Melayu Lemah Kerana Sistem Sekular

Akhbar Utusan melaporkan luahan perasaan Tun Dr. Mahathir (Dr. M) tentang nasib yang menimpa orang-orang  Melayu di Pulau Pinang. Artikel bertajuk “ Dr. M sedih lihat nasib Melayu Pulau Pinang” itu menerangkan bahawa nasib yang menimpa orang melayu di Pulau Pinang itu boleh merebak ke negeri lain jika orang Melayu membuat pilihan yang salah semasa pilihanraya umum ke 13 nanti.

Ya, memang benar, umum mengetahui bahawa hartanah dan aset orang-orang melayu di Pulau Pinang semakin hari semakin habis dijual kepada orang-orang bukan Islam. Sehingga kebanyakkan tanah di Pulau Pinang dimiliki oleh orang-orang bukan Islam. Menurut Dr. M ini semua adalah kerana orang-orang Melayu hidup susah dengan pendapatan kecil dan mereka memerlukan duit. Mungkin maksud Dr. M itu adalah merujuk kepada kerajaan memerintah di Pulau Pinang yang tidak memberikan wang yang mencukupi kepada orang-orang Melayu di Pulau Pinang sepertimana yang dilakukan oleh UMNO-BN di negeri-negeri lain dengan pelbagai pemberian wang seperti BR1M dan imbuhan peneroka.

Sebenarnya, apa yang berlaku kepada orang-orang Melayu di Pulau Pinang itu perlu dilihat di dalam skop yang lebih luas. Allah menciptakan dunia ini luas terbentang dan terpulang kepada manusia untuk pergi ke mana sahaja untuk mencari rezeki. Mengapa perlu dihadkan kepada sebuah negeri, Pulau Pinang yang secara relatifnya adalah antara salah satu negeri yang kecil berbanding negeri-negeri lain di Malaysia seperti Pahang, Perak dan Johor? Mengapa perlu membincangkan  nasib orang-orang Melayu di Pulau Pinang sahaja? Adakah ini bermaksud nasib melayu di negeri lain lebih baik? Realitinya, nasib orang-orang melayu di negeri lain tidak tidak jauh berbeza. Hanya nasib mereka lebih baik kerana kekayaan dan keluasan tanah negeri lain itu lebih banyak dan tidak nampak bahawa mereka dianiaya. Jadi, isu orang-orang Melayu di Pulau Pinang itu seolah-olahnya dijadikan modal untuk UMNO-BN melakukan propaganda atau menakutkan orang-orang melayu.

Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab menyebabkan orang-orang Melayu di Pulau Pinang itu seperti hari ini. Sebenarnya ‘keadaan’ orang-orang melayu di Pulau Pinang itu sebenarnya sudah lama berlaku sejak daripada pemerintahan kerajaan UMNO-BN. Jadi, siapakah yang perlu dipersalahkan sebenarnya? Orang-orang melayu pulau pinang atau kerajaan yang menjadikan mereka sedemikian?

Jawabannya, tidak kiralah siapa pun yang dipilih dan memenangi pilihanraya, keadaan orang-orang melayu di Pulau Pinang dan juga di negeri-negeri lain di Malaysia tidak akan berubah malah akan terus berada di takuk yang lama dan terus ‘dipaksa’ bergelumang dengan hukum-hakam daripada barat yang dilaksanakan ke atas mereka.

Rujukan : Utusan Malaysia