Kemenangan hanya datang dari Allah

Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ

“Sesungguhnya orang-orang kafir itu menginfakkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan terus menginfakkan harta itu yang kemudiannya menjadi sesatan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam neraka jahanamlah orang-orang yang kafir itu akan dikumpulkan” [TMQ al-Anfal (8): 36]

Ayat ini diturunkan apabila kaum Quraisy kehilangan ramai para pemimpin mereka dalam peperangan Badar dan mereka berhimpun dalam usaha untuk mengumpulkan harta benda mereka supaya mereka boleh terus berjuang menentang Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Menurut tafsir Ibnu Katsir, Allah SWT menyatakan dalam ayat ini bahawa orang-orang kafir membelanjakan harta benda mereka untuk menghalangi jalan kebenaran. Namun begitu, wang yang mereka belanjakan itu pada kemudian harinya akan menjadi suatu penyesalan ke atas mereka dan tidak sedikit pun mendatangkan manfaat kepada mereka. Mereka cuba memadamkan cahaya Allah dan juga cuba menjadikan kata-kata mereka lebih tinggi daripada kata-kata kebenaran. Walau bagaimanapun, Allah SWT tetap akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir. Allah SWT akan membantu agama-Nya, meninggikan kalimah-Nya dan menjadikan agama-Nya mengatasi agama-agama yang lain.

(Satu persoalan yang boleh dilontarkan – pent) ialah sejauh manakah ayat di atas relevan sepertimana yang dihadapi oleh Islam dan umatnya pada ketika ini. Kita dapat saksikan negara-negara yang berada di atas landasan kekufuran tanpa segan silu membelanjakan sejumlah harta benda yang banyak dalam usaha mereka untuk memerangi orang-orang Islam.

Sebagai contoh, China telah mewujudkan “kem-kem pendidikan semula” di wilayah Xinjiang dan menurut satu anggaran, seramai tiga juta Muslim ditempatkan di kem-kem tersebut. Ia merupakan tempat orang-orang Islam ditindas dan diseksa. Mereka dipaksa minum arak, makan babi dan murtad. Ini semua berlaku secara terang-terangan di hadapan negara-negara yang terus melaburkan harta mereka untuk mewujudkan hubungan dengan China.

Dunia juga menyaksikan kezaliman terhadap umat Islam Rohingya, satu lagi perang oleh rejim Burma terhadap orang beriman dan Islam. Sekali lagi, dunia tidak mengendahkan nasib mereka yang tertindas. Britain sebenarnya menolong rejim Burma dengan memberikan mereka dana untuk membeli senjata berjumlah 500,000 pound British.

Dengan menyaksikan keadaan kaum Muslim yang ditindas hanya kerana mereka Muslim semakin tidak kunjung padam, akan menyebabkan diri kita diliputi dengan sikap putus asa khususnya apabila kita melihat tiada perubahan yang berlaku dan musuh semakin lama semakin kuat. Perasaan seumpama ini boleh bertukar menjadi sikap tidak berdaya dan lemah. Ini menyebabkan kita menjadi tidak aktif dan hilang keyakinan dalam dakwah kita yang bertujuan untuk mengubah nasib umat Islam di seluruh dunia. Pada ketika ini kita perlu merujuk kepada kalimat Allah supaya kita tidak putus semangat akibat perasaan yang negatif. Kita sepatutnya bertenang apabila kita mengingatkan diri kita dengan kalimat Allah SWT yang Maha ‘Alim (Maha Mengetahui). Allah SWT telah memberi kita peringatan tentang hakikat yang sebenar. Kita sepatutnya berasa lega bahawa Allah SWT bukan sahaja telah memberi peringatan kepada kita bahkan memberitahu kita tentang apakah langkah yang sepatutnya kita lakukan dalam keadaan sedemikian. Allah berfirman:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sedangkan kalianlah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman”  [TMQ ali-Imran (3): 139].

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”  [TMQ al-Anfal (8): 2]

Kita semestinya berpegang teguh dan berharap kepada Rabb kita. Kita wajib meyakini bahawa Nasr (pertolongan) Allah SWT akan tiba dan Dia akan menolong orang-orang Islam mengalahkan orang-orang kafir, orang-orang yang memerangi dan yang menindas umat Islam. Kita akan memahami bahawa hanya Allah SWT yang akan memberikan kemenangan manakala tanggungjawab kita adalah untuk mentaati perintah-Nya iaitu terus berusaha segenap upaya kita untuk menamatkan penderitaan yang dihadapi oleh umat Islam. Hal ini dilakukan dengan memberi motivasi kepada orang yang memiliki kekuasaan iaitu tentera kaum muslimin dan umat Islam memikul tanggungjawab untuk menyebarkan Islam dan menghentikan kejahatan. Kita mesti meneruskan dakwah kita sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dengan berusaha mengubah keadaan umat Islam dan mewujudkan semula perintah-Nya di muka bumi dengan menegakkan Khilafah yang berasaskan manhaj kenabian:

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan tidaklah Allah menjadikannya (mengirim bala bantuan itu) melainkan sebagai khabar gembira agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sungguh Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ al-Anfal (8): 10]

Yasmin Malik

Anggota Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir