Kibaran Al-Liwa’ Dan Ar-Rayah Menggegarkan Hari Penamaan Calon PRU-13 Di Johor Bahru
Di saat umat di Malaysia sedang tenggelam dalam pesta demokrasi menjelang PRU ke-13, mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka sedang membawa bendera dan panji yang memanifestasikan ideologi-ideologi yang memecah-belahkan mereka. Mereka sedang leka mengibarkan bendera-bendera berideologi kufur serta bendera negara bangsa assabiyah yang kecil, berpecah-belah dan serba lemah ini. Sejak kejatuhan Khilafah, bendera dan panji Islam ini bukan sahaja tidak lagi dikibarkan, malah ia langsung tidak dikenali lagi oleh kebanyakan generasi baru Muslim pada hari ini.
Dengan ketiadaan Khilafah sebagai kuasa dunia yang mengibarkan bendera dan panji Islam ini telah menyebabkan dunia menyaksikan pembunuhan dan penghinaan ke atas kaum Muslimin berlaku pada setiap saat dari setiap sudut tanpa sebarang pembelaan. Hizbut Tahrir ingin mengingatkan bahawa hanya Khilafah sahajalah satu-satunya institusi politik tunggal agung yang syar’ie yang mampu untuk mengembalikan Islam dan kaum Muslimin ke puncak kegemilangan mereka sepertimana yang pernah dikecapi di sepanjang 1400 tahun yang lalu. Umat Islam perlu sedar bahawa mereka tidak sepatutnya terpedaya dan terpesona dengan perjuangan yang akhirnya bukan sahaja tidak pernah memenangkan Islam, malah sebaliknya ia akan meneruskan dan mengukuhkan lagi kekuasaan sistem kufur ke atas umat Islam tidak kira sama ada kekuasaan itu dipegang oleh Muslim ataupun orang kafir.
Alhamdulillah, konvoi yang dirancang telah berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan penduduk tempatan apabila ada umat yang datang dan berkenalan serta bertanyakan tentang tujuan konvoi tersebut diadakan. Ada yang sempat bertanya tentang HTM ketika berhenti di lampu isyarat, ada juga yang terpanggil untuk bersama memperjuangkan Khilafah setelah melihat satu-satunya kumpulan yang mengibarkan bendera Rasulullah SAW ketika umat Islam yang lain sedang sibuk mengibarkan bendera yang tidak membawa apa-apa makna melainkan perpecahan dan sekularisme. Malah ada yang sangat terharu melihat kibaran bendera dan panji Rasulullah ini serta mendoakan agar dakwah Hizbut Tahrir ini mencapai kejayaan.