Kempen bendera putih – Antara hak rakyat dan tanggungjawab negara

Di sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 sejak awal Jun lalu, kita telah menyaksikan pelbagai masalah yang melanda menjadi semakin meruncing. Kini rakyat bukan sahaja berhadapan dengan ancaman daripada Covid-19, tetapi lebih buruk mereka terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah lain yang muncul akibat pelaksanaan polisi-polisi pemerintah yang gagal. Kita telah menyaksikan kejadian bunuh diri yang semakin kerap terjadi kebelakangan ini, pelbagai perniagaan dan penyedia perkhidmatan yang terpaksa gulung tikar, dan yang terbaru berapa ramai telah terputus bekalan makanan dan keperluan asas.

Ekoran dari keperluan terdesak untuk hidup bagi mereka yang terputus bekalan makanan serta keperluan asas lain, satu kempen tidak rasmi untuk mengibarkan bendera putih telah dilancarkan. Semua kesusahan rakyat ini adalah akibat lockdown separuh masak yang dilaksanakan oleh kerajaan. Inisiatif tersebut mendapat reaksi positif dari sebahagian pihak yang melihatnya sebagai cara yang mudah untuk menerima bantuan tanpa perlu merayu-rayu, khususnya bagi mereka yang segan atau malu untuk berbuat demikian.

Namun demikian, terdapat pihak yang kurang senang dengan inisiatif tersebut, khususnya dari pemerintah sendiri atas alasan kononnya penggunaan bendera putih merupakan simbol keputusasaan dan tindakan mengaku kalah dalam mendepani pandemik. Pemerintah melihat bahawa ini ialah usaha untuk menjatuhkan kredibiliti mereka yang digerakkan oleh parti lawan yang mengambil kesempatan atas kesempitan hidup rakyat.

Pemerintah bukan sahaja gagal melihat bahawa apa yang berlaku ini ialah hasil kesalahan dan kegagalan mereka dalam menangani pandemik, sebaliknya mereka menyalahkan rakyat yang kelaparan yang sebenarnya berpunca daripada tindakan mereka! Inilah pemerintah yang jauh dari Islam, mereka gagal memahami tanggungjawab mereka untuk menyediakan keperluan asas bagi setiap rakyatnya.

Pemenuhan Keperluan Asas (Basic Needs) – Makanan, Pakaian dan Tempat Tinggal

Dalam Islam, negara wajib menjamin keperluan asas setiap individu rakyatnya yang tidak berkemampuan yang merangkumi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sabda Rasulullah (saw),

أنا أولى بكل مؤمن من نفسه. فمن ترك ديناً فعليّ قضاؤه، ومن ترك مالاً فلورثته

“Aku lebih berhak atas kaum Muslimin dari diri mereka sendiri. Barangsiapa meninggal sedangkan dia masih memiliki tanggungan hutang, maka akulah yang akan melunasinya. Dan barangsiapa yang meninggalkan harta warisan, maka harta tersebut untuk ahli warisnya” [HR Abu Daud].

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa tanggungjawab dalam memenuhi keperluan rakyat yang terbeban, adalah terletak di bahu pemerintah. Rasulullah (saw) bukan bersabda atas kapasiti baginda sebagai seorang Rasul semata-mata, tetapi atas kapasiti baginda sebagai pemerintah sebuah negara. Ini jelas terlihat dengan sikap yang sama yang telah diambil oleh para Khulafa’ di sepanjang sejarah Islam dalam menangani masalah yang serupa.

Dalam situasi wabak COVID-19 ini, terdapat sebilangan rakyat yang terjejas sumber pendapatan mereka, khususnya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, golongan peniaga kecil, penjaja dan lain-lain. Keadaan juga menjadi semakin buruk bagi golongan rentan (vulnerable) iaitu mereka yang sememangnya sudah sedia hidup dalam kesusahan. Golongan sebegini termasuklah golongan fakir dan miskin, orang-orang gelandangan, pelarian yang berada di negara ini seperti Muslim Rohingya, serta warga yang tidak mempunyai dokumentasi pengenalan diri.

Maka, dalam situasi bencana ataupun wabak, negara wajib meletakkan keutamaan bagi memastikan keperluan-keperluan asas setiap individu di negara ini dipenuhi. Oleh itu, bantuan yang disampaikan hendaklah dilakukan secara bersasar. Bagi memastikan usaha ini mencapai objektifnya, negara perlu mewujudkan pangkalan data atau mengemaskininya (sekiranya sudah ada) bagi mengenal pasti mana-mana individu yang benar-benar memerlukan bantuan demi memenuhi keperluan primer mereka. Apa pun uslub (cara)nya, negara wajib memastikan setiap individu rakyatnya terpenuhi keperluan asas mereka.

