Kenali Islam Lebih Baik Berbanding Cadangan Subjek Kenali Agama Lain
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha mengusulkan kerajaan memperkenalkan subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam bagi memupuk pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini. Cadangan tersebut bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik yang melihat tiada keperluan bagi melaksanakannya.
Cadangan subjek khusus untuk kenali agama lain ini dibuat dengan tujuan memupuk persefahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama dalam masyarakat majmuk di negara ini. Sekilas pandang, tujuan cadangan tersebut diusulkan kelihatan murni, namun terdapat perkara yang membimbangkan sekiranya cadangan seumpama itu dilaksanakan.
Meskipun Jufitri berkata bahawa cadangan tersebut tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, namun secara tidak langsung ia boleh menyebabkan generasi muda cenderung untuk tidak mendakwahkan Islam kepada penganut agama lain atas dasar menghormati kepercayaan agama lain. Bahkan tidak mustahil seandainya anak-anak Muslim yang tidak kukuh pegangannya boleh terpengaruh dengan ajaran agama lain.
Dalam daulah Islam, pendidikan menurut perspektif Islam bertujuan untuk membentuk syakhsiyyah atau keperibadian Islam dalam diri anak-anak Muslim. Di samping peranan ibu bapa, negara juga bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan peluang pendidikan kepada anak-anak bagi mencapai objektif tersebut selain daripada menyiapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran bagi menjalani kehidupan. Namun, tidak bererti anak-anak orang kafir dipaksa untuk menganut Islam tanpa kerelaan mereka.
Berbanding subjek kenali agama lain, lebih baik sekiranya penganut agama lain didekati dan diperkenalkan dengan ajaran Islam dalam ertikata sebenarnya. Hal ini selaras dengan tuntutan Islam seperti firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik,” [TMQ an-Nahl (16): 125].
Islam seringkali disalahertikan oleh penganut agama lain. Di peringkat antarabangsa, fenomena Islamophobia diapi-apikan oleh media bagi menggambarkan Islam sebagai “doktrin kejahatan”. Manakala di negara ini pula, Islam seringkali dikaitkan dengan persepsi buruk mengenai amalan atau sikap penganutnya, khasnya orang Melayu yang mencampur-adukkannya dengan adat kebiasaan.
Tambahan pula, Islam pada hari ini sudah tidak lagi diamalkan secara kaffah (menyeluruh), sehingga menyebabkan timbul fitnah ke atasnya akibat kepincangan dari segi pelaksanaannya yang dicampur-adukkan dengan sistem demokrasi sekular kapitalis buatan manusia. Maka sewajarnya mesej Islam yang sempurna wajib disampaikan bukan sahaja kepada orang-orang kafir bahkan yang lebih utama kepada umat Islam sendiri.
Di samping menyampaikan risalah Islam, kita juga dapat menjelaskan bahawa Islam tidak menindas dan mendiskriminasi berdasarkan warna kulit dan status. Bahkan dalam daulah Islam, hak-hak orang kafir yang berstatus ahlu zimmah tetap dipelihara dan mereka diberikan layanan baik serta dilindungi.
Sementara itu, perlu diketahui bahawa isu pemahaman dan keharmonian antara berbilang kaum dan penganut agama di negara ini berpunca daripada akar permasalahan yang lebih mendalam. Jurang perbezaan sosio-ekonomi yang ketara mengikut garis perkauman di negara ini terjadi akibat penerapan sistem kapitalisme pada hari ini di samping dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah British sewaktu zaman kolonialisme dahulu. Kemelut ini tidak akan dapat diselesaikan selagi kita tidak menangani akar permasalahannya. Apatah lagi dengan mengambil penyelesaian mengikut kerangka sistem kapitalisme yang menjadi puncanya.