Konflik Bidang Kuasa: Punca Masalah Dan Penyelesaiannya Menurut Islam

Rentetan daripada kes Iki Putra dan juga Nik Elin yang mencabar bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN), satu jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang syariah telah ditubuhkan oleh kerajaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar berkata, “Penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan Negeri demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini.”

Sekumpulan pakar perundangan dan juga golongan profesional khususnya di bidang undang-undang sivil dan syariah telah dilantik menganggotai jawatankuasa khas berkenaan yang khabarnya telah pun memulakan mesyuarat pertama mereka.

Walaupun kelihatannya penubuhan jawatankuasa seumpama ini merupakan suatu yang baru, namun langkah-langkah untuk menyelesaikan konflik antara undang-undang sivil dan jenayah di Malaysia sebenarnya telah lama dilakukan. Apa yang berbeza kali ini ialah mungkin fokusnya kepada isu pertindihan bidang kuasa di antara Persekutuan dan Negeri khususnya dalam penggubalan undang-undang syariah. Namun demikian, apa pun perbincangan mengenai bidang kuasa syariah, ia tidak akan terlepas daripada undang-undang sivil, kerana punca kuasa syariah di Malaysia itu sendiri datangnya daripada sivil.

Dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini, secara tersurat mahu pun tersirat menunjukkan bahawa usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan terkait pengharmonian atau pertindihan undang-undang antara sivil dan syariah selama ini tidak membuahkan hasil. Sejak dulu hingga kini, apa yang kita saksikan ialah sebaliknya iaitu kes-kes dan juga konflik yang melibatkan kedua-dua undang-undang tersebut semakin bertambah, semakin kusut dan sentiasa sahaja memanaskan politik tanahair.

Sejarah Kemunculan Dan Realiti Konflik

Sebelum kedatangan penjajah, undang-undang yang terpakai di Tanah Melayu adalah undang-undang Islam, walaupun tidak menyeluruh dan terdapat banyak kecacatan. Masyarakat Tanah Melayu tidak pernah mengenal undang-undang British sehinggalah penjajah kafir itu datang dan menerapkan undang-undang mereka secara paksa, yang kemudian (setelah merdeka) dikekalkan oleh pemerintah secara suka rela hingga kini, walaupun hakikatnya kaum penjajah tersebut telah lama meninggalkan Malaysia.

Sebelum keluar dari Malaysia, kaum penjajah itu telah memastikan yang perlembagaan dan undang-undang ciptaan mereka akan menjadi pegangan utama penduduk Malaysia, dengan memberi sedikit ruang untuk undang-undang Islam dilaksanakan.

Dengan sedikit ruang itulah, maka wujudnya mahkamah syariah di mana Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi kuasa menggubal undang-undang syariah, tetapi dengan kuasa yang amat terhad. Sedangkan parlimen dan mahkamah sivil mempunyai kuasa yang jauh lebih luas. Inilah apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan yang diberi oleh British, dan hal ini sengaja dilakukan oleh British, yang sudah pasti ada sebabnya.

Apabila timbul konflik antara undang-undang syariah dan sivil, ramai pihak khususnya para pengamal undang-undang mencadangkan agar dipinda perlembagaan bagi memberi lebih kuasa kepada DUN dan mahkamah syariah. Namun demikian, semua orang tahu bahawa “kuasa” untuk meminda perlembagaan ada pada ahli parlimen atau dengan kata lain berada di tangan orang-orang politik, yang penuh dengan kepentingan dan agenda peribadi atau agenda parti yang perlu mereka utamakan, berbanding meminda perlembagaan.

Mungkin ramai yang menaruh harapan dengan adanya Jawatankuasa Khas ini, kerajaan akan meminda perlembagaan kerana kelihatannya itulah satu-satunya ruang dan peluang yang ada. Persoalannya, jika perlembagaan benar-benar dipinda bagi meningkatkan kuasa DUN dan mahkamah syariah, adakah masalah konflik bidang kuasa, atau pertindihan undang-undang antara sivil dan syariah, dan segala yang terkait dengannya akan selesai? Dan persoalan yang lebih penting ialah, adakah pindaan perlembagaan merupakan penyelesaian Islami kepada konflik yang berlaku?

