Kemenangan Yang Tiada Maknanya Di Sisi Allah

najibBN mahu kemenangan besar

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Barisan Nasional (BN) memerlukan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai program transformasi yang bertujuan menjadikan Malaysia negara kelas pertama pada abad ke-21. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu menyokong program berkenaan kerana ia telah dirancang secara teliti dan mendalam sehingga ramai pemimpin dunia memuji Malaysia kerana mempunyai perancangan yang progresif dan futuristik. ‘‘Impian saya untuk Malaysia adalah untuk menjadikan ia sebagai negara bertaraf dunia pada abad ke-21 dan bukannya negara kelas kedua yang pencapaiannya tidak berapa baik.  ‘‘Sebab itulah saya hendak sangat kemenangan.

Ini bukan semata-mata untuk menang tapi kerana ia adalah satu-satunya cara bagi membolehkan kita mentransformasikan Malaysia menjadi antara negara terbaik di dunia,” katanya.  Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-57 yang dihadiri 1,764 perwakilan di Wisma MCA di sini hari ini.  Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan para pemimpin parti komponen BN.  Ini merupakan kali pertama Najib merasmikan perhimpunan itu sejak beliau menjadi Perdana Menteri.  Beliau tidak menghadiri perhimpunan itu tahun lalu berikutan krisis dalaman parti berkenaan.  Dalam perkembangan lain, Najib memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan kerajaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman setelah siasatan menyeluruh selesai dilakukan.  Beliau berkata, siasatan itu perlu dibuat terlebih dahulu bagi menentukan kesahihannya berikutan terdapat sesetengah pihak yang cenderung menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memperbesarkan isu perkauman.  Menurut Perdana Menteri, beliau juga bersetuju dengan pandangan yang menyatakan kaum Cina di Malaysia tidak seharusnya disifatkan sebagai kaum pendatang.   “Ya, kamu (kaum Cina) datang ke sini pada satu ketika dahulu, tetapi itu adalah tiga, empat atau lima generasi dahulu.   “Kaum Cina sekarang adalah warganegara Malaysia yang taat setia kepada negara dan ini adalah pendirian saya,” katanya.  Dalam pada itu, Najib berkata, beliau tidak dapat menerima sama sekali hujah beberapa pihak yang mendakwa gagasan 1Malaysia telah gagal berikutan masih ada individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.  Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa beliau baru menjadi Perdana Menteri untuk tempoh setahun enam bulan sedangkan untuk mengubah sikap rakyat ia memerlukan masa yang lama.  ‘‘Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengakui antara kegagalan beliau adalah untuk mengubah sikap rakyat walaupun setelah memegang jawatan ini selama 22 tahun. Oleh itu, semua pihak perlu realistik dan memberikan masa kepada saya,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia 11/10/10

Untuk Apa Najib Ingin Menang Besar Jika Untuk Meneruskan Pemerintahan Sekular Kapitalisme!

Sesuatu yang lumrah apabila seseorang pemimpin itu menginginkan agar dirinya terus berkuasa  kerana manusia itu pada hakikatnya adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dengan pelbagai naluri dan keperluan organik. Dan salah satu bentuk naluri itu adalah naluri untuk terus wujud (survival instinct). Naluri ini mendorong manusia untuk cuba mengekalkan apa yang dimilikinya termasuklah jawatan dan kekuasaan. Keinginan yang muncul dari naluri ini adalah sesuatu yang tidak salah jika ianya disalurkan atas landasan Islam. Cuma persolannya ialah apakah para pemimpin umat Islam yang berkuasa ketika ini seperti Najib, dan para saingannya, seperti Anwar Ibrahim akan bersedia menerapkan Islam jika mereka diberikan mandat oleh rakyat untuk berkuasa pada PRU-13 yang akan datang ini? Inilah suatu persoalan yang perlu difikirkan oleh umat Islam.

Ketahuilah bahawa setiap dari kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT atas apa yang kita lakukan semasa kita hidup di bumi ini. Jika kita pada hari ini mengekalkan Najib atau memilih Anwar untuk berkuasa dan seterusnya menerapkan sistem peninggalan penjajah sepertimana yang kita saksikan pada hari ini maka kelak kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT dengan apa yang telah kita lakukan itu. Untuk itu, sebagai seorang Muslim yang diwajibkan untuk mengikat diri dengan hukum syara’ dalam setiap perkara yang kita lakukan, termasuklah dalam persoalan politik, maka adalah menjadi kewajiban bagi setiap dari kita untuk melakukan muhasabah kepada golongan yang berkuasa dan yang mengejar kuasa pada hari ini samada terhadap Najib mahupun Anwar agar mereka bersedia untuk menerapkan Islam dan bukannya terus dijadikan alat dan mata rantai untuk meneruskan penerapan sistem kufur ciptaan.

Wahai Najib! Ketika ini kamu adalah individu yang paling berkuasa dan kini kamu menginginkan kemenangan dan kuasa yang lebih besar. Ingatlah kuasa Allah SWT itu adalah lebih besar dari segala-galanya dan Dia telah mewajibkan kepada kamu dan juga yang seangkatan dengan kamu untuk menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Firman Allah SWT: ” Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 49]. ”maka jalankanlah hukum di antara mereka (ahli kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.” [TMQ Al-Maa-idah (5) : 48].

Jika kamu masih terus membesarkan sistem-sistem ciptaan manusia dengan kuasa besar yang kamu perolehi itu maka ingatlah dan takutlah dengan ancaman dari Allah SWT:

” Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir, (zalim),(fasiq)”[TMQ Al Maa-idah (5) : 44, (45), (47)].