Khemah Pendidikan Israa Abu Mustafa: Harapan untuk Anak-Anak Gaza
Israa Abu Mustafa, seorang guru muda dari Khan Yunis, Gaza, telah mengambil inisiatif luar biasa untuk membantu pelajar-pelajar yang terjejas akibat perang yang berlarutan. Dengan keadaan yang serba kekurangan, Israa mendirikan sebuah khemah pendidikan sebagai tempat untuk mengajar dan memberikan aktiviti rekreasi kepada kanak-kanak yang terputus daripada akses pendidikan selama dua tahun berturut-turut. Inisiatif ini tercetus akibat kekecewaan melihat pelajar-pelajar terpaksa kehilangan satu tahun akademik dan bermulanya tahun persekolahan baru tanpa sebarang harapan.
Khemah pendidikan yang didirikan oleh Israa menjadi tempat perlindungan bagi pelajar yang kini berhadapan dengan ancaman bunuh dan pengeboman. Dalam khemah tersebut, suara-suara ceria kanak-kanak kedengaran, mengalunkan huruf-huruf dan lagu-lagu yang mengisi ruang tersebut, menggantikan bunyi pesawat perang dan letupan yang kerap menggegarkan kawasan itu. Israa mengajar pelajar-pelajar dari tahun satu hingga enam, mengikuti kurikulum Palestin, dengan matlamat untuk memulihkan pendidikan mereka dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam trauma perang.
Menurut laporan, lebih daripada 25,000 pelajar telah menjadi mangsa dalam serangan ini, dengan lebih 70% sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di Gaza musnah. Di tengah-tengah kehancuran ini, Israa bertekad untuk memberikan pendidikan yang berterusan kepada pelajar-pelajar yang kehilangan segala-galanya akibat perang. Walaupun menghadapi cabaran besar dan kekurangan sumber, beliau percaya bahawa orang Palestin tidak mengenal erti sukar atau mustahil, dan mereka hanya tahu satu perkara – mereka adalah pemilik tanah dan penentu nasib mereka sendiri.
Inisiatif Israa ini bukan sahaja memberikan pendidikan kepada kanak-kanak, tetapi juga memberi harapan di tengah-tengah kegelapan perang yang berpanjangan. Dengan usaha beliau, kanak-kanak yang seharusnya berada di sekolah kini berpeluang untuk terus belajar, walaupun dalam keadaan yang penuh dengan kesulitan. Ini adalah contoh keberanian dan ketabahan wanita Palestin yang tidak pernah menyerah, walaupun dalam keadaan yang amat mencabar.
Usaha beliau juga sebenarnya sejajar dengan tuntutan Islam yang mengajarkan bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap individu Muslim, baik lelaki mahupun wanita, sebagaimana dalam hadis: “Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap Muslim.” (HR al-Tirmizi). Islam menjamin pendidikan sebagai hak setiap individu dan merupakan asas kepada kemajuan dan pembentukan peradaban yang lebih baik. Maka, kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dalam situasi getir akan membantu membangun pemikiran dan kecerdasan umat, agar mereka tidak “tertewas” ke lembah kejahilan akibat bencana yang menimpa.
Kisah Israa ini juga menggambarkan semangat sabar dan tawakal kepada Allah dalam menghadapi ujian hidup yang berat. Islam telah mengajarkan umatnya untuk bersabar dan berusaha dengan gigih, walaupun dalam keadaan yang penuh cabaran. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah 2:286)
Dari kisah Israa Abu Mustafa, sebagai wanita Muslim, kita boleh belajar tentang ketabahan, keberanian, dan keazaman untuk memberi manfaat kepada masyarakat walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar. Israa menunjukkan bahawa wanita memiliki kekuatan untuk memimpin perubahan, membawa harapan dan menyumbang kepada kesejahteraan ummah, meskipun berhadapan dengan kesulitan. Beliau juga mengingatkan kita bahawa iman dan keazaman untuk berkhidmat adalah lebih penting daripada segala kekurangan yang ada di sekeliling kita.
Wahai para muslimah,
Jika Israa berjuang di khemahnya mendidik anak generasi Palestin, marilah kita bersama terus berjuaang mendidik anak generasi ummah ini dengan ilmu Islam, agar mereka menjadi pemangkin perjuangan dan penegak syariat Allah di masa hadapan.
Wallahu `alam.
Sumber rujukan berita:
- https://english.palinfo.com/reports/2024/09/13/325289/
- https://www.middleeastmonitor.com/20240909-palestinian-teacher-rebuilds-education-in-tent-classroom-amid-gaza-ruins/