Memahami Punca Masalah

Proses pembuatan undang-undang yang diamalkan di Malaysia adalah diajar oleh kafir British, yang mengamalkan sistem demokrasi, sebuah sistem yang memberikan hak kepada manusia (ahli parlimen / DUN) untuk mengambil “hak keTuhanan” dalam menentukan apa yang halal dan haram untuk manusia.

Sistem seumpama ini tidak pernah ada dalam Islam, dan hanya wujud di negeri-negeri kaum Muslimin selepas era penjajahan Barat. Ia diterapkan secara paksa oleh Barat di tanah jajahan mereka, bagi memastikan umat Islam tidak kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Malangnya sistem kufur ini diteruskan dan dipertahankan oleh pemerintah Muslim, walaupun setelah negeri masing-masing mencapai kemerdekaan, yang jelas menunjukkan bahawa minda para pemerintah ini sebenarnya tetap terjajah dan tidak pernah keluar daripada tempurung penjajahan sejak dulu!

Dalam Islam, sepandai mana dan seramai mana pun manusia yang ingin membuat hukum, mereka tetap tidak layak dan tidak berhak untuk membuat hukum. Manusia hanyalah merupakan “pelaksana” kepada hukum Allah, dan tidak diperbolehkan (haram) ke atas manusia untuk membuat atau merubah hukum, baik itu hukum sivil mahu pun hukum syariah. Firman Allah (swt);

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [Al-An’am (6): 57]

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ

“Tentang sesuatu apa pun kamu berselisih, maka hukumnya (kembali) kepada Allah” [Asy-Syura (42): 10]

Dalil akan haramnya manusia untuk membuat hukum begitu jelas dan tidak ada keraguan sedikit pun. Justeru, baik parlimen mahu pun DUN, kedua-duanya “tidak kompeten” untuk membuat undang-undang, kerana hak untuk membuat undang-undang hanya ada pada Allah.

Punca kepada kewujudan pertindihan bidang kuasa atau dua undang-undang di Malaysia (sivil dan syariah), tidak lain tidak bukan ialah kerana perlembagaan dan undang-undang negara yang telah diberikan oleh penjajah. Hal ini diperuntukkan dalam perlembagaan. Inilah puncanya!

Maka, jika kita ingin menyelesaikan isu bidang kuasa atau pertindihan kuasa antara parlimen dan DUN, penyelesaiannya bukanlah dengan mengkaji “kompetensi” DUN atau memberi lebih kuasa kepada DUN, kerana berdasarkan hukum syarak, tidak ada siapa pun yang “kompeten” untuk membuat undang-undang, kerana hak tersebut hanya ada pada Allah (swt). Justeru, penyelesaiannya hendaklah dilakukan di luar kotak demokrasi dan hendaklah kembali kepada apa yang Allah perintahkan.

Solusinya tidak lain tidak bukan ialah dengan membuang sistem demokrasi, perlembagaan dan kesemua undang-undang sivil yang ada dalam negara dan menggantikannya dengan sistem Islam (Khilafah) berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Al-Quran dan As-Sunnah wajib dijadikan perlembagaan dan undang-undang negara, menggantikan perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada kafir penjajah.

Sesungguhnya hukum penjajah adalah suatu yang batil manakala hukum Islam adalah haq, dan kedua-dua perkara ini tidak boleh dicampur-adukkan atau diharmonikan sama sekali. Firman-Nya;

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu campu- adukkan yang haq dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang haq itu, sedang kamu mengetahui” [Al-Baqarah (2): 42]

Allah (swt) melarang (mengharamkan) kita berhukum dengan hukum kufur. Firman-Nya;

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [Al-Ma’idah (5): 50]

Persoalannya, adakah kerajaan terlalu jahil dan naif hingga tidak mengetahui punca kepada masalah ini, atau kerajaan sebenarnya mengetahui puncanya, tetapi tidak mahu menyelesaikannya? Apa pun jawapannya, sekiranya Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan ini hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini, iaitu hanya sibuk menyelesaikan simptom dengan mengekalkan apa yang diberi oleh penjajah, dan bukan menyelesaikan puncanya, maka selagi itulah masalah tidak akan selesai, dan semua usaha hanyalah sia-sia, jika tidak berhujung kepada dosa.

