Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia Bersama Umat Sempena Rejab

Sempena kedatangan bulan Rejab, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Kempen Rejab.  Aktiviti ini telah berlangsung di sepanjang bulan Rejab di seluruh negara.  Mendatangi umat dari rumah ke rumah, menjalin ukhuwwah, mengedar risalah dan mengadakan pameran terbuka merupakan antara aktiviti yang dijalankan di dalam Kempen Rejab ini.

Tujuan utama dari kempen ini adalah untuk memberi kesedaran kepada umat khususnya wanita akan sejarah hitam keruntuhan Daulah Khilafah Islamiyyah di Turki pada 23 Mac 1924 bersamaan 28 Rejab 1342 Hijrah. Runtuhnya Daulah Khilafah Islamiyyah ini menandakan berakhirnya sistem pemerintahan Islam yang telah ditegakkan oleh Rasulullah SAW sejak 1300 tahun yang lalu. Sejak dari itu urusan umat tidak lagi diatur dengan hukum hukum Islam malah dipaksakan sistem sekular yang mendatangkan pelbagai kesengsaraan ke atas mereka.

Alhamdulillah maklumbalas dari umat adalah sangat positif. Rata-rata menganggap kempen Rejab ini memberi banyak maklumat dan kesedaran kepada mereka akan sejarah hitam umat Islam. Inilah maklumat penting yang cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak menyenangi akan kebangkitan semula umat Islam. Sangat dikesalkan apabila pihak kerajaan, NGO mahupun parti-parti Islam tidak berusaha untuk menyalurkan maklumat serta menyedarkan umat akan keruntuhan pemerintahan Islam yang mulia dan kewajipan menegakkannya semula. Malah pihak-pihak ini jugalah yang meremehkan dan menghalang usaha para pendakwah dan pejuang Khilafah yang ikhlas untuk mengembalikan semula kemuliaan Islam dengan tertegaknya Daulah Khilafah Islamiyyah.

Wahai muslimah, marilah bersama-sama berusaha menggapai keredhaan Allah dengan mewujudkan sebuah sistem kehidupan Islam agar segala urusan seharian kita diatur dengan hukum-hukum Islam. Tiada yang lebih mulia dari hidup di bawah naungan Daulah Khilafah Islamiyyah.

Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin [TMQ al Maidah (5):50].