Ketamakan Kapitalis dan Kegagalan Penguasa Punca Kerosakan Alam Sekitar – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Jerebu yang berulang, sungai yang tercemar, banjir besar, tanah runtuh dan sebagainya bukan semuanya boleh disandarkan kepada qadha’ Allah semata-mata, walaupun ia tetap termasuk sebahagian daripada qadha’. Banyak kerosakan alam sekitar berpunca daripada perbuatan manusia sendiri, khususnya kerakusan syarikat kapitalis yang mengejar keuntungan serta kegagalan penguasa mencegah dan menghentikannya.
Demikian penegasan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Kerosakan Alam Sekitar: Penyebab dan Penyelesaiannya” pada Jumaat (30/10/2026).
Mengulas isu tersebut, beliau menjelaskan bahawa Islam bukan sekadar mengatur hubungan manusia dengan Allah, dirinya sendiri dan sesama manusia, tetapi turut mengatur hubungan manusia dengan alam sekitar. Manusia, kehidupan dan alam semesta merupakan ciptaan Allah (swt), maka segala kegiatan manusia wajib tunduk kepada ketetapan-Nya.
Abdul Hakim membezakan antara musibah yang berlaku sebagai ketentuan Allah tanpa campur tangan manusia dengan kerosakan yang disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia. Fenomena seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, dan tsunami merupakan antara contoh musibah yang berada di luar kawalan manusia. Musibah sedemikian merupakan qadha’ Allah dan boleh menjadi ujian terhadap keimanan serta kesabaran manusia, sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Hadid ayat 22 dan Surah al-Baqarah ayat 155–156.
Sebaliknya, kerosakan yang berpunca daripada tindakan manusia dijelaskan oleh Allah (swt) dalam Surah ar-Rum ayat 41, di mana Allah (swt) menjelaskan kerosakan telah nyata berlaku di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia.
Abdul Hakim seterusnya mengaitkan ayat tersebut dengan kejadian jerebu akibat pembakaran hutan, banjir yang disebabkan aktiviti pembalakan serta pencemaran sungai akibat pembuangan sisa toksik – yang semuanya jelas diakibatkan oleh tangan-tangan kapitalis yang rakus dan penguasa yang gagal bertindak, bahkan ada penguasa yang turut terlibat.
Beliau mengkritik keras kegiatan syarikat-syarikat kapitalis yang mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan kesan terhadap alam sekitar. Pada masa yang sama, Jurucakap HTM itu membidas penguasa yang terus-menerus gagal membendung kerosakan yang berulang kali terjadi walaupun ia merupakan tanggungjawab mereka untuk menanganinya dan kuasa ada di tangan mereka jika mereka benar-benar mahu bertindak.
Dalam menjelaskan penyelesaian Islam, Abdul Hakim kemudian menegaskan bahawa Allah (swt) membenarkan manusia memanfaatkan sumber alam untuk memenuhi keperluan kehidupan. Beliau merujuk Surah al-A‘raf ayat 32 dan Surah Ibrahim ayat 32 yang menjelaskan bahawa Allah menyediakan pelbagai rezeki dan sumber alam untuk dimanfaatkan oleh manusia.
Beliau berulang kali menegaskan bahawa manusia dibenarkan oleh Allah untuk memanfaatkan alam sekitar sebagai sumber rezeki, namun dilarang sama sekali untuk merosakkannya atau mengganggu keseimbangannya.
Beliau membawakan hadis mengenai keharusan memanfaatkan hasil laut serta kisah Rasulullah (saw) yang menyuruh seorang lelaki Ansar mencari dan menjual kayu api sebagai mata pencarian. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak menghalang kegiatan ekonomi yang memanfaatkan sumber alam, tetapi penggunaannya wajib mematuhi hukum syarak.
Beliau menegaskan bahawa Allah telah menciptakan alam dengan ukuran dan keseimbangan yang sempurna, sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Hijr ayat 19 dan 21, Surah ar-Rahman ayat 7–9 serta Surah al-Qamar ayat 49. Manusia dilarang mengganggu keseimbangan tersebut sehingga membawa kerosakan.
Larangan melakukan kerosakan turut ditegaskan dalam Surah al-A‘raf ayat 56, Surah al-Qasas ayat 77 dan Surah al-Baqarah ayat 204–205. Rasulullah (saw) pula memberikan panduan khusus dalam memelihara alam, antaranya larangan mencemarkan sumber air dan tempat awam, galakan menanam pokok dan menghidupkan tanah mati, menjaga kebajikan haiwan serta mencegah kemudaratan. Semua ini memperlihatkan bahawa pemeliharaan alam merupakan sebahagian daripada tuntutan syarak.
Menyentuh persoalan pembangunan, Abdul Hakim menjelaskan bahawa Islam tidak menghalang kegiatan pertanian, pembalakan, pembinaan infrastruktur atau pemanfaatan sumber alam selagi tidak membawa kerosakan. Kepakaran teknikal, termasuk penilaian kesan alam sekitar oleh pakar-pakar boleh digunakan bagi menentukan kesan sesuatu projek sebelum dilaksanakan.
Menurut beliau, dalam pemerintahan Islam, kegiatan yang merosakkan alam wajib dicegah dan pelakunya akan dikenakan tindakan melalui institusi Qadhi Hisbah, yang bertanggungjawab untuk memantau segala hak orang ramai. Malah, jika penguasa sendiri yang terlibat atau membenarkan kerosakan, akan turut diadili melalui Qadhi Mazhalim.
Di akhir program, Abdul Hakim mengingatkan bahawa kerosakan di muka bumi bukan terbatas kepada alam sekitar, tetapi turut merangkumi kerosakan dalam pemerintahan, politik, ekonomi, sosial dan pelbagai bentuk kezaliman terhadap manusia. Beliau menegaskan bahawa semua ini berkait dengan tindakan manusia yang mengetepikan hukum Allah dan hanya mengatur kehidupan menurut hawa nafsu serta akal masing-masing.
Beliau menyimpulkan bahawa penyelesaian sebenar bukan sekadar menangani kesan kerosakan, tetapi turut menghapuskan punca yang melahirkannya. Atas dasar itu, beliau menegaskan bahawa satu-satunya penyelesaian menyeluruh kepada kerosakan yang diakibatkan oleh manusia pada hari ini ialah melalui penegakan sebuah Negara Islam iaitu Khilafah, yang akan mengurus alam sekitar dan juga negara, berdasarkan hukum wahyu, yang Insya Allah dengan itu sahajalah kesejahteraan ke atas manusia dan alam semesta akan terealisasi.