Dalam konteks ini juga, kita harus faham bahawa “undang-undang syariah” yang ada di Malaysia sekarang ini pun, sangat jelas bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Lihat sahaja hukuman zina, minum arak, liwat dan banyak lagi, yang ternyata bertentangan dengan dalil-dalil yang qath’ie di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Justeru, apa guna jika DUN diberi lebih kuasa sekali pun, lalu mahkamah syariah pula menjadi pelaksana kepada undang-undang yang digubal, apabila undang-undang tersebut bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah?

Ubah Minda, Ubah Sistem

Sesungguhnya kita sebagai umat Islam tidak memerlukan perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah. Malah haram untuk kita berhukum selain daripada hukum Islam, apatah lagi hukum yang datangnya daripada musuh Islam itu sendiri. Islam merupakan sebuah agama yang lengkap dan sempurna dan kita diperintah untuk berhukum dengan hukum Islam secara kaffah. Noktah.

Ingatlah bahawa kita tidak memerlukan undang-undang sivil sedikit pun, kerana syariah Islam sudah cukup dan sempurna untuk kita. Dengan kata lain, kita tidak memerlukan kewujudan dua undang-undang dalam negara, yang hakikatnya dualisme perundangan yang wujud pada hari ini sebenarnya berasal dari penjajah.

Kita seharusnya menghapuskan apa jua sistem, undang-undang, hadharah dan cara hidup yang datangnya daripada penjajah yang telah lama mendominasi negara kita. Sesungguhnya negara ini milik kita, bukannya milik penjajah, lalu kenapa kita mesti berhukum dengan hukum penjajah, kenapa kita perlu mempertahankan hukum penjajah, dan kenapa kita begitu sayang untuk mencampakkan hukum penjajah, yang telah terbukti menimbulkan banyak masalah?

Selagi minda umat Islam, khususnya minda para penguasa masih lagi terjajah, maka selagi itulah kita tidak akan dapat keluar daripada apa jua konflik dan malapetaka yang menimpa kita. Perubahan hanya akan terjadi bermula dengan perubahan pemikiran. Justeru, jika ditubuhkan seratus Jawatankuasa Khas sekalipun, selagi pemikiran yang ada masih belum keluar daripada tempurung penjajahan, maka kita akan terus bermasalah.

Dalam sebuah negara Islam (Khilafah), tidak akan wujud konflik bidang kuasa kerana hukum yang diterapkan hanyalah hukum Islam semata-mata. Tidak pernah wujud dan tidak akan wujud dualisme perundangan dalam Islam. Begitu juga dengan bidang kuasa (antara pusat dan negeri) di mana tidak pernah wujud dan tidak akan wujud dua bidang kuasa dalam Islam, kerana sistem pemerintahan Islam (Khilafah) ialah sepusat bukannya federasi.

Ringkasnya, jika kerajaan benar-benar serius ingin menyelesaikan masalah pertindihan bidang kuasa, satu-satunya jalan ialah dengan mencampakkan kesemua sistem dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah, dan menggantikannya dengan sistem dan undang-undang yang datangnya dari Allah, semata-mata. Proses yang wajib berlaku ialah taghyir (perubahan menyeluruh), bukannya islah (penambahbaikan sebahagian), sebagaimana Rasulullah (saw) dahulu men-taghyir masyarakat dan negara Jahiliah di Mekah menjadi masyarakat dan Negara Islam di Madinah.

Penutup

Umat Islam harus sedar bahawa masalah utama kita sekarang bukanlah masalah konflik bidang kuasa, tetapi masalah Islam tidak diterapkan secara kaffah dalam negara. Konflik atau apa jua masalah yang melanda adalah disebabkan oleh dua faktor iaitu penguasa dan sistem yang rosak, yang mana kedua-dua faktor ini perlu diubah secara serentak, tidak boleh hanya merubah salah satu di antara keduanya. Perubahan ini tidak mungkin berlaku kecuali melalui tegaknya sebuah negara Islam (Khilafah) dan terlantiknya seorang ketua negara (Khalifah) yang beriman dan bertakwa.

Wallahu a’lam.