Kenyataan Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM)

Kenyataan Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM)

“HARAM MEMBAKAR RUMAH IBADAT AGAMA LAIN

DAN BERHATI-HATILAH TERHADAP TIPUDAYA JAHAT”

23 Muharram 1431H / 9 Januari 2010


Berhubung dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pembenaran penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly pada 31 Disember 2009 yang lalu, sebahagian dari umat Islam telah melakukan demonstrasi membantah keputusan mahkamah tersebut. Ekoran dari itu, telah berlaku kejadian di sekitar Lembah Kelang di mana beberapa buah gereja dibakar dan cuba dibakar oleh pihak-pihak yang masih belum dikenal pasti.

 

Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini mengingatkan umat Islam bahawa mungkin sahaja ada pihak-pihak yang berkepentingan sengaja melakukan pembakaran tersebut bagi mengeruhkan lagi suasana, baik dari kalangan orang kafir mahupun dari kalangan orang Islam sendiri. Setiap gerakan Islam dan individu Muslim yang ikhlas hendaklah berhati-hati dan tidak seharusnya melatah dengan isu yang berlaku. Kaum Muslimin yang beriman dan ikhlas hendaklah sentiasa berwaspada dan mengingatkan satu sama lain akan agenda jahat yang tersembunyi di sebalik peristiwa nama Allah dan pembakaran gereja ini, baik ia dilakukan oleh orang kafir mahupun orang Islam.

 

Secara khususnya Hizbut Tahrir Malaysia ingin mengingatkan umat Islam bahawa:-

 

1.         Islam mengharamkan penganutnya untuk membakar rumah ibadat agama lain. Walaupun kita tidak bersetuju dan tidak redha dengan perbuatan mereka dalam apa jua hal, namun kita diharamkan untuk membakar atau merosakkan rumah ibadat mereka. Sesungguhnya Rasulullah dan para sahabat (Ijmak Sahabat) tidak pernah menunjukkan atau membenarkan hal ini dilakukan.

 

2.         Rumah ibadat orang-orang kafir sememangya tidak boleh zahir di tengah-tengah umat Islam, namun ketentuan untuk meroboh atau mengalihkannya hendaklah datang dari ketua negara. Memanglah pemimpin hari ini tidak mempedulikan ini semua, namun Insya Allah bila Khilafah tertegak nanti, Khalifah akan berhukum dengan hukum Allah dan memastikan hal ini tidak berlaku.

 

3.         Umat Islam tidak seharusnya mudah melatah dengan provokasi pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh. Jangan terpancing dengan emosi dan provokasi sehingga melakukan perbuatan yang bercanggah dengan Islam. Emosi hendaklah dipandu mengikut hukum syarak.

 

 

4.         Peristiwa pembakaran ini telah menyebabkan pihak polis mengambil langkah-langkah yang lebih berpihak kepada gereja seperti menjaga keselamatan gereja (dan paderi) dan tidak mustahil selepas ini kerajaan akan menanggong kos pembaikan gereja dalam usaha mengambil hati orang-orang kafir. Proses menjaga keselamatan gereja ini tentunya akan melibatkan pasukan keselamatan yang beragama Islam, akan memakan masa yang agak panjang dan akan tentunya menelan belanja yang tidak sedikit di dalam keseluruhan prosesnya yang mana akhirnya, wang rakyat juga yang akan dipergunakan, dan umat Islamlah yang akan menanggong lebih kerugian.

 

5.         Orang kafir tentunya akan mengambil kesempatan dengan kejadian yang berlaku ini untuk memburukkan lagi Islam dan umatnya. Peristiwa pembakaran ini tentunya akan diperbesarkan oleh orang kafir bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara dan hal ini akan memberi ruang kepada orang kafir di seluruh dunia untuk bersatu suara memburukkan lagi Islam dan umatnya.


6.         Sesungguhnya sistem sekular yang diterapkan pada hari inilah yang menjadi punca kepada banyak krisis yang melanda. Hukum Allah telah diganti dengan hukum buatan tangan sendiri di bawah sistem demokrasi. Hukum Allah hakikatnya telah lama ‘dihina’ oleh pemerintah sekular. Mahkamah yang memutuskan pada hari ni adalah mahkamah kufur, yang diwujudkan oleh pemerintah itu sendiri. Apa yang lebih buruk dari penyalahgunaan istilah Allah adalah tidak diterapkannya hukum Allah di dalam negara oleh parti pemerintah. Mereka kononnya menjaga ‘nama’ Allah, tetapi sejak sekian lama mereka tidak pernah menjaga ‘hukum’ Allah, sebaliknya mereka telah mencampakkan hukum Allah sejauh-jauhnya. Tidak berjalannya hukum Allah di dalam negara menyebabkan banyak kerosakan dan malapetaka yang muncul darinya.

 

7.         Sistem demokrasi yang diterapkan tidak pernah sama sekali menjaga dan melindungi kesucian agama Allah, malah senantiasa mensucikan sistem dan undang-undang kufur. Sistem kufur buatan manusia ini tidak pernah menjaga akidah umat Islam, malah dengannyalah akidah umat Islam semakin rapuh dan orang Islam dibenarkan murtad dari agama Allah tanpa dikenakan hukuman yang sepatutnya. Sistem yang buruk ini hendaklah ditukar kepada sistem Khilafah ala minhaj nubuwwah.

 

8.         Pihak media seharusnya berhenti dari ‘memanaskan’ isu ini dan semua pihak hendaklah menghentikan segera segala provokasi.  

 

9.         Kaum Muslimin harus bertindak bijak dalam menangani masalah ini supaya ia tidak menjadi lebih buruk. Ingatlah kepada Allah dan Rasul sebelum melakukan setiap perbuatan dan periksalah sama ada Allah dan RasulNya membenarkan atau tidak untuk kita melakukan perkara tersebut. Jika benar mereka yang melakukannya adalah dari kalangan umat Islam yang ikhlas, semoga mereka yang bertanggungjawab ini sedar akan perbuatan salah mereka dan tampil membuat pengakuan, dan mereka hendaklah kembali bertaubat kepada Allah. Semoga Allah mengampuni mereka.

 


USTAZ ABDUL HAKIM OTHMAN

Presiden HTM