Semoga Cikgu Fadli akan terus berkata benar walau apa pun risikonya

Kisah Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh berjaya menggegarkan Putrajaya melalui beberapa pendedahan beliau terhadap kepincangan sistem pendidikan negara.

Beliau telah membangkitkan isu beg berat yang membahayakan murid-murid, silibus tinggi dan padat yang syok sendiri, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek pembelajaran yang banyak, masa belajar untuk subjek teras yang tak mencukupi dan adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan negara yang menyebabkan rosaknya sistem pendidikan.

Selain itu, Cikgu Fadli turut membangkitkan banyak lagi kepincangan lain dalam sistem pendidikan, karenah birokrasi, pengampu yang diberi jawatan tinggi dan lain-lain, dan antara yang menyakitkan beliau ialah sikap PPD dan Kementerian yang langsung tidak boleh ditegur, malah mengambil tindakan ke atas si penegur.

Dengan segala pendedahan tersebut, beliau akhirnya diberi “surat ugutan” untuk dilucutkan jawatan atau diturunkan pangkat, sehinggalah akhirnya setelah semua perkara itu tular, Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri sementara terus masuk campur kononnya menunjukkan keprihatian mereka terhadap nasib Cikgu Fadli.

Jawatankuasa Disiplin dilaporkan akan bermesyuarat hari ini bagi menentukan nasib guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu.

Sekalung tahniah wajar diberikan kepada Cikgu Fadli atas usaha dan keberanian beliau dalam membela nasib pelajar sekolah, yang sekali gus sebenarnya membela nasib ibu bapa yang juga telah lama bersungut mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan oleh beliau.

Tindakan berani Cikgu Fadli yang sanggup menanggung segala risiko khususnya dibuang kerja, seharusnya dicontohi oleh guru-guru lain, yang sebenarnya ramai tidak berpuas hati terhadap PPD atau Kementerian Pendidikan terhadap perkara yang sama.

Bayangkan jika hanya seorang guru yang berani bersuara, itu pun sudah cukup untuk menggoncang singgahsana pemerintah, apatah lagi jika lebih ramai guru yang berhati waja seperti Cikgu Fadli.

Di saat ramai penjawat awam hanya berani bersuara setelah bersara, namun Cikgu Fadli mengambil keputusan untuk bersuara semasa berkhidmat. Inilah “wira” sebenar yang dimahukan oleh rakyat, yang sanggup merisikokan diri sendiri demi membela nasib para pelajar sekali gus mengungkap keborokan sistem pendidikan negara dan “kekorupan” para pemegang jawatan penting dalam sistem pendidikan.

Apa pun tindakan disiplin yang akan dikenakan ke atas beliau, atau mungkin sahaja beliau terlepas daripada sebarang tindakan kerana kekhuatiran pemegang kuasa hilang sokongan menjelang PRU15 ini, kita doakan agar Cikgu Fadli akan terus berkata benar dan mendedahkan segala kepincangan sistem pendidikan negara, yang sebenarnya telah berakar umbi sejak sekian lama.

Berkata benar itu memang pahit, apatah lagi apabila ia ditujukan kepada pihak yang memegang kuasa, kerana risikonya sangat tinggi. Namun di situlah letaknya kemuliaan. Sabda Rasulullah (saw):

قُلِ الْحَقَّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا

“Berkata benarlah walaupun pahit” [HR Baihaqi].

Wallahu a’lam.