Kempen Hizbut Tahrir Britain “Expose the Undeclared War on Pakistan”

Pada hari Jumaat lepas (14 Nov), syabab Hizbut Tahrir UK telah mengedarkan lebih 50,000 risalah di dalam Bahasa Inggeris dan juga Urdu ke seluruh pelosok UK. Mesej ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin untuk memberitahu mereka tentang kempen yang dijalankan oleh Hizbut Tahrir iaitu “Expose the Undeclared War on Pakistan” (Dedahkan Perang Senyap Ke Atas Pakistan) dan mengajak mereka untuk bersama-sama menyertai dan bergerak aktif di dalam kempen ini.

Kandungan risalah yang disebarkan adalah seperti berikut (diterjemah dari Bahasa Inggeris):-

 

DEDAHKAN PERANG SENYAP AMERIKA KE ATAS PAKISTAN
Pada 7 November lepas, kapal terbang pengebom Amerika sekali lagi mencabuli ruang angkasa Pakistan untuk melancarkan satu lagi serangan peluru berpandu ke atas penempatan awam di utara Pakistan. Ini adalah serangan kali ke-20 sejak bulan Ogos di mana ramai orang awam terbunuh syahid. Lebih dari itu pada bulan September, tentera khas Amerika melancarkan serangan ke atas Angoor Adda membunuh seramai 20 orang awam di Pakistan selepas menerima arahan sulit daripada Presiden Bush untuk melancarkan serangan darat. Sejak peperangan di FATA, seramai lebih 700,000 orang telah menjadi pelarian dan berdepan dengan kepayahan dalam musim sejuk yang akan tiba di wilayah utara.
 
Perang Senyap Amerika Terhadap Pakistan
Amerika yang tidak berani berperang menentang sebuah negara yang mempunyai angkatan tentera yang keenam terbesar di dunia, telah tidak mengisytiharkan peperangan ke atas Pakistan, tetapi dalam masa yang sama mereka melancarkan operasi ketenteraan menceroboh wilayah Pakistan. Presiden Bush telah mengarahkan 13,000 anggota tentera untuk ke sempadan Afghanistan dan Barack Obama semasa kempen pilihan raya Amerika Syarikat mengatakan beliau akan “menggerakkan dua batalion” tentera ke sempadan. Dia juga mengatakan bahawa “kita mesti beredar daripada medan perang yang kurang sesuai di Iraq dan berperang di medan yang sesuai di Pakistan dan Afghanistan”. Dia mengatakan bahawa sekiranya Pakistan tidak mampu mengalahkan puak militan yang beroperasi di wilayah utara, maka Amerika akan menyerang wilayah di Pakistan secara unilateral. Terlalu nyata bahawa setiap hari Amerika menceroboh kedaulatan Pakistan. Bukankah kenyataan dan polisi ini merupakan kenyataan dan polisi peperangan?

Perang Menentang Keganasan

Keadaan yang wujud saban hari di Afghanistan bukanlah berpunca daripada keganasan, tetapi merupakan natijah nyata daripada pencerobohan dan penjajahan Amerika ke atas negara tersebut. Penduduk Afghanistan telah berperang menentang penjajah kafir ini dengan taktik gerila. Bukankah kita telah menyaksikan apa yang Amerika lakukan di Iraq? Bukankah kita menyaksikan bagaimana mereka mengenakan sekatan yang keras dan mengakibatkan sebuah negara Arab yang paling maju pada masa itu menjadi terbahagi kepada tiga wilayah yang lemah dan mengukuhkan penguasaan boneka mereka di Baghdad. Sekarang Amerika mengalihkan pandangan mereka kepada negara kaum Muslimin yang terkuat iaitu Pakistan.