Dalam hal ini, perlu difahami bahawa takrif kemiskinan yang disandarkan kepada jumlah pendapatan isi rumah seperti yang digunapakai sebelum ini bukanlah ukuran yang tepat, apatah lagi dalam situasi wabak dan kemelesetan ekonomi yang dijangka akan menyusul selepas ini. Apa yang mesti diperhatikan ialah keperluan nyata seseorang individu, bukannya secara purata berdasarkan angka. Islam sebaliknya meletakkan ketidakmampuan seseorang itu dalam memenuhi keperluan asas sebagai ukuran dalam menentukan status kemiskinan seseorang. Jika ada walaupun seorang sahaja individu yang tidak dapat makan dalam sesebuah negara, sedangkan pemerintah mengetahuinya, maka pemerintah menanggung dosa.

Oleh itu, pemerintah seharusnya mengerahkan seluruh kekuatan untuk menangani hal ini, termasuklah untuk berkunjung dari rumah ke rumah bagi mendapatkan maklumat keperluan asas sekali gus menyalurkannya secara selamat dan tersusun. Di zaman teknologi serba canggih ini, sesungguhnya tidak ada alasan sedikit pun bagi pemerintah untuk menyatakan bahawa mereka tidak tahu ada rakyat mereka yang kelaparan atau yang terputus bekalan keperluan harian. Ia hanyalah soal mahu tidak mahu sahaja.

Tanggungjawab mengambil tahu akan keperluan rakyat ini sebenarnya bukan sahaja perlu dilaksanakan semasa pandemik seperti ini sahaja, malah ia perlu dilaksanakan sepanjang masa, tanpa mengira keadaan negara sedang dilanda wabak atau tidak. Dengan kata lain, golongan rentan dan yang seumpamanya bukan hanya perlu dijaga semasa kecemasan sahaja, tetapi perlu diperhatikan pada setiap masa sehingga masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas.

Negara tidak sewajarnya menunggu rakyat mengangkat bendera putih atau datang menagih bantuan dari mereka, sebaliknya negara wajib “keluar” mencari golongan yang memerlukan dan seterusnya menunaikan tanggungjawab mereka. Hal ini sebagaimana dilakukan oleh Saidina Umar yang keluar meninjau rakyatnya kerana khuatir ada yang tidak mendapat keperluan asas. Malangnya pemerintah ini hanya mementingkan kuasa dan tembolok mereka sahaja, dan apa yang lebih buruk ialah mereka mempersalahkan rakyat jika rakyat tidak cukup makan!.

Perlu diingat bahawa tanggungjawab negara bukan hanya bagi memastikan rakyat mendapat bekalan makanan, tetapi juga pakaian dan tempat kediaman. Di musim pandemik ini, berapa ramai yang tidak mampu untuk membayar sewa kediaman. Justeru, negara wajib memastikan mereka tidak diusir daripada kediaman masing-masing gara-gara tidak mampu membayar sewa. Lebih dari itu, negara wajib memastikan rakyat yang tidak memiliki rumah kerana ketidakmampuan, agar dapat menyewa atau memiliki rumah untuk mereka meneruskan hidup dan menjalankan tugas-tugas seharian mereka.

Khatimah

Apa yang pasti ialah kerajaan sedia ada sudah gagal menangani pandemik, gagal menjalankan tanggungjawab mereka, dan rakyatlah yang menanggung kesannya. Lockdown atau PKP dengan pelbagai Standard Operating Procedure (SOP) yang mereka laksanakan ternyata gagal menyelesaikan masalah, malah sebaliknya menjadikan masalah semakin serius. Malangnya pemerintah tidak pernah mendengar rintihan rakyat, apatah lagi untuk mengambil peduli masalah rakyat di lapangan. Inilah sikap pemerintah dalam sistem kapitalis pada hari ni yang hanya mementingkan diri sendiri dan kroni mereka sahaja. Selagi mereka berkuasa, maka selagi itulah rakyat akan terus menderita. Sesungguhnya tidak ada jalan keluar daripada semua masalah ini kecuali dengan menukar pemerintah dan sistem demokrasi yang diterapkan ini dengan sebuah pemerintahan Islam di bawah naungan Khilafah.

Wallahu a’lam.