Khutbah Jumaat: Membumikan Al-quran, Menzahirkan Islam

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى جَعَلَ رَمَضَانَ سَيِّدَ الشُّهُوْرِ وَاَنْزَلَ فِيْهِ الْقُرَآنَ. وَعَظَّمَ قَدْرَهُ وَرَفَعَهُ بِذَلِكَ وَاَجْزَلَ فِيْهِ الْإِحْسَانَ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ الْكَرِيْمُ الْمَنَّانُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ بَعَثَهُ رَحْمَةً لِأَهْلِ الْإِيْمَانِ.

صَلاَةُ اللَّهِ وَسَلَامُهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ سَيِّدِ وَلَدِ عَدْنَانَ. وَعَلَى أَلِهِ وَصَحْبِهِ أَهْلِ الْفَضْلِ وَالْعِرْفَانِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ تَعَالَى بِفِعْلِ الطَّاعَاتِ.

وَقَالَ اللّٰهُ تَعَالَى فِي كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ :

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

Ma’asyaral Muslimin rahimakumullah,

        Marilah kita bersama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah (swt) dengan beramal sebaiknya, iaitu dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

        Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Beberapa hari lagi, kita akan masuk tanggal 17 Ramadan, suatu tarikh yang biasa kita raikan sebagai hari nuzul al-Quran, terlepas daripada pelbagai khilaf mengenai tarikh sebenar peristiwa turunnya al-Quran, yang pasti semuanya mengindikasikan berlaku pada bulan Ramadan yang diberkati, sebagaimana ayat yang khatib bacakan di awal tadi.

        Al-Quran adalah suatu bentuk mukjizat yang luar biasa namun mampu diterapkan kepada manusia dengan sifat biasa-biasanya. Rasulullah (saw) yang diutuskan dengan al-Quran menjadi rasul yang agung dan hebat dengan al-Quran. Masyarakat Arab jahiliah yang serba-serbi tidak dipedulikan oleh mana-mana kuasa besar ketika itu menjadi masyarakat luar biasa yang menggoncangkan singgahsana Rom dan Parsi dengan berbekalkan al-Quran. Begitu juga teladan para sahabat ridwanullah alaihim ajmain. Bilal bin Rabah (ra), hamba sahaya yang dipandang hina dan lemah, mulia disisi Allah dengan al-Quran. Beratnya batu yang menghempap tidak sedikitpun menggoyahkan keimanannya. Ringannya batu berbanding tauhid dalam dirinya. Abdullah bin Mas’ud (ra) merelakan dirinya dicederakan kafir Quraisy demi menzahirkan al-Quran. Demikianlah luar biasa hebat tekadnya tanpa goyah. Umat Islam yang minoriti ketika itu seolah menjadi tembok kukuh yang teguh merintangi kekufuran yang mendominasi bangsa Arab.

        Begitulah, luar biasanya mukjizat ini sehingga al-Quran dikekalkan pada umat Muhammad (saw) untuk menjadi pedoman dan hujah bagi mereka, menzahirkan Islam sebagai agama yang hak dan meruntuhkan kekufuran dan kebatilan. Al-Quran itu lengkap sebagai panduan serba serbi kehidupan manusia, baik aspek akidah, ibadah, akhlak, makanan dan pakaiannya kita. Al-Quran juga menerangkan aturan aspek ekonomi, kemasyarakatan, politik dan pemerintahan, pendidikan, kehakiman bahkan sampai kepada ketenteraan. Hasilnya adalah 13 abad kekuasaan Islam yang sentiasa dipandu al-Quran baik ketika sedang lemah apatah lagi ketika kuat. Namun ketika al-Quran itu makin lama makin ditinggalkan, atau diambil sebahagian-sebahagian lalu ditinggalkan yang lainnya, kelemahan yang ketara berlaku dan ketika tiada lagi kekuasaan yang berpandukan al-Quran, maka zaman kemunduran sukar untuk dielakkan. Apatah lagi jika kita sebagai umat Islam sendiri buta dengan satu-satunya kitab suci kita, memilih ayat-ayat yang disenangi sahaja untuk diamalkan, buta dengan ajaran Islam dan akhirnya menyebabkan bermaharaja lelanya kemaksiatan.

        Sidang Jumaat sekalian,

        Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.

(Surah al-Baqarah ayat 208)

Menurut Imam al-Qurthubi, kata “kaffah” di dalam ayat tersebut berfungsi sebagai penjelasan keadaan pada kata “al-silmi”. Ertinya, melalui ayat ini Allah (swt) menuntut orang-orang yang memeluk Islam untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, bukan sebahagian. Dengan kata lain, mereka tidak boleh memilih hukum Islam mana untuk diamalkan, kecuali wajib diamalkan semuanya. Lalu, jika kita diperintahkan untuk menjalankan Islam secara keseluruhan, sudah pasti al-Quran itu sendiri tidak boleh ditinggalkan atau diambil sebahagian-sebahagian. Kerana mengambil sebahagian dan meniggalkan sebahagianlah menjadikan kita dimurkai Allah dan dijauhkan segala keberkatan.

        Berhati-hatilah wahai sidang jemaah sekalian. Kaum ahli kitab terdahulu telah dicela Allah kerana perbuatan memilih-milih ayat daripada kitab mereka. Celaan itu juga Allah tunjukkan kepada kita sebagai amaran jika kita melakukan hal yang sama. Allah subhanahu wa taala berfirman:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ

مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ

Apakah kalian beriman kepada sebahagian isi al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat dahsyat.

