Kes Siti Fatimah Tan berulang di Kuantan!

Kuantan 18 Ogos – Sekali lagi umat Islam telah dipertontonkan dengan penghinaan oleh Mahkamah Syariah Tinggi sendiri terhadap hukum-hakam Islam, apabila Hakim Datuk A Rahman Yunus membenarkan permohonan murtad, seorang yang telah 14 tahun memeluk Islam.
Nampaknya hujah yang digunakan sama dengan teknik yang diinovasi dari peguam Ahmad Jailani dalam kes Siti Fatimah Tan Abdullah di Pulau Pinang, iaitu kononnya si kafir ini tidak pernah masuk Islam. Akhirnya ia disahkan murtad mengikut jejak langkah seperti yang dilakukan sama persis dalam kes Fatimah Tan Abdullah. Semasa kes Siti Fatimah diputuskan, ramai Muslim telah membayangkan bahawa kes yang sama akan berlaku, dan ternyata kini, kes sebegini telah benar-benar berulang. Dan ia nampaknya akan terus berulang selama mana Mahkamah Syariah menjadikan udang-undang ciptaan manusia sebagai sumber penghakiman.

Berita Harian yang memetik dari sumber Bernama, dengan tajuk Mahkamah benar kontraktor keluar Islam. Mengikut laporan tersebut, Hakim Rahman yang membenarkan permohonan seorang mualaf untuk mengisytiharkan bersetuju bahawa dia bukan lagi seorang Islam kerana tidak mengamalkan ajaran itu sejak memeluk agama itu, 14 tahun lalu. Hakim ketika membacakan keputusan mahkamah itu berkata bahawa selepas mendengar keterangan empat saksi dalam perbicaraan yang dijalankan sebelum ini, mahkamah mendapati Jeffrey Or Abdullah, atau Or Boon Hua, 36, jelas keluar daripada Islam.

“Mengikut keterangan saksi, pemohon (Jeffrey) tidak mengamalkan ajaran Islam sejak mula lagi dan mahkamah memutuskan bahawa pemohon bukan lagi seorang Islam,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya.

A Rahman berkata mengikut keterangan saksi, Jeffrey turut melakukan ibadat di tokong, memasang colok di rumah serta makan makanan yang haram di sisi Islam.

“Jeffrey juga pernah menyatakan kepada saksi bahawa dia tidak pernah percaya dengan agama Islam dan kekal mengamalkan cara hidup seperti sebelum memeluk Islam,” katanya. Hakim turut memerintahkan supaya Majlis Agama Islam Pahang membatalkan sijil pendaftaran memeluk Islam Jeffrey.

Rahman berkata Jeffrey hendaklah menukarkan status agama di kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mahkamah itu tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Menurut pernyataan tuntutannya, Jeffrey berkata dia memeluk Islam sekadar mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang wanita Islam tempatan.

Hakim syari’e perlu sedar bahawa adalah haram bagi mereka untuk berhukum dengan hukum yang dibuat oleh manusia. Mereka wajib menjadi hakim yang memutuskan sebagaimana Rasulullah memutuskan (berdasarkan hukum wahyu). Mereka perlu bertaubat dari dosa-dosa mereka dan mereka perlu bangkit untuk merubah hukum kufur sekular yang ada pada hari ini dan menggantikannya dengan hukum Allah. Kita tidak mahu lagi hidup di dalam sistem sekular yang hanya menjadikan seseorang itu ‘Muslim’ hanya berdasarkan sekeping sijil, kemudian jika dia ingin keluar dari Islam, maka boleh dibenarkan dan sijil tersebut dibatalkan. Ramai di kalangan umat Islam yang mendakwa bahawa kita tidak ada pilihan lain kecuali mengikut sahaja undang-undang yang sedia ada. Kita manfaatkan undang-undang kufur yang sedia ada untuk kebaikan Islam, hujah mereka. Hujah ini bukan sahaja keliru, malah bercanggah dengan Islam. Yang benarnya ialah kita dilarang (haram) untuk berhukum dengan hukum kufur dan kita wajib berjuang untuk menggantikannya dengan hukum Islam. Kita tidak dituntut untuk memanfaatkan sistem kufur, tetapi kita dituntut untuk menukarnya kepada sistem Islam.

Suatu yang haram itu haram untuk dimanfaatkan dan wajib diganti dengan yang halal, bahkan ‘jalan’ yang menuju kepada yang haram pun adalah haram (al-wasilatul ilal haram, haram). Kaedah syarak juga menyebut bahawa ridha bil kufr, al-kufr (redha dengan kekufuran itu adalah satu kekufuran). Hakim syari’e yang mengendalikan kes ini nampaknya gagal memahami bahawa murtad itu adalah satu kesalahan di bawah hudud, sepertimana mencuri atau berzina. Jika beliau faham dan meletakkan bahawa murtad adalah satu kesalahan/keharaman, maka tentunya beliau tidak akan membuat permohonan yang menjadi wasilah (jalan) menuju keharaman. Di dalam Islam ‘kesalahan’ itu adalah sesuatu yang wajib dihukum, bukan dipohon. Contohnya, jika seseorang mengaku telah berzina di hadapan hakim, apakah hakim itu dibolehkan untuk mengisytiharkan/mengesahkan bahawa sianu telah berzina atau sianu adalah seorang penzina? Begitu juga jika seseorang itu telah mengaku mencuri, apakah hakim dibolehkan hanya membuat pengisytiharan/pengesahan mahkamah bahawa, ya benar sianu telah mencuri dan sianu sekarang adalah seorang pencuri? Apakah hakim itu pula, setelah mendengar pengakuan salah dan bukti-bukti, dibolehkan mengeluarkan ‘pengesahan’ bahawa, ya benar sifulan bin sifulan telah murtad dan sekarang dia adalah seorang kafir, tanpa menghukum orang itu?

Alangkah malunya untuk kita menggelar seseorang hakim mahkamah syariah itu sebagai hakim syar’ie, kerana ternyata penghakimannya langsung tidak syar’ie.

(Sila rujuk SN173: Kes Siti Fatimah – Bukti Kemenangan Sekular)