Konsert Selena Gomez: Betapa banyaknya kerosakan
Antara isu yang hangat diperkatakan sekarang ialah konsert artis terkenal Amerika Syarikat, Selena Gomez, yang sedang melakukan siri jelajahnya ‘Selena Gomez – The Revival Tour’ yang akan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 25 Julai ini.
Ia heboh diperkatakan apabila parti Islam yang bergabung dalam pemerintahan negeri Selangor dan beberapa gerakan Islam lain menentang penganjuran konsert ini sehingga memaksa Menteri Besar Selangor bersuara.
Selain daripada konsert hiburan itu sendiri yang haram dan merosakkan masyarakat, sesungguhnya isu hangat kehadiran penyanyi kelahiran Texas, Amerika itu ke Malaysia telah memperlihatkan banyak lagi kerosakan lain yang terkait dengannya. Antaranya ialah:-
1. Di dalam jawapan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap bantahan konsert tersebut, seperti dilapor beberapa portal, beliau berkata, “Seksi adalah ciptaan Tuhan. Apa kita boleh buat? Ia ciptaan Tuhan dan tidak perlu dijadikan isu.” Inilah “kehebatan” jawapan MB Selangor yang pelantikannya dipenuhi dengan krisis dan kontroversi tidak lama dahulu, tetapi dialah satu-satunya calon yang disokong sepenuhnya oleh parti Islam ketika itu sebagai orang yang paling layak untuk menerajui kerajaan Selangor. Wahai MB, ya betul bentuk tubuh dan paras rupa seseorang itu adalah ciptaan Tuhan, tetapi Tuhan mengharamkannya untuk menunjukkan bentuk tubuh dan auratnya kepada orang lain (ajnabi), dan haram pula bagi orang lain untuk melihat auratnya. Inilah isunya. Semoga ulama yang merestui pelantikan Azmin dapat memberikan sedikit teguran kepada beliau kerana kuasa ada di tangan beliau untuk menghentikan konsert maksiat ini.
2. Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memberi jaminan yang penganjuran acara hiburan itu sudah diteliti dan diberi lampu hijau oleh Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Persembahan Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan garis panduan Jakim juga telah dipenuhi. Wahai mereka yang ada kuasa, berilah 100 lampu hijau dan buatlah seribu garis panduan sekalipun, perkara yang haram tetap haram dan tidak ada kebaikan sedikitpun kepada Islam dan umatnya dengan konsert penyanyi tidak berakhlak daripada Amerika itu. Malang sungguh dengan bumi Malaysia ini kerana segala yang haram akan menjadi halal hanya apabila ada green light dari pemegang kekuasaan. Samalah seperti segala premis judi, kilang arak, kelab malam dan sebagainya, segalanya menjadi halal di bumi ini apabila diberi lesen dan green light oleh mereka yang berkuasa. Lebih malang apabila badan yang diberi kuasa menjaga agama, boleh mengeluarkan garis panduan untuk siapa sahaja yang ingin melakukan maksiat di Malaysia.
3. Walaupun ada exco Selangor yang membantah, tetapi nampaknya kewujudan exco parti Islam dalam pemerintahan kerajaan Selangor ternyata gagal menasihati dan menyekat parti tahaluf mereka untuk menghentikan program maksiat ini. Walhal konsep “menasihati dan menghalang keharaman” inilah yang sering dijadikan alasan oleh parti Islam untuk bertahaluf dan bergabung dengan pemerintahan sekular. Walaupun mereka tidak redha dengan kemaksiatan ini, tetapi apabila mereka turut berada dalam pemerintahan yang memaksiati Allah, maka siapa pun tidak akan terlepas daripada dosa kerana mereka tetap merupakan sebahagian daripada jentera pemerintahan itu sendiri, kecuali mereka keluar daripadanya.
4. Adanya beberapa gerakan Islam yang membantah konsert ini merupakan suatu yang wajar dan baik. Cuma apa yang kita harapkan ialah bantahan bukan berhenti setakat kerajaan Selangor sahaja. Kerajaan PKR Selangor memang sering diserang oleh kerajaan Pusat yang diterajui UMNO, dalam rangka melemahkan dan menjatuhkan PKR yang menjadi pembangkang kepada kerajaan Pusat. Jadi, kita perlu faham dan sedar bahawa walaupun konsert ini diadakan di Selangor, namun tetap penganjurannya berada di bawah kelulusan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Pusat). Justeru, bantahan yang sama hendaklah ditujukan kepada kerajaan Pusat yang sebenarnya turut menjadi pihak yang meluluskan program maksiat ini. Jangan sampai gerakan-gerakan Islam dan umat Islam terjebak dalam perangkap perseteruan politik antara kerajaan Negeri dan kerajaan Pusat, sehingga nampak kesalahan kerajaan Negeri, tetapi tidak nampak kesalahan kerajaan Pusat yang lebih besar.
5. Konsert hiburan para artis, baik artis dari Barat atau Timur, malah daripada artis tempatan sekalipun, merupakan sekelumit daripada kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku di Malaysia. Justeru, umat Islam hendaklah melihat perkara ini dalam konteks yang lebih besar dan sepenuhnya. Penerapan sistem pemerintahan dan undang-undang sekular/kufur dalam negara, ini merupakan kemungkaran dan kemaksiatan yang jauh lebih besar. Begitu juga dengan sistem ekonomi kapitalis yang bertunjangkan sistem ribawi dan spekulasi (saham), cukai dan segala bentuk penindasan lainnya, semua ini merupakan pokok yang menghasilkan keburukan dan kerosakan cabang yang begitu banyak kepada negara dan umat Islam. Oleh itu, membantah konsert Selena Gomez tidak boleh dihentikan setakat ini sahaja, kerana selagi pemimpin dan sistem yang membenarkan kemaksiatan ini berlaku, masih ada dan terus dipilih, maka selagi itulah kemungkaran dan kemaksiatan akan terus berlaku.