(Surah al-Baqarah ayat 85)

        Pada zaman kini, ketika fitnah “war on terrorism” yang dilancarkan kafir barat ke atas Islam, umatnya semakin jauh bahkan dijauhkan untuk memahami isi al-Quran dengan sebaiknya kerana takut dikaitkan dengan keganasan dan sebagainya. Muncul pula golongan yang terang-terang mengabaikan al-Quran, atau yang lebih parah, cuba menjadikan al-Quran sebagai legitimasi budaya dan pemikiran asing yang diharamkan dengan menggunakan kaedah-kaedah orentalis. Bagi mereka, al-Quran menghalang kebebasan dan hak asasi, ataupun hukum-hukum tertentu di dalam al-Quran tidak relevan atau tidak adil. Sampai pada suatu tahap, terdapat pula suara-suara yang berani menyarankan supaya beberapa ayat al-Quran dihapuskan daripada mushaf dan kejadian ini baru sahaja terjadi di negara jiran kita. Na’uzubillahi min zalik.

        Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Di bulan yang mulia ini, marilah kita tanamkan azam untuk terus membaca dan beramal dengan al-Quran, mencintainya dan menyebarluaskannya. Rasulullah (saw) bersabda:

“Sesiapa yang mengharapkan cinta Allah dan Rasul-Nya, hendaklah dia membaca al-Quran.”

(Hadis riwayat Ibnu Adi, Abu Nuaim dan al-Baihaqi)

Bukti kecintaan kita kepada al-Quran adalah dengan berusaha memahami dan mentadabburi makna-maknanya. Inilah waktu terbaik untuk kita membumikan al-Quran dan menzahirkan Islam sebagai agama yang benar, di atas agama, kepercayaan dan cara hidup yang lain. Caranya adalah dengan mengamalkan keseluruhan isi al-Quran berhukum dengannya. Tentulah megikut kadar dan tahap masing-masing, iaitu sama ada peringkat individu, masyarakat, dan negara. Kita semua diwajibkan untuk berhukum dengan al-Quran tanpa terkecuali. Kita juga meyakini al-Quran benar-benar mampu memecahkan segala persoalan kehidupan manusia dalam seluruh aspek kehidupan baik berkenaan aspek hubungan dengan Allah, dengan diri sendiri dan dengan manusia lain. Jika umat Islam hari ini ingin bangkit dan memimpin dunia, maka tempatkanlah al-Quran pada kedudukan yang sebenarnya. Semoga kita semua tergolong sebagai para pencinta al-Quran dan bukan yang berpaling darinya.

أَقُوْلُ قَوْلِيْ هذا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

KHUTBAH KEDUA

اَلْحَمْدُ للهِ عَلىَ إِحْسَانِهِ وَالشُّكْرُ لَهُ عَلىَ تَوْفِيْقِهِ وَاِمْتِنَانِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الدَّاعِى إلىَ اللّٰهِ وَرِضْوَانِهِ. اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وِعَلَى اَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا كِثيْرًا.

أَمَّا بَعْدُ فَياَ اَيُّهَا النَّاسُ، اِتَّقُوااللهَ فِيْمَا أَمَرَ وَانْتَهُوْا عَمَّا نَهَى .

Sidang Jumaat yang berbahagia,

        Sukacitalah khatib untuk mendorong para jamaah supaya berusaha sebaiknya di bulan yang mulia ini untuk mengkhatamkan al-Quran dan menghidupkan malam-malamnya dengan amalan nafilah. Namun, janganlah kita melupakan kewajipan kita terhadap kitab suci ini untuk diamalkan seluruh isinya dan dijadikan panduan dalam hidup kita. Kerana segala apa yang kita lakukan ini adalah demi kehidupan kita di akhirat kelak. Marilah sama-sama kita jadikan hidup kita yang mungkin biasa-biasa ini, menjadi luar biasa di sisi Allah, dijalani dengan panduan wahyu seperti wasiat yang ditinggalkan oleh Rasulullah ﷺ iaitu al-Quran dan hadis baginda. Sama-samalah kita untuk saling muhasabah dan menguatkan diri antara satu sama lain, demi membentengi diri daripada kejahilan, kemaksiatan dan kekufuran.

وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيْهِ بِنَفْسِهِ وَثَـنَى بِمَلآ ئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ وَقَالَ تَعاَلَى إِنَّ اللهَ وَمَلآئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلىَ النَّبِى يآ اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.

اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلِّمْ وَعَلَى آلِ سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَنْبِيآئِكَ وَرُسُلِكَ وَمَلآئِكَةِ اْلمُقَرَّبِيْنَ وَارْضَ اللّهُمَّ عَنِ اْلخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ أَبِى بَكْرٍ وَعُمَر وَعُثْمَان وَعَلي وَعَنْ بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِيْنَ وَتَابِعِي التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وَارْضَ عَنَّا مَعَهُمْ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

اَللهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَاْلمُؤْمِنَاتِ وَاْلمُسْلِمِيْنَ وَاْلمُسْلِمَاتِ اَلاَحْيآء مِنْهُمْ وَاْلاَمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ يَا قَاضِيَ الْحَاجَاتِ.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا اَنْفُسَنَا وَاإنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ اْلخَاسِرِيْنَ.

رَبَّنَا آتِناَ فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَاللهِ ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُنَا بِاْلعَدْلِ وَاْلإِحْسَانِ وَإِيْتآءِ ذِي اْلقُرْبىَ وَيَنْهَى عَنِ اْلفَحْشآءِ وَاْلمُنْكَرِ وَاْلبَغْي يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ وَاذْكُرُوا اللهَ اْلعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلىَ نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرْ، وَاللّٰهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

Download PDF