Kenaikan harga sayur, bagaimana Islam menanggapinya?
Semenjak beberapa minggu kebelakangan ini, masyarakat telah dibebani dengan kenaikan harga sayuran melampau sehingga mencecah lebih 200% daripada harga asal. Peningkatan drastik ini dipercayai berpunca daripada beberapa faktor lokal dan global yang mempengaruhi aktiviti-aktiviti ekonomi seperti sekatan global akibat pandemik Covid-19, kos logistik yang meningkat, permintaan yang tinggi daripada masyarakat dan pelbagai lagi.
Walaupun mungkin juga ada faktor unsur sabotaj dari pihak tertentu untuk tujuan pengalihan isu politik, hakikatnya orang yang menanggung akibat daripada kenaikan harga ini ialah rakyat. Pihak peniaga pula berada dalam keadaan tersepit sama ada untuk menjual sayur dengan harga lebih tinggi daripada pembekal atau tidak mengambil terus untuk mengelakkan kerugian.
Di pihak pengguna ataupun masyarakat umum, mereka terpaksa memikirkan berulang-ulang kali sebelum membeli kerana kos barang tersebut sudah melebihi kemampuan kewangan mereka. Apa yang pasti, isu kenaikan harga barang jelas memberi dampak yang besar dalam kehidupan masyarakat.
Penyelesaian popular yang paling diharapkan untuk menyelesaikan isu ini adalah dengan tindakan kerajaan menguatkuasakan undang-undang untuk menetapkan harga sayuran agar sesuai dengan kemampuan masyarakat. Dengan langkah ini, masalah kenaikan harga diharapkan akan selesai dan masyarakat akan kembali gembira.
Persoalannya, adakah Islam sebagai agama pengatur kehidupan manusia ini tidak menyediakan jalan penyelesaian? Jawapannya adalah ya, malah Islam sudah lama memberikan penyelesaian terhadap masalah ini, kerana masalah kenaikan harga barang ini juga terjadi di masa Rasulullah (saw).
عن أنس -رضي الله عنه- قال: غلا السعر على عهد رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فقالوا: يا رسول الله! سعر لنا. فقال: «إن الله هو المسعر، القابض الباسط الرزاق، وإني لأرجو أن ألقى ربي، وليس أحد منكم يطلبني بمظلمة، في دم ولا مال.
“Dari Anas: ‘Suatu waktu di masa Rasulullah (saw) harga melonjak naik. Lalu orang-orang mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga untuk kami’. Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya Allah-lah yang menetapkan harga, yang menyempitkan dan melapangkan rezeki, dan sungguh aku berharap untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku dengan suatu kezaliman, baik darihal darah atau harta’” [HARI at-Tirmidzi dan Abu Daud].
Rasulullah (saw) telah menjadikan tindakan menetapkan harga sebagai sebuah kezaliman. Jadi, berdasarkan hadis ini, amat jelas bahawa penguasa tidak boleh (haram) menetapkan harga, walaupun kehidupan orang ramai menjadi sukar kerana kenaikannya. Namun, ini sama sekali tidak bermakna yang Islam tidak boleh menyelesaikan masalah ini.
Khalifah Umar Al-Khattab pernah berhadapan dengan masalah ini, yang pada waktu itu terjadi di Hijaz. Kebuluran telah melanda akibat daripada kekurangan makanan dan harga meningkat tinggi. Sang Khalifah tidak menetapkan harga kerana memahami keharamannya, tetapi apa yang dilakukan oleh beliau ialah membawa bekalan makanan dari daerah Mesir dan Syam, masuk ke Hijaz. Dengan itu berakhirlah krisis tersebut tanpa perlu menetapkan harga di Hijaz. Perlu difahami bahawa Hijaz, Mesir dan Syam pada waktu itu merupakan satu negara di bawah Daulah Islam.
Walaupun situasi sekarang berbeza kerana dunia Islam bukan lagi dunia yang satu, namun ini tidak bermakna yang tiada jalan penyelesaian dalam masalah ini. Jika bekalan sayur atau jua makanan dalam negara berkurangan, maka kerajaan wajib mengimport bekalan makanan dari luar. Thailand dan Indonesia merupakan dua jiran terdekat Malaysia yang boleh didapatkan bekalan dalam masa yang cepat. Jika mereka juga kekurangan bekalan, maka kerajaan wajib mencarinya dari negara-negara lain yang mempunyai bekalan.
Jika sempadan banyak negara ditutup kerana masalah pandemik, kerjasama boleh sahaja dilakukan untuk membuka sementara sempadan bagi menyelesaikan krisis ini. Ini kerana kerjasama dalam bidang lain ternyata berjalan walaupun dalam keadaan pandemik sehingga sempadan negara tetap dibuka untuk kes-kes menyambung pelajaran, pekerjaan dan lain-lain.
Selain penyelesaian jangka pendek, penyelesaian jangka panjang juga wajib diambil oleh kerajaan. Tanah-tanah terbiar di Malaysia ini masih terlalu banyak, sedangkan boleh dikatakan kesemua tanah tersebut adalah subur untuk dijadikan tanah pertanian. Dalam masa yang sama jumlah penganggur di Malaysia juga sangat ramai. Justeru, boleh sahaja sekiranya kerajaan mengusahakan untuk menanam pelbagai jenis sayuran mahupun buah-buahan dan menggajikan mereka yang menganggur untuk tujuan ini.
Kerajaan juga boleh sahaja membahagikan tanah pertanian secara percuma kepada rakyat, khususnya yang ingin bercucuk tanam, dan dalam masa yang sama memberikan pelbagai kemudahan termasuk modal, peralatan, benih dan sebagainya, bagi membantu merancakkan usaha pertanian. Hal ini semua selari dengan Islam, dan pernah dilakukan oleh para Khalifah terdahulu.
Ini hanyalah secebis daripada penyelesaian Islam dalam hal ini. Jika semua ini dilakukan, maka insya Allah masalah kenaikan harga sayur dan lain-lain barangan makanan dapat diatasi. Masalahnya ialah kerajaan tidak melakukan semua ini, kerana kerajaan sekarang ialah sebuah kerajaan yang sangat jauh daripada Islam. Akhirnya orang ramai-lah yang terpaksa menanggung akibatnya.
Di sinilah pentingnya umat Islam memahami akan penyelesaian Islam dalam isu ini, dan wajib melakukan sesuatu untuk memastikan Islam itu ditegakkan. Usaha untuk mengembalikan Islam melalui jalan tegaknya Khilafah wajib dilakukan oleh setiap Muslim. Sudah jelas di depan mata bahawa kerajaan yang sedia ada tidak boleh diharap dan tidak mahu menerapkan Islam. Maka selagi kerajaan dan sistem ini tidak diubah, selagi itulah umat Islam akan terus merana dengan pelbagai musibah.
Wallahu a’lam.