Hukum Allah diubah – murtad hanya dipenjara

Ketua ajaran sesat dipenjara empat tahun – Abdul Salam akui sebagai nabi, putar belit agama

JAKARTA: Seorang pemimpin ajaran sesat Indonesia, Abdul Salam yang mengakui dirinya sebagai nabi, dijatuhi hukuman penjara empat tahun semalam selepas didapati bersalah melakukan kesalahan ‘kufur kepada Tuhan’.

Salam yang turut dikenali sebagai Ahmad Mosaddeq, mengasaskan kumpulan al-Qiyadah al-Islamiah pada 2000.

Dia ditahan tahun lalu selepas Majlis Ulama Indonesia yang juga pihak berkuasa hal ehwal Islam di negara paling ramai Muslim di dunia itu, mengisytiharkan kumpulan berkenaan sebagai sesat.

Salam mengejutkan ramai apabila mendakwa dirinya sebagai nabi dan mengarahkan pengikutnya tidak mengerjakan solat, tidak berpuasa pada bulan Ramadan atau mengerjakan ibadat haji.

“Tertuduh melakukan kesalahan dengan sengaja bagi memutar-belitkan agama,” kata Ketua Panel Hakim, Zahrul Rabain ketika membacakan keputusannya di sebuah Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, semalam yang dipetik agensi berita rasmi Antara.

“Malah, sepanjang perbicaraan ini, tertuduh juga tidak pernah mengaku salah langsung.”

Salam tidak mempamerkan sebarang rasa kesal, malah tersenyum lebar selepas keputusan dibacakan, manakala kumpulan Muslim lain yang menentang ajarannya, melaungkan ‘Allahu Akbar.’

Penyokong Salam yang turut memenuhi sebahagian besar tempat duduk kamar mahkamah itu, menyanyikan lagu memuji pemimpin mereka.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, satu pasukan kerajaan sedang merangka perintah berhubung pengharaman pergerakan Ahmadi atau Qadiani yang diasaskan di India pada abad ke-19 dan mendakwa kononnya wujud satu lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW. – Reuters/Agensi

Sumber: Berita Harian 24/04/08

Ulasan:

Nampaknya undang-undang Indonesia berhubung ajaran sesat tidak jauh berbeza dengan undang-undang Malaysia. Sungguh malang apabila seseorang yang telah jelas-jelas murtad, malah berbangga dengan kemurtadannya hanya dihukum penjara empat tahun. Di Malaysia, kedudukan yang hampir sama berlaku apabila ketua ajaran sesat Ayah Pin, suatu ketika dahulu hanya dikenakan denda RM2,900 dan di penjara 11 bulan. Alangkah jauhnya kerajaan Indonesia dan juga kerajaan Malaysia dari Islam. Mereka langsung tidak memandang masalah murtad ini sebagai masalah utama umat Islam yang wajib diselesaikan dengan hukum Allah. Mereka benar-benar berhukum dengan hukum akal, dan menolak hukum Allah. Inilah antara punca kenapa masalah murtad tidak pernah dapat dibendung, malah semakin meningkat dari tahun ke tahun – kerana pemerintah yang menerapkan hukum sekular dan membelakangkan hukum wahyu.

Menurut Islam, apabila seseorang keluar daripada Islam sedangkan ia baligh dan berakal maka ia diajak untuk kembali kepada Islam hingga tiga kali disertai peringatan. Jika ia kembali setelah itu maka akan diterima dan jika menolak maka akan dibunuh, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

”Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TMQ Al-Baqarah, 2:217]

Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pula mensabitkan hukuman bunuh kepada orang yang murtad. Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Ikrimah yang berkata,

“Dihadapkan kepada Amirul Mukminin ‘Ali karamAllahu wajhah orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Maka berita itu disampaikan kepada Ibnu Abbas dan beliau berkata ‘Seandainya aku, tidaklah aku bakar mereka kerana larangan Nabi Salallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda “Jangan kamu menyiksa dengan siksaan Allah”. Akan tetapi pasti akan aku bunuh mereka kerana sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam “Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia”

Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan,

“Allah dan RasulNya telah menetapkan, bahawa orang yang murtad dari agamanya maka dia mesti dibunuh.”

Ayuhlah Muslimin sekalian! Marilah kita merujuk balik kepada Deenul Islam kerana ia adalah satu-satunya jalan yang selamat untuk mencegah dan mengatasi masalah murtad ini dengan mengajak manusia mengikatkan diri dengan aqidah Islam, bukannya dengan aqidah Sekularisme. Di samping itu, kita mesti ada Daulah Islamiyyah yang menerapkan hukum-hukum Islam secara keseluruhan. Daulah inilah yang akan mengenakan hukuman bunuh kepada orang-orang yang murtad ini. Justeru, hindarilah diri dari dakyah-dakyah golongan fanatik sekularisme yang berusaha menjauhkan umat Islam dari kebangkitan Islam. Bersama-samalah kita bergerak untuk mengembalikan semula kehidupan Islam disetiap arena kehidupan dengan mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Salallahu ‘Alayhi Wasallam iaitu dengan mendirikan Daulah Islamiyyah, sebuah pemerintahan yang diredhai oleh Allah yang selayaknya untuk umat yang terbaik ini bernaung.