Ketuanan Melayu Adalah Jelas Rasis
KUCHING 13 Dis. – Ketuanan Melayu atau ketuanan bumiputera yang seringkali dilaung-laungkan oleh kaum pribumi bukan bersifat rasis sebaliknya hanya slogan yang berbentuk semangat patriotisme. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ketuanan Melayu adalah ungkapan sejarah yang mengingatkan bumiputera bahawa mereka adalah rakyat pribumi negara ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, ketuanan Melayu bukan sebuah undang-undang yang boleh mengundang kemudaratan kepada kaum lain dan tidak ada sebab mereka berasa sensitif dengan ungkapan tersebut.
“Kenapa ada pihak yang berasa sensitif dan marah apabila disebut ketuanan Melayu?
“Adakah selama ini kita bercakap mengenai ketuanan Melayu maka kita akan memusuhi kaum-kaum lain. Perkara seumpama itu tidak berlaku kerana selama 52 tahun Malaysia merdeka, kita tidak pernah ungkit mengenai mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Perkasa Negeri Sarawak di sini hari ini.
Ibrahim berkata, penubuhan Perkasa juga bukan bersifat rasis sebaliknya bertujuan menyuarakan serta mempertahankan hak-hak kaum bumiputera yang termaktub dalam fasal 153 Perlembagaan.
Pada masa yang sama, Ibrahim turut membidas pihak yang sejak akhir-akhir ini membangkitkan isu peruntukan pembinaan masjid dan rumah ibadat bukan Islam yang ternyata sensitif dan mengguris hati orang Islam.
Sumber: Utusan Malaysia, 14/12/09
Ketuanan Melayu Menyuburkan Rasisme
Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia. Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Malaysia. Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil kontrak sosial.
Konsep Ketuanan Melayu sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.
Inilah serba sedikit sejarah berkenaan konsep ketuanan melayu yang sememangnya berakar umbi dari sikap asabiyyah. Malah kalimat ”Melayu” itu sendiri telah mencerminkan makna yang terkandung di sebalik konsep Ketuanan Melayu yang dijaja oleh parti-parti politik yang berlatarbelakangkan bangsa Melayu, khususnya parti UMNO. Maka tidak hairanlah jika di dalam Barisan Naional sendiri, ada parti-parti komponen yang tidak setuju dengan konsep ini yang selalu menganaktirikan golongan bangsa selain Melayu. Namun UMNO sangat bijak dalam menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk memanipulasi fakta yang ada agar ia menjadi satu isu yang neutral dan tidak berat sebelah. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri, Zaid Ibrahim berpendapat bahawa model Ketuanan Melayu telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa dan juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara. (http://malaysiakini.com/news/92240)
Hakikatnya, konsep Ketuanan Melayu tidak lebih sekadar pemecah belah kaum dan hanyalah retorik orang-orang yang berkepentingan sahaja. Ini kerana, pada hakikatnya ia (konsep ini) tidak pernah menyatupadukan rakyat di Malaysia. Maka tidak hairanlah wujud parti-parti berasaskan perkauman dan memperjuangkan hak-hak kaum dan bangsa yang berbeza-beza.
Jika diteliti, konsep ini hidup kerana wujud pemikiran sekularisme yang membenarkan manusia menentukan sistem apa yang hendak diterapkan dan hukum Tuhan diketepikan. Justeru itu, selagi mana idea sekularisma masih digunapakai dalam mengatur hidup manusia, maka selagi itulah konsep asabiyyah ini akan terus tersemai dan diperjuangkan. Ia berbeza dengan Sistem Islam yang memandang bahawa setiap individu memiliki hak-hak yang sama di dalam Daulah Islam. Tidak ada konsep ”Ketuanan” di dalam Islam. Apa yang ada, hanyalah penerapan Islam yang akan membawa keadilan dan kesejahteraan. Sistem ini bukanlah lahir daripada akal dan hawa nafsu manusia yang memerintah, melainkan ianya adalah Sistem yang berlandaskan wahyu Ilahi.