Kes Cikgu Fadli: Bukti korupnya sistem pendidikan negara

Kes Cikgu Fadli Mohamed Salleh telah membuka mata banyak pihak bahawa segala sampah sarap yang disembunyikan oleh kerajaan di bawah karpet selama ini, akhirnya akan tetap terungkap.

Tidak ada siapa pun dapat menafikan “kuasa viral” sekarang. Walaupun ada pihak-pihak tertentu yang cuba menyalahkan Cikgu Fadli kononnya tidak menggunakan saluran yang betul untuk menegur dan mengkritik PPD atau Kementerian Pendidikan, guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu datang dengan pendedahan demi pendedahan bahawa beliau telah mengikut segala saluran namun tidak pernah diendahkan.

Setelah tegurannya tular hasil “kerjasama” para netizen yang prihatin, barulah kerajaan kelam kabut ingin bertindak. Nasi dah jadi bubur. Kerajaan seharusnya akui sahaja segala masalah, kepincangan dan keburukan dalam sistem pendidikan negara yang telah didedahkan oleh Cikgu Fadli, dan bertindak untuk memperbaiki segala kelemahan. Ini “lebih mulia” berbanding mengeluarkan “surat ugutan” untuk memecat seorang guru yang telah 20 tahun berkhidmat kepada masyarakat.

Kerajaan seharusnya mengakui tidak ada guru yang tidak komplen isu-isu yang dibangkitkan oleh Cikgu Fadli. Cikgu Fadli sebenarnya bertindak mewakili kesemua guru di Malaysia yang masih belum berani membuka mulut secara terbuka.

Begitu juga tidak ada ibu bapa yang tidak mengeluh mengenai beg berat yang terpaksa dipikul oleh anak-anak mereka seawal Darjah Satu! Tidak ada ibu bapa yang tidak mengeluh mengenai mata pelajaran yang banyak yang terpaksa dihadap oleh anak-anak mereka setiap hari.

Pendedahan Cikgu Fadli membuktikan betapa rosak dan korupnya sistem pendidikan negara, yang sebenarnya bukan baru terjadi, tetapi telah lama berakar umbi.

Sedikit pendedahan dan teguran oleh Cikgu Fadli itu sebenarnya sudah cukup untuk mencerminkan betapa korupnya sistem pendidikan negara, dan orang-orang yang mengendalikannya.

Apa yang didedahkan itu hanya sedikit, dan masih dalam skala mikro. Jika dilihat dalam skala makro, rosaknya sistem pendidikan negara ini adalah kerana ia dibina atas asas sekularisme peninggalan penjajah.

Selain membuktikan betapa korupnya penjawat awam yang terlibat dalam isu ini (walaupun bukan semuanya), pendedahan Cikgu Fadli tersebut juga turut mencerminkan betapa korupnya ahli-ahli politik negara ini khususnya daripada parti pemerintah, yang cuba meraih “political mileage” dengan memuji dan menyatakan sokongan mereka kepada Cikgu Fadli. Pada hal merekalah pembuat polisi negara, termasuklah dalam bidang pendidikan, yang sebenarnya telah merosakkan negara ini.

Setelah isu ini terdedah, apa yang rakyat ingin lihat seterusnya ialah apakah akan wujud perubahan dalam polisi pendidikan negara yang dibangkitkan, atau setidaknya apakah kerajaan akan mengakui segala kepincangan dan kelemahan yang telah didedahkan oleh Cikgu Fadli?

Atau apakah kerajaan akan terus korup dan menutup segala kepincangan, dan lebih buruk akan mengambil tindakan ke atas mereka yang mempertikaikannya?

Apa yang pasti ialah, kerajaan yang memerintah dengan membelakangkan hukum Allah sudah pasti akan terus korup.

Wallahu a’lam.