Pakistan – Iraq yang seterusnya

Dengan menuduh Pakistan melindungi pengganas dan tentera Pakistan merupakan pembantu kepada golongan pengganas, Amerika sedang melakukan perkara yang sama seperti mana di Iraq. Pembohongan selama 45 minit adalah mencukupi untuk menciptakan keadaan panik di Barat supaya serangan ke atas Iraq boleh dijustifikasikan. Kini media melaporkan bahawa Pakistan dengan senjata nuklear mereka adalah  merupakan negara yang gagal dan tidak dapat dikawal, hal ini dilakukan semata-mata untuk menjustifikasikan serangan mereka ke atas Pakistan. Dengan mengarahkan tentera Pakistan menyerang orang awam di FATA, Amerika telah mencipta satu konflik saudara di Pakistan dan menggunakan konflik yang sama untuk mengatakan bahawa keadaan di Pakistan sudah tidak lagi terkawal. Sesetengah pemikir polisi luar Amerika mengatakan bahawa Pakistan mestilah dibahagikan kepada negara-negara kecil dan sebahagian wilayahnya dimasukkan ke dalam Afghanistan dan Iran. Kerajaan India dan Datuk Bandar Kabul selaku ejen Amerika, yakni Karzai merupakan penyokong terkuat terhadap propaganda tersebut.

Boneka demokrasi Pakistanlah yang merupakan masalah

Apabila Musharraf memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Amerika untuk menyerang Afghanistan, dia secara langsung telah menjadikan Amerika menjajah Afghanistan. Kerajaan demokratik Pakistan yang korup pada hari ini telah meneruskan polisi yang sama dengan membantu Amerika melancarkan serangan. Di samping adanya protes sebelah mata terhadap serangan tersebut, kerajaan Zardiri-Gilani masih terus menghantar bekalan ketenteraan kepada Amerika menerusi Karachi. Mereka telah memberikan sokongan terbuka kepada serangan Amerika dan sokongan terhadap pembohongan media Amerika yang mengatakan bahawa Pakistan sedang mengalami pergolakan dalaman yang hebat. Mereka telah mengkhianati penduduk Kashmir dengan mengarahkan tentera bergerak daripada Kashmir ke FATA untuk bekerjasama dengan tentera Amerika, yang mana telah mengukuhkan kedudukan tentera Amerika dan mengukuhkan kedudukan sekutu mereka iaitu India di Kashmir.

Krisis ekonomi Pakistan

Selama berdekad lamanya Pakistan mematuhi pelan ekonomi IMF dan rancangan ekonomi  Kapitalis Barat yang telah mengakibatkan Pakistan mengalami malapetaka ekonomi yang berpanjangan. Pakistan mempunyai pertanian dan sumber galian yang banyak dan berupaya untuk memajukan industri persenjataan, walaupun sistem ekonominya berpandukan kepada model Kapitalis Barat yang rapuh melalui kerajaan demokratik dan diktator yang korup. Sekarang IMF digunakan sebagai alat untuk melemahkan kerajaan yang ada dengan memaksanya untuk memotong perbelanjaan ketenteraan sebelum pentadbiran Zardari berkuasa. Penduduk Pakistan sejak sekian lama mengalami masalah yang memeritkan dan kini berhadapan pula dengan kekurangan bekalan makanan dan harga makanan yang melambung tinggi.

Hanya Khilafah dapat menyelesaikan masalah di Pakistan

Hanya dengan Khilafah sahajalah yang akan menghasilkan sebuah pemerintahan yang berdaulat dan bebas dari boneka Barat serta bebas dari sistem demokrasi dan diktator yang tunduk kepada Barat. Khilafah akan menjadi penyatu kepada seluruh umat Islam, dan akan mempertahankan maruah dan nyawa mereka dari kejahatan tentera kuffar. Khilafah akan mewujudkan kestabilan ekonomi berasaskan mata wang yang disandarkan kepada emas dan menggunakan sumber kekayaan alam untuk memperbaiki kehidupan rakyat, bukannya sebagaimana rejim sekarang yang menswastakan sumber kekayaan untuk diberi kepada syarikat-syarikat asing dan ahli-ahli parlimen yang korup.
 

Bersamalah Menyertai Kempen Hizbut Tahrir Untuk Membongkar Perang Senyap Amerika Ke Atas Pakistan
 
Bersama-sama kami menentang kerajaan Pakistan yang bersekutu dengan Amerika

Bersama-sama kami di dalam menyeru penyatuan di antara Kashmir dan Afghanistan

Bersama-sama kami di dalam mendirikan pemerintahan baru, Khilafah di Pakistan

“Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang memberi kehidupan kepada kamu…” [TMQ al-Anfal (8):24]