Kisah Ummu Sulaim: Keunikan Mendidik Anak Menjadi Pejuang Agama
Oleh : Jannah Salaam
Pasti umat Islam sering mendengar nama masyhur, Anas bin Malik. Namanya sering disebut dalam ribuan sabda mulia Rasulullah SAW. Ada riwayat mengatakan, Anas bin Malik telah meriwayatkan sebanyak lebih dua ribu hadis. Anas bin Malik bukan dari ahli keluarga Baginda SAW, justru, apakah rahsia beliau dapat meriwayatkan jumlah hadis yang hampir sama banyak dengan Ummul Mukminin, Aisyah RA? Siapakah ibunya yang berusaha agar Anas sentiasa bersama Baginda SAW? Mari telusuri kisah ibundanya, Ummu Sulaim RA.
Ummu Sulaim adalah seorang ibu yang hebat. Nama lainnya ialah Rumaisha. Seorang sahabiyyah yang cerdas dan memiliki akhlak yang baik, bersifat keibuan, sentiasa berhati-hati dalam bertingkahlaku, matang, penyabar dan juga pemberani. Ummu Sulaim juga termasuk golongan kaum Ansar pertama yang menyatakan pendirian memeluk Islam.
Semenjak memeluk Islam, Ummu Sulaim selalu mengajarkan tentang kalimat tauhid kepada putranya; menanamkan asas keimanan; mengajarkan bahawa hanya Allah SWT yang berhak disembah dan Muhammad adalah utusanNya. Beliau menabur benih-benih ketakwaan dan menanamkan nilai-nilai keimananan Islam ke dalam diri anaknya sejak awal usia, yang akhirnya, membentuk keperibadian putranya.
Dengan keimanan yang kuat, Ummu Sulaim berjaya menimbulkan rasa cinta yang begitu mendalam kepada baginda Nabi SAW ke dalam diri Anas. Anas begitu mengagumi dan mencintai Rasulullah SAW dan rela tatkala ibunda menjadikan dirinya “hadiah” untuk Rasulullah SAW. Di usianya yang masih kecil, Anas sudah pun berani mengambil tanggung jawab untuk melayani Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa ini terjadi semasa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, sewaktu usia Anas mencecah 10 tahun. Ketika itu Ummu Sulaim segera bergegas bersama putranya, Anas mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, sungguh orang-orang Ansar dan perempuan-perempuan Ansar telah memberimu hadiah kecuali aku, dan aku tidak menemukan sesuatu pun untuk dapat aku hadiahkan kepadamu kecuali hanya anak lelakiku ini. Maka terimalah dariku. Dia akan melayani keperluanmu.”
Mendengar ungkapan dari Ummu Sulaim, Rasulullah SAW memanjatkan doa-doa untuk Anas, hingga tidak tersisa satu pun dari kebaikan dunia dan akhirat melainkan Baginda doakan baginya. “Ya Allah, berikanlah dia harta yang melimpah, keturunan yang banyak, dan masukkanlah dia ke syurga, dan panjangkanlah umurnya.”
Berbekal doa nabawi ini, terkumpullah pada diri Anas beberapa keistimewaan: usia yang panjang, anak yang banyak, harta yang melimpah, dan ilmu yang luas. Keistimewaan luar biasa yang diperolehi Anas, dengan mendampingi Rasulullah SAW, kekasih Allah. Selama sepuluh tahun bersama Rasulullah SAW, Anas memperolehi banyak hikmah dan pelajaran dari Baginda Nabi SAW dan juga dari dari para sahabat Baginda yang mulia.
Sejarah mencatatnya sebagai salah seorang sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW. Ibarat institusi pengajian tinggi, Anas bin Malik telah banyak “meluluskan” ulama-ulama terkemuka dalam sejarah, di antaranya Hasan Al-Bashri, Ibnu Sirin, Asy-Sya’bi, Abu Qilabah, Makhul, Umar bin Abdul Aziz, Tsabit Al-Bunani, Ibnu Syihab Az-Zuhri, Qatadah As-Sadusi, dan ramai lagi. Anas adalah sahabat terakhir yang wafat di Basrah dalam usia lebih dari seratus tahun.
Kehebatan dan keagungan Anas Bin Malik sehingga melahirkan tokoh Islam tidak terlepas dari didikan ibundanya, Ummu Sulaim. Ibundanya telah berjaya menjadi sekolah pertama dan utama bagi putra kesayanganya sejak di usia kanak-kanak.