Kluster Tapak Pembinaan Bongkar Sisi Hodoh Penindasan Kapitalisme

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan tiga kluster membabitkan tapak pembinaan yang kini menjangkiti 88 individu yang kebanyakannya warga asing [BH Online, 26/5/2020]. Dalam kenyataan akhbar, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa antara punca utama penularan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara bagi kluster-kluster tapak pembinaan adalah akibat penginapan yang sesak dan sempit serta amalan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang kurang memuaskan [Kenyataan Akhbar KPK 26/5/2020].

Perkara ini turut diakui oleh Menteri Kanan (Infrastruktur), Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam sebuah kenyataan berhubung kluster tapak pembinaan terkini di Kuala Lumpur yang melibatkan 44 kes. Menurutnya, para pekerja dijangkiti ketika berada di penginapan mereka yang sesak sehingga menyukarkan langkah penjarakan sosial (social distancing) [Free Malaysia Today, 26/5/2020].

Sesungguhnya, krisis pandemik COVID-19 ini bukan sekadar menggugat kesihatan dan kesejahteraan manusia, bahkan menggugat sistem ekonomi Kapitalisme, dan dalam masa yang sama turut membongkar sisi hodoh sistem kapitalisme yang menjadi aturan kehidupan hari ini. Kewujudan kluster penularan di tapak pembinaan ini merupakan antara sekilas bukti kezaliman kapitalis yang mengejar keuntungan maksimum pada kos yang paling minimum.

Umum mengetahui bahawa kehidupan ‘pekerja asing’ khususnya golongan selain profesional di Malaysia memang sangat dhaif. Tenaga mereka dikerah semaksimum mungkin oleh majikan sedangkan gaji, tempat tinggal dan segala kemudahan untuk mereka hanya sekadar cukup makan. Dari segi penempatan, kehidupan umpama sardin sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Bukanlah mereka suka untuk hidup seperti itu, tetapi dengan jumlah pendapatan yang rendah dan kadang-kadang dengan isu permit pekerjaan, menjadikan mereka terpaksa menjalani hidup seperti itu. Rata-rata majikan tidak menjaga kebajikan ‘pekerja asing’ ini, malah kedudukan mereka sebagai bukan warganegara sering menjadikan mereka mangsa eksploitasi. Inilah realiti sistem kapitalisme di mana para kapitalis (pemilik modal) yang terdiri daripada majikan-majikan, termasuklah kerajaan, tidak ubah kedudukannya seperti penghisap darah.

Meskipun terdapat bermacam-macam peraturan dan akta digubal di negara ini tentang pekerjaan, namun kebajikan ‘pekerja asing’ di negara ini tetap terpinggir. Keadaan penginapan yang sempit, sesak, utiliti yang rosak, persekitaran yang kotor, berbau busuk dan sebagainya, ini semua merupakan santapan harian mereka. Oleh itu, apabila adanya wabak seperti Covid-19 ini yang sangat mudah berjangkit, maka risiko jangkitan ke atas mereka sangat tinggi. Jadi memang bukan suatu yang menghairankan apabila munculnya kluster baru daripada tempat pembinaan ataupun penginapan para ‘pekerja asing’ ini.

Bukanlah kita mengharapkan agar mereka diberikan suatu kehidupan mewah atau istimewa, tetapi setidaknya mereka diberikan kehidupan yang makruf (baik) atau selesa, sebagaimana warga negara lainnya. Inilah tanggungjawab majikan, dan tanggungjawab pemerintah. Pemerintah wajib menjaga dan mengatur apa sahaja urusan dalam negara, termasuk urusan ‘pekerja asing’ ini agar mereka, masyarakat dan negara sendiri berada dalam keadaan baik dalam segenap aspek. Dengan ini, jika ada pendemik yang terjadi pada bila-bila masa sekalipun, maka keadaan akan lebih terkawal.

Kita semua maklum bahawa wabak COVID-19 memang tidak mengenal sesiapa, samada warga asing atau warga tempatan, namun terdapat keadaan dan faktor persekitaran yang menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko jangkitan. Antaranya termasuklah persekitaran dan kehidupan pekerja asing di tapak-tapak pembinaan. Sedangkan risiko tersebut boleh ditangani dengan lebih baik dan berkesan seandainya tempat penginapan mereka dijaga dengan baik. Jika ini dilakukan, ia bukan sahaja dapat menghindari penularan wabak dalam kalangan ‘pekerja asing’ bahkan dapat mengurangkan penularannya kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Namun, selama mana negara ini mengamalkan sistem kapitalisme, maka selama itulah ‘pekerja asing’ ini akan terus di diskriminasi dalam segenap aspek dan dikerah keringat mereka habis-habisan, kerana sifat dan sikap kapitalis ialah meraih sebanyak mungkin keuntungan dengan penderitaan orang lain. Sistem kapitalisme adalah sebuah sistem yang tidak manusiawi, dan kluster terbaru daripada tapak pembinaan ini menyerlahkan sebahagian wajah hodoh sistem ini.

Sedangkan dalam Islam, Khalifah sebagai pemimpin akan menjaga dan mengurus negara dan rakyat dengan baik menurut hukum syarak, yang sudah pasti bersifat manusiawi dan adil untuk semua pihak. Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah siapa pun dari luar negara yang datang untuk bekerja, dan ingin bertempat tinggal di dalam negara Khilafah, khususnya jika mereka adalah Muslim, maka mereka akan diberi kerakyatan dan mereka bukanlah ‘pekerja asing’. Mereka mendapat hak dan mempunyai tanggungjawab yang sama sebagaimana warga negara yang lain.

Wallahu a’lam.

Editor