Kenali Matawang Syarie – Dinar dan Dirham (Bahagian 2)
Oleh : Yusuf Muhammad
Kelebihan Mata wang Emas dan Perak
Emas dan perak merupakan dua komoditi yang memiliki nilai yang tersendiri. Kedua-dua jenis logam ini memiliki nilai tersendiri yang pasti mendapat perhatian serta permintaan manusia. Penggunaan kedua-dua jenis logam ini yang lazimnya untuk menghasilkan barang-barang kemas serta untuk tujuan lain memastikan permintaan serta pengeluarannya sentiasa ada sepanjang masa. Selain itu, emas merupakan logam yang tidak mudah teroksida (berkarat). Sifat ini memastikannya tetap stabil dan tahan dalam jangka waktu yang sangat lama. Sebagai contoh, meskipun kepingan emas ini tenggelam di dasar lautan, ia mampu untuk mengekalkan bentuk asalnya tanpa mengalami perubahan oleh air laut yang masin. Begitu juga, emas yang telah dikeluarkan dari perut bumi ribuan tahun dahulu tetap sama nilainya dengan emas yang baru sahaja dikeluarkan dari perut bumi pada hari ini. Oleh sebab itu, emas merupakan alat penyimpan kekayaan (store of value) yang paling baik. Ia berbeza dengan komoditi lain seperti kertas, meskipun boleh digunakan sebagai alat tukaran (medium of exchange), namun begitu ia tidak dapat menyimpan kekayaan dalam tempoh yang lama.
Selain itu, emas merupakan logam yang dapat dibahagi-bahagi dalam ukuran kecil dan dapat dilebur semula. Dengan sifat tersebut ia dapat menjadi alat tukar yang dapat diubah menjadi sesuatu yang berguna pada bila-bila masa dengan tetap dapat menjaga nilainya. Sebagai contoh, pada hari ini ia digunakan sebagai barang kemas, tetapi pada keesokan harinya ia boleh dijadikan wang untuk pertukaran dengan barang. [2]
Emas juga merupakan komoditi yang tinggi nilainya. Komoditi ini memiliki nilai per unit yang tinggi meskipun dalam ukuran yang kecil. Oleh itu, seseorang hanya perlu menggunakan emas yang sedikit untuk melakukan transaksi barangan mahupun perkhidmatan yang dalam ukuran besar. Sebagai contoh, harga untuk 1 auns emas adalah sekitar RM5478 pada 27 September 2016, iaitu RM176.12/ gram. [3]
Keberadaan emas juga boleh diterima secara meluas. Ia diterima oleh masyarakat dunia sebagai benda yang bernilai, sekali gus mampu untuk dijadikan alat tukaran. Ia jauh berbeza dengan wang fiat yang penerimaannya bersifat tidak menyeluruh. Sebagai contoh, mata wang ringgit hanya laku untuk dijadikan alat tukaran di dalam Malaysia dan di beberapa buah negara berdekatan sahaja, tetapi ia tidak akan laku untuk digunakan dalam pertukaran di negara lain seperti di Eropah dan Amerika. Ini berbeza dengan emas, ia memiliki nilai yang diterima di mana sahaja oleh masyarakat dunia sebagai benda yang bernilai tinggi.
Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya, Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah telah menyebutkan beberapa kelebihan mata wang emas dan perak berbanding dengan wang fiat yang terdapat pada masa ini. Kelebihan-kelebihan tersebut ialah:
Pertama: Emas dan perak ialah komoditi, sebagaimana komoditi yang lain seperti unta, kambing, ayam, lembu, besi, kayu atau tembaga. Komoditi ini dapat diperjualbelikan jika ia tidak digunakan sebagai wang. Untuk mendapatkan emas dan perak ini memerlukan kos eksplorasi dan produksi. Oleh itu, emas dan perak termasuk wang komoditi (commodity money) yang bermaksud emas dan perak mempunyai nilai intrinsik (qimah dzatiyah) pada dirinya sendiri. Ini berbeza dengan wang kertas yang tidak memiliki nilai intrinsik pada dirinya sendiri. Dengan menggunakan mata wang emas dan perak, sesebuah negara tidak akan dapat mencetak mata wang sesuka hati dan mengedarkannya ke pasaran. Ini berbeza dengan wang kertas di mana negara bebas untuk mencetak wang kertas seberapa banyak yang ia kehendaki kerana wang kertas tidak memiliki nilai intrinsik pada dirinya sendiri.
Sebagai contoh, kos untuk mencetak wang dolar secara massa (mass production) untuk dominasi USD100 ialah USD0.20, perbezaan antara nilai nominal (100) dan kos percetakan (0.20) telah menghasilkan seignorage sebesar USD99.80. Dengan kata lain, setiap kali AS mencetak sekeping wang kertas USD100, AS akan mendapat untung sebanyak USD99.80. “Untung atas angin” yang diperoleh oleh AS dalam pencetakan wang ini telah menimbulkan ketidakadilan dalam perniagaan dunia dan telah memudahkan penguasaan AS ke atas ekonomi negara lain. Bayangkan jika harga setong minyak mentah yang berharga USD100/tong, kos sebenar yang ditanggung oleh AS untuk membeli emas hitam ini hanyalah sekitar 20 sen! Namun begitu, oleh sebab permintaan ke atas dolar Amerika sangat tinggi di luar negara, AS mengambil kesempatan ini dengan mencetak dolar secara berleluasa dan akhirnya menimbulkan inflasi. Sebagai contoh, meskipun jumlah simpanan emas AS pada tahun 2014 tidak bertambah berbanding tahun sebelumnya (8133 tan metrik), mereka tetap mencetak wang baru sebanyak USD188.7 bilion pada tahun 2015. [4]
Berbeza dengan mata wang emas dan perak, ia tidak boleh diterbitkan secara sesuka hati tanpa keberadaan jumlah emas yang diperlukan. Sebagai contoh, untuk menghasilkan 1 dinar emas syarie ia memerlukan emas seberat 4.25 gram dan untuk menerbitkan sebanyak 20 dinar, maka sebanyak 85 gram emas diperlukan untuk tujuan pencetakannya. Begitu juga dengan dirham, untuk mencetak 1 dirham perak syarie memerlukan perak seberat 2.975 gram dan begitulah jika ingin mencetak 200 dirham memerlukan perak seberat 595 gram. Dengan itu, nilai intrinsik emas dan perak itu tetap terjaga dan tidak akan berlaku pencetakan mata wang dinar dan dirham tanpa kewujudan emas dan perak secara fizikal dalam simpanan negara.
Kedua: Sistem emas dan perak akan menimbulkan kestabilan mata wang. Tidak seperti sistem wang kertas yang cenderung membawa ketidakstabilan ekonomi dunia apabila penambahan wang kertas yang beredar boleh berlaku secara tiba-tiba sebagaimana yang pernah berlaku semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Pada kebiasaannya, emas sangat sukar untuk ditemui dalam kuantiti yang melimpah ruah dan ini tidak akan menambahkan jumlah wang yang beredar di pasaran secara mendadak. Sebagai contoh, pada tahun 2015, jumlah pertambahan emas yang dimiliki oleh keseluruhan bank pusat negara di seluruh dunia hanyalah 483 tan metrik, yang setara dengan nilai USD18.051 trilion.[5] Berbanding dengan wang fiat, jumlah pertambahan wang di pasaran boleh berlaku secara mendadak dengan meningkatkan jumlah percetakan wang dalam masa yang singkat.
Ketiga: Sistem emas dan perak akan menciptakan keseimbangan neraca pembayaran antara negara secara automatik (automatic adjustment) untuk memperbetulkan selisih dalam pembayaran tanpa campur tangan bank pusat. Berbanding dengan wang kertas, jika terjadi selisih seperti ini, negara akan mencetak lebih banyak wang kerana tiada batasan untuk mencetaknya. Tindakan mencetak wang sesuka hati ini akan meningkatkan inflasi dan menurunkan daya beli (purchasing power) wang di negara tersebut.
Contoh mekanisme automatic adjustment – negara A dan B berdagang di antara satu sama lain. Nilai eksport negara A ke negara B ialah RM100 bilion dan nilai import negara A dari negara B ialah RM80 bilion. Dalam keadaan ini, negara A mengalami surplus dan negara B mengalami defisit perdagangan sebanyak RM20 bilion. Oleh itu, negara A akan mengalami longgokan emas yang diperoleh daripada negara B yang bernilai RM20 bilion kerana pembayaran menggunakan matawang emas. Keadaan ini akan menyebabkan harga komoditi di dalam negara B akan menurun dan menjadikan harga komoditi di negara B akan lebih murah berbanding di negara A. Ini akhirnya akan mengurangkan jumlah import negara B dari negara A dan begitulah sebaliknya. Sekiranya perdagangan negara A dan B menggunakan wang fiat, negara B akan mencetak lebih banyak wang untuk mengimbangi perbezaan nilai eksport dan importnya. Pencetakan wang yang tiada batasan ini akan meningkatkan inflasi dan menurunkan daya beli (purchasing power) pada wang di negara B.
Dalam sistem mata wang emas dan perak, negara tidak akan mencetak wang yang baru, selagi wang yang beredar dapat ditukar dengan emas dan perak pada harga tertentu. Ini kerana, negara khuatir dengan memperbanyakkan wang yakni dengan menerbitkan wang baru akan meningkatkan permintaan terhadap emas sedangkan negara tidak mampu untuk memenuhi permintaan ini. Sekiranya ini berlaku, ia akan menyebabkan pelarian emas dan perak ke luar negara dan ini akan menyebabkan berkurangnya simpanan emas dan perak di dalam negara.
Bersambung ke bahagian 3…
Nota: Sebarang komen serta cadangan mengenai tulisan ini bolehlah berhubung terus dengan penulis melalui email [email protected].
Rujukan :
- Hammes and Wills. Black Gold: The End of Bretton Woods and the Oil-Price Shocks of the 1970s, The Independent Review, v. IX, 2005
- Glyn Davies, History of Money from Ancient Times to the Present Day.2006
- http://www.hargaemas.com.my/harga
- https://www.federalreserve.gov/paymentsystems/files/currency_print_orders_2015.pdf
- http://www.forbes.com/sites/greatspeculations/2016/05/26/top-10-countries-with-the-largest-gold-reserves/#44648914466b