Komunis Kejam, Kapitalis Pun Kejam
KUALA LUMPUR 12 Sept. – Bagi generasi muda hari ini yang tidak pernah merasai penderitaan hidup pada zaman komunis, mereka mungkin tidak dapat membayangkan kekejaman kumpulan pengganas itu. Namun, bagi yang pernah melalui zaman tersebut seperti Hamzah Mohd. Amin, 71, trauma yang ditinggalkan daripada kekejaman komunis itu tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.
Malah, Hamzah yang mempunyai bakat melukis turut menghasilkan beberapa karikatur anggota komunis yang sedang menyeksa tahanan sewaktu zaman keganasan kumpulan tersebut di negara ini. Menurutnya, lukisan tersebut dihasilkan beberapa minggu lalu bertujuan memberi gambaran keadaan sebenar kekejaman komunis terhadap rakyat negara ini suatu ketika dahulu terutamanya kepada generasi muda.
Katanya, walaupun telah menjangkau usia 71 tahun, dia masih tidak dapat melupakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap rakyat dan mahu generasi pada hari ini juga mengetahui perkara itu. “Generasi hari ini tidak mengetahui penderitaan hidup pada zaman komunis, jadi saya berusaha menghasilkan lukisan ini beberapa minggu lalu supaya mereka mendapat gambaran tentang kekejaman komunis dan mengapa kami sangat bencikan mereka.
“Generasi muda hanya mendengar cerita daripada datuk dan nenek mereka tetapi tidak pernah terbayang bagaimana komunis menyeksa tahanan. Menerusi lukisan ini, saya harap mereka akan sedar tentang kekejaman komunis dan menjadikannya pengajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Hamzah cuba memberi gambaran tentang kekejaman komunis menyeksa tahanan menggunakan beberapa kaedah yang tidak berperikemanusiaan menerusi karikatur yang dihasilkannya. Berdasarkan kepada karikatur tersebut, Hamzah turut memberi gambaran tindakan komunis mengurung ahli keluarga tahanan di sebuah rumah dan kemudiannya membakar rumah berkenaan.
Dia juga menggambarkan mayat-mayat tahanan itu dijadikan baja di kebun sayuran dan hasilnya pula dijadikan bekalan makanan kumpulan pengganas tersebut. Menurut Hamzah yang berasal dari Batu Pahat, Johor, dia terpanggil untuk menghasilkan karikatur berkenaan kerana geram serta kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengangkat kumpulan pengganas tersebut sebagai hero.
“Saya sangat geram dan marah apabila komunis diberikan pengiktirafan. Mereka telah melakukan pelbagai kekejaman termasuk mengoyak, memijak, melumur kitab suci al-Quran dengan najis sebelum membakarnya. Para imam serta bilal di masjid dan surau pula dipaksa memakan daging babi sebelum dibunuh. “Bagaimana kumpulan pengganas tersebut boleh kita iktiraf?” katanya yang sanggup datang ke pejabat Utusan di sini bagi menyerahkan karikaturnya itu.
Antara sumbangan Hamzah yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pelukis ialah mencipta logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan pada 1963 sehingga 1997.
Sumber: Utusan Online, 13/09/2011
Komunis Kejam, Kapitalis Pun Kejam
Pelbagai pihak terus mengasak Mat Sabu dalam isu Bukit Kepong sehingga meleret ke perbincangan ideologi komunisme di Malaysia. Dalam kartun yang dihasilkan oleh Hamzah ini, beliau telah menggambarkan beberapa kekejaman yang dilakukan oleh pihak komunis di Malaysia pada suatu masa dulu. Dalam hati dan perasaan manusia yang waras, pastinya mereka akan tersentuh dengan apa yang telah dirasai oleh mangsa kekejaman pihak komunis. Namun begitu, bagi orang yang memiliki akal yang waras juga, kekejaman komunis ini tiada bezanya dengan kekejaman serta malapetaka yang dibawa oleh pemerintah yang menerapkan idea kapitalisme di Malaysia saat ini. Tersenarai adalah sebahagian kecil dari malapetaka ini…
Pertama : Jumlah anak luar nikah di Malaysia sejak tahun 2000 hingga 2008 adalah lebih daripada 250,000 orang dan pertambahan bilangannya semakin meningkat saban tahun. Peningkatan ini pastinya terkait rapat dengan masalah sosial seperti perzinaan dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Kedua : Malaysia merupakan pengguna ke-10 terbesar minuman keras di dunia. Selain itu, kilang arak terbesar di Asia Tenggara terletak di Malaysia.
Ketiga: Rakyat Malaysia merupakan yang paling banyak membuat pinjaman peribadi (personal loan) di Asia dengan jumlahnya mencapai RM466 billion. Hutang peribadi ini pastinya akan menjadi bebanan kepada rakyat kerana bukan sahaja mereka dilibatkan dengan aktiviti riba, malah mereka juga akan terbeban dengan komitmen untuk membayar balik pinjaman mereka yang sesetengahnya memerlukan masa berpuluh tahun untuk diselesaikan.
Keempat : 40% daripada rakyat Malaysia berpendapatan isi rumah kurang daripada RM1500 sebulan. Ini pastinya menyempitkan kehidupan mereka dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.
Kelima : Lebuhraya bertol, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, elektrik serta bekalan air yang berbayar merupakan keperluan asas bagi rakyat yang sepatutnya dinikmati secara percuma.
Keenam : Pertambahan kes- kes jenayah seperti rogol, samun, rompak dan kecurian merupakan perkara yang kita boleh dengari setiap hari di media massa.
Ketujuh : Kerosakan institusi kekeluargaan yang akhirnya menimbulkan kes- kes seperti sumbang mahram, kebiadapan anak terhadap ibubapa, dan sebagainya.
Kelapan : Sumber makanan diragui status halalnya. Banyak kes sudah kita dapati di mana makanan yang berlabel halal sekalipun, diragui kehalalannya. Sedangkan adalah menjadi tanggungjawab pemerintah memastikan setiap makanan yang dijual kepada umat Islam adalah makanan yang halal dan baik.
Banyak lagi kerosakan serta kekejaman akibat penerapan ideologi kapitalisme di Malaysia saat ini. Malah, kekejaman kapitalis ini lebih tragis kerana menyiksakan kehidupan rakyat dari segenap aspek. Oleh itu, adalah amat malang bagi kita yang menentang habis- habisan fahaman komunisme, tapi dalam masa yang sama mengambil ideologi kapitalisme untuk diterapkan. Wahai kaum Muslimin! Kembalilah kepada Islam untuk mengatur kehidupan kalian. Dengan mengambil Islam sebagai panduan hidup , ia akan menyelesaikan segala permasalahan yang telah dibawa oleh komunisme mahupun kapitalisme. Mengapa kita perlu mendabik dada memperjuangkan ideologi yang bukan lahir daripada Sang Pencipta sedangkan kita ada kewajipan memperjuangkan Islam dalam bernegara? Wallahu a’lam.