Kenaikan Kos Sara Hidup, Mekanisme Pasar dan Kawalan Harga

  1. Tidak dapat dinafikan, kos sara hidup meningkat dari masa ke semasa. Harga barang-barang yang tidak terkawal mengalami peningkatan sedikit demi sedikit dengan indeks harga pengguna sentiasa menunjukkan nilai positif. Bagi yang biasa berbelanja, mereka akan terasa kerana daripada jumlah wang dibawa, apa yang dibawa pulang selalunya lebih sedikit kuantitinya daripada biasa. Bagi rakyat yang tertekan mereka meletakkan perkara ini dibahu kepimpinan yang ada, namun ada pihak yang menyokong kerajaan pula mereka cuba membela pemimpin ini dengan berbagai cara.
  1. Melalui twitter bertarikh 11 Disember 2017, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuan Malaysia menyebut “…jika pemimpin adil mcm Nabi SAW pun HARGA BARANG NAIK, apatah lagi kita hari ini, simple calculation..”, ungkapan ini menerangkan bahawa zaman Nabi SAW lagi berlaku kenaikan, maka rakyat sewajarnya menerima ‘suratan takdir’ ini dan jangan menyalahkan kepimpinan. Hal ini berasaskan kepada hadis Nabi SAW daripada  Anas bin Malik, dia berkata:“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah SAW. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. [HR Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dan lain-lain. Dinilai sahih oleh al-Albani]
  1. Persoalan yang dibangkitkan oleh sahabat ialah supaya Rasulullah SAW campur tangan dengan meletakkan harga siling kepada barangan yang melambung harganya. Namun Rasulullah SAW membiarkan mekanisme harga (Harga Pasaran) berjalan bebas mengikut permintaan dan penawaran pasaran yang adil kerana semua ini berjalan sesuai dengan ketetapan Allah yang Maha meletakkan harga kerana hal tersebut fitrah kehidupan.
  1. Subjek (maudhu’) yang utama hadis berkenaan adalah tentang haramnya hukum kawalan harga barang oleh pemerintah, yang sama sekali tidak ada kaitan langsung dengan topik yang diutarakan oleh Ulama Muda UMNO dalam perbincangan tersebut, yang membawa pemikiran gaya golongan jabariyah. Bahkan kalau diambil daripada hadis ini secara keseluruhan ternyata konsep ini berlawanan dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah yang melakukan kawalan harga. Ia juga ternyata berlainan sekali dengan perlaksanaan sistem seperti yang dijalankan oleh Rasulullah SAW. Hal ini demikian kerana Rasulullah SAW menjalankan sistem ekonomi Islam, sedangkan pemerintah yang ada pada hari ini mengambil sistem ekonomi kapitalis. Inflasi dan riba merupakan aspek yang berpisah tiada dalam sistem ekonomi kapitalis ini.
  1. Beberapa tindakan yang dilakukan oleh pemerintah seperti mengenakan cukai GST, telah menaikkan harga barang secara automatik sedangkan perkara ini jelas-jelas bertentangan dengan syariah Islam. Hizbut Tahrir telah menerima pakai pendapat bahawa haram untuk negara melakukan kawalan harga terhadap semua jenis barangan berasaskan nas hadis di atas tanpa ada pengecualian sesuai dengan pandangan jumhur ulama.
  1. Pemerintah haruslah mengkaji mengapa berlaku kenaikan harga barangan termasuk barang keperluan dan sebagainya. Jika kenaikan disebabkan oleh faktor peniaga menyorok barangan, maka tindakan tegas hendaklah diambil terhadap mereka. Hukum mencatut harga juga boleh diaplikasikan dengan hukum ghaban al-fahisy dalam jual beli. Namun jika terdapat kenaikan harga kerana kekurangan barangan dalam negara, maka pemerintah perlu mengambil inisiatif mengimport barangan ke dalam negara, sebagaimana yang dilakukan oleh Umar al-Khatab yang mengimport keperluan barangan semasa musim kebuluran di Madinah dari Syam dan Mesir sehingga dapat menurunkan harga, tanpa perlu meletakkan harga siling untuk barangan. [Rujukan: Nizamul Iqtisadi fil Islam, Taqiuddin Nabhani, hal 201]
  1. Pemerintah hendaklah melakukan tindakan yang bijaksana dalam melihat kenaikan harga barangan yang berada di pasaran demi menjaga kebajikan rakyat, bukan dengan meletakkan cukai yang akan menaikkan harga barangan ataupun tidak mengendahkan peningkatan ini kerana kononnya zaman Nabi SAW pun harga barang naik. Hanya dengan penerapan sistem ekonomi Islam sahajalah yang dapat memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyat.

Wallahu’alam.

Ahmad Mustafa
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia