Adegan peluk K-Pop: natijah kerosakan sistemik

Aksi-Peluk-Cium-K-PopSudah tidak terkata kerosakan demi kerosakan secara terang-terangan yang melanda umat Islam di Malaysia pada hari ini. Terbaru, kejadian peluk-memeluk beberapa orang remaja perempuan yang bertudung yang menghadiri konsert K-Pop bersempena KL Live Center di Kuala Lumpur, semalam.

Ramai yang mengecam tindakan tersebut setelah ia tersebar di laman sosial dan kecaman itu wajar sekali dilakukan. Ia sungguh memalukan, apatah lagi remaja berkenaan memakai tudung, yang sekali gus mencemarkan lagi imej seorang Muslimah.

Dari segi hukum, ia jelas haram dan individu pelakunya berdosa di sisi Allah dengan apa yang mereka lakukan. Semoga mereka segera bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha dan semoga Allah menerima taubat mereka.

Namun, apa yang sewajarnya dipertikaikan dan dikecam bukanlah adegan peluk itu semata-mata, tetapi kehadiran individu Muslim di konsert maksiat itu sendiri sudah menyalahi hukum syarak. Tidak sepatutnya (haram) bagi seorang Muslim untuk hadir di konsert maksiat. Mengecam adegan pelukan semata-mata seolah-olah menilai “sah-sah” sahaja untuk hadir menonton kemaksiatan, cuma apa yang salahnya ialah apabila adanya peluk-memeluk!

Apa yang jauh lebih besar untuk dilihat dan diperkatakan ialah kerosakan sistem dan negara yang dipimpin oleh pemimpin sekular pada hari ini yang melahirkan semua kemaksiatan ini! Negaralah yang membenarkan penganjuran segala konsert maksiat, malah menyuburkannya. Lihat sahaja sudah berapa banyak konsert maksiat sebelum-sebelum ini sehingga ada yang berakhir dengan kematian, semuanya hasil dari penganjuran yang dibenarkan oleh negara. Bahkan, lebih buruk, Perdana Menteri Malaysia sendiri turut menghadirinya seperti konsert K-Pop pada Hari Belia dan perayaan tahun baru Cina pada 2012 dan 2013 masing-masing.

Sesungguhnya kerosakan akhlak dan lain-lain sudah tidak terkata dalam sistem demokrasi yang serba bebas pada hari ini. Adegan peluk di konsert KL Live Centre ini hanyalah secebis natijah yang terhasil dari kerosakan sistemik yang disebabkan oleh sistem demokrasi kufur yang dipaksakan ke atas kita oleh pemimpin pada hari ini. Dalam sistem demokrasi kufur yang diamalkan pada hari ini, halal dan haram bukanlah menjadi pegangan tetapi manfaat dan kesenangan dunialah yang menjadi tolok ukur kepada segala tindakan. Di mana ada manfaat, di situ segala tindakan “halal” untuk dilakukan.

Sama halnya dengan sistem ekonomi ribawi yang ada, ia adalah hasil dari negara (pemimpin) yang membenarkannya. Maka berapa ramai umat Islam yang mengambil riba kerana sistem yang ada membenarkannya, malah menggalakkannya. Kalau negara menutup segala sistem ribawi dan pintu riba, maka sudah pasti tidak akan ada warganya yang mengambil riba. Apatah lagi kalau pengambil riba itu dihukum.

Begitu juga, kalau negara menutup segala pintu kemaksiatan, termasuklah tidak membenarkan penganjuran segala konsert maksiat, maka sudah pasti tidak akan ada konsert dan tidak akan ada adegan peluk-memeluk. Begitulah sifirnya yang cukup mudah.

Namun, perlu diingat bahawa bukan sahaja individu dan negara yang menanggung dosa dengan segala maksiat yang dilakukannya atau menyumbang kepada berlakunya, tetapi setiap Muslim yang membiarkan sistem dan pemimpin yang rosak ini dan tidak berusaha melakukan amar makruf nahi mungkar dan tidak berusaha untuk menggantikannya dengan sistem Islam yang datangnya dari Allah, maka setiap individu itu juga akan menanggung dosa pelaburan atas kemaksiatan yang berlaku Na’uzubillah min zalik.

Justeru, ayuhlah berusaha untuk merubah sistem demokrasi kufur ini kepada sistem Khilafah. Ayuhlah berusaha untuk merubah segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita, agar kita tidak tertimpa azab Allah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Allah tidak mengazab masyarakat dengan sebab perbuatan orang tertentu, sehinggalah mereka melihat kemungkaran di antara mereka dan mampu untuk mengubahnya, tetapi mereka tidak merubahnya, jika mereka melakukan demikian (tidak merubah kemungkaran walhal mampu) maka Allah akan mengazab orang itu dan masyarakat secara umum” [Musnad Ahmad].

Sabda baginda SAW yang lain,

“Sekali-kali tidak, demi Allah, kamu (hendaklah) melakukan amar makruf nahi mungkar, dan hendaklah kamu menahan tangan orang yang membuat kezaliman dan menarik mereka ke arah kebenaran dan menjaga mereka atas kebenaran, jika tidak Allah akan melaga-lagakan hati-hati sesama kamu, kemudian Dia akan melaknat kamu sebagaimana dilaknatnya mereka itu” [HR Abu Daud].