Pertumbuhan ekonomi Turki sekali-kali tidak dapat terlepas daripada program liberalisasi ekonomi sepertimana yang dicanangkan oleh Erdogan. Akibatnya, ekonomi Turki sangat bergantung kepada sistem ekonomi kapitalisme global dunia yang sangat rapuh. Jika Amerika dan Eropah sebagai negara pelopor kepitalisme pun boleh bergoncang dan bergoyah, apatah lagi negara Turki sebagai pengikut mereka. Segala-galanya hanya menunggu masa sahaja.
Masalah pokok di Timur Tengah dan di negeri-negeri kaum Muslimin yang lain tidak lain adalah disebabkan oleh penerapan sistem kapitalisme liberal di negara masing-masing yang mana para penguasa boneka ini dijaga dan dipelihara dengan begitu baik oleh Barat. Hasilnya, Timur Tengah Baru yang bertunjuangkam sekularisme ini sekali-kali tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah mereka, malah sebaliknya ia akan mengukuhkan lagi polisi kapitalisme Barat di samping memelihara campur tangan imperialisme kuasa asing. Di samping itu, sikap permusuhan dan penindasan akan tetap terus dikenakan terhadap aktivis-aktivis Islam yang menginginkan agar tertegaknya syariah Islam secara kaffah.
Model Negara Republik Sekular Turki ini pasti akan menemui kegagalan di Timur Tengah dan revolusi kebangkitan rakyat kali kedua mungkin akan berlaku. Apabila sistem demokrasi dan liberalisme telah terbukti gagal, rakyat di Timur Tengah akan hanya mempunyai satu harapan dan satu pilihan sahaja pada waktu itu, yakni negara Khilafah Islamiyyah. Negara inilah yang akan menerapkan syariah Islam secara menyeluruh dan menyelesaikan segala permasalahan manusia. Setelah perkara ini berlaku, ia bukan sahaja akan merubah arus perdana wilayah Timur Tengah, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Majlis Perisikan Kebangsaan Amerika (NIC) pernah meramalkan bahawa Khilafah akan tertegak menjelang tahun 2020, namun bagi kalangan para pejuang Islam, mereka yakin bahawa janji Allah dan RasulNya untuk tertegaknya Khilafah buat kali yang kedua adalah terlalu hampir, dengan izin Allah